Di Ipoh, dua orang manusia yang sangat rapat dengan
VENOM. Asri dan Man Burger. Mereka sentiasa berdua kemana-mana saja. Dan mereka juga bermain drum walaupun Asri lebih menyerlah dari segi permainannya.
Sidekick mereka, Lan (gitar) dan seorang lagi yang saya tidak ingat namanya (kedua-duanya sekarang aktif dengan aktiviti Tabligh). Tiga orang ini (atau empat jika campur dengan Man Burger), selalu jamming di Superkinta. Saya kurang pasti kenapa mereka tidak memilih studio popular ketika itu,
SYJ. Nama band mereka ialah
VULGA.
Saya mengenali
VENOM bukan melalui kaset cetak rompak
VENOM, tetapi melalui
VULGA. Adalah menjadi kebiasaan saya pada ketika itu (tahun 1989), mengekori senior Metal pada ketika itu di dalam sesi jamming mereka.
VULGA hampir tidak memainkan lagu band lain (kecuali
SODOM) dan memainkan
VENOM,
VENOM dan
VENOM. Lagu
1000 Days In Sodom dan
Countess Bathory saya pelajari chord gitarnya dari
VULGA dan saya berupaya memainkannya dari A-Z. Ini semua dipelajari tanpa pernah mendengar dari
VENOM sendiri!
Lain ceritanya apabila kaset pertama yang saya dengar dari
VENOM, Official Bootleg (1986) yang dirakam secara kasar. Bunyinya sangat buruk dan hampir-hampir lagu-lagunya tidak dapat didengar. Ini menyebabkan saya melupakan terus
VENOM walaupun naluri untuk mendekatinya agak kuat disebabkan imej memberontak mereka yang lebih menyerlah dari band lainnya ketika itu. Saya lebih selesa dengan
VULGA dan saya rasa
VULGA memainkan lagu-lagu
VENOM lebih baik dari
VENOM sendiri.
VENOM adalah sebuah band Heavy Metal yang ditubuhkan di England pada tahun 1978 oleh Cronos (bass/vocals), Mantas (gitar) dan Abaddon (drum). Muzik mereka agak sukar untuk dikategorikan secara sahih melainkan Heavy Metal yang laju dari lumrah yang biasa. Begitupun, gaya permainan muzik mereka tidak kemas dan agak bercelaru.
Namun begitu pengaruh muzik mereka sangat kuat kepada band yang bermain muzik Thrash Metal dan Black Metal. Band Metal terbesar dunia,
METALLICA juga mendapat sedikit inspirasi dari album-album rilisan
VENOM dan mereka pernah menjadi band pembuka kepada
VENOM semasa awal karier mereka.
Namun,
VENOM lebih dikenali sebagai band yang mempelopori terma Black Metal, yang merupakan tajuk album kedua mereka pada tahun
1982, selepas album
Welcome To Hell (1981). Oleh sebab itu, kebanyakan band Black Metal sekarang akan meletakkan
VENOM sebagai salah satu sumber inspirasi mereka. Lirik yang ditulis berkisar tentang pemujaan syaitan dan ejekan kepada agama Kristian menjadi asas kepada VENOM dan ini memberi kesan yang sangat besar kepada pergerakan muzik Black Metal antarabangsa.
Muzik Thrash Metal pula mendapat manfaat dari muzik
VENOM yang pantas dan agresif.
METALLICA secara terang-terangan mengambil manfaat dari muzik pantas
VENOM dan diaplikasikan kedalam album Kill Em All. Selain dari itu,
ANTHRAX,
MEGADETH dan
SLAYER (bersama
METALLICA mereka dikategorikan sebagai Big Four Of Thrash) juga terpengaruh dengan muzik pantas
VENOM.
Kontroversi mula timbul apabila berlakunya peristiwa pembakaran gereja dan pembunuhan oleh peminat muzik Black Metal di Norway pada awal tahun 1990an. Kebanyakan dari peminat Black Metal ini tidak berselindung dari menamakan
VENOM sebagai sumber inspirasi mereka.
Walaubagaimanapun, ahli
VENOM sendiri mengkritik keras tindakan peminat Black Metal Norway tersebut.
VENOM menegaskan bahawa apa yang dibawa oleh
VENOM hanyalah sandiwara hiburan sahaja dan mereka tidak mengambil serius terhadap apa yang mereka nyatakan di dalam kulit album Black Metal dan Welcome To Hell.
Di dalam senarai diskografi
VENOM yang panjang, hanya dua buah album sahaja yang memberi kesan yang mendalam kepada muzik ekstrim Metal dunia iaitu
Welcome To Hell dan
Black Metal. Dari segi kualiti permainan instrumen, boleh dikatakan permainan mereka di bawah paras yang dikehendaki. Itu bukan masalah kerana mereka tidak pernah bergantung kepada permainan instrumen yang cantik dan bagus tetapi bergantung kepada imej kesyaitanan yang melampau atas dasar mahu membuat kejutan yang tak sepatutnya.
Album terakhir mereka bertajuk
Hell (2008) dan dilaporkan sekarang mereka sedang dalam proses merilis album yang ke-15.
---------
Komentari:
Tonasi lirik VENOM memang berkisar tentang penyembahan syaitan dan pemberontakan terhadap agama Kristian. Ini jelas melalui lirik di dalam lagu seperti
In League With Satan,
Witching Hour,
To Hell And Back,
Sacrifice dan sebagainya. Topik lain termasuklah pelacuran (
Red Light Fever), Hedonism (
Live Like An Angel,
Teacher's Pet) dan sejarah kezaliman manusia (
Countess Bathory).
Di Malaysia, pengaruh muzik mereka juga tersebar. Namun begitu, majoriti peminatnya sekadar mengambil muzik dan gaya luarannya saja sepertimana yang dikehendaki oleh
VENOM sendiri. Ia tidak lebih dari satu punca hiburan ekstrim (sepertimana sukan ekstrim). Ini berbeza dengan peminat di Barat yang mengambil idea
VENOM ini secara serius dan menggunakannya sebagai sumber gaya hidup.
Namun timbul persoalan berkaitan akidah Islam yang boleh tercemar akibat menjadi peminat
VENOM.
JAKIM telah mengeluarkan fatwa yang berkaitannya:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006 telah membincangkan Kumpulan Black Metal Serta Langkah-Langkah Menanganinya. Muzakarah telah memutuskan bahawa amalan dan perbuatan Kumpulan Black Metal adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Oleh itu, umat Islam diminta menjauhi kumpulan tersebut kerana perbuatan dan amalan mereka boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.
Persoalan yang selalu ditimbulkan oleh peminat
VENOM adalah, jika sekadar mendengar muziknya tanpa terpengaruh dengan apa yang dihidangkan (sepertimana menonton filem seram) mungkin boleh diperhalusi lagi. Mungkin ianya akan terjawab apabila hasil kajian ini dibentangkan (
SINI dan
SINI dan
SINI).
Seleksi album:
Welcome To Hell (1981)
Black Metal (1982)