Katakunci

1 Ramadan 30 hari 2011 (29) 15 Malaysia (3) 1entry=1hari =1Malaysia (32) 1st class facilities 3rd class mentality (3) Abstract (6) Academics (43) Adab (1) Akademik (44) Aktiviti KRENMAUT (2) Anak-anak (31) Anekdot Dialog (21) Anniversary (7) Anthrax (5) Artikel (37) Artikel Agama (50) Audio (1) Baju Iron Maiden (1) Bathory (6) BBQ (3) Beli rumah (1) Berita (11) Black Metal di Malaysia (3) Boikot (5) Boxset (1) Buku (30) Carcass (6) CD untuk dijual (1) Celtic Frost (4) Cited (2) Coffee break (6) cuti-cuti Malaysia (9) D.R.I. (2) Dakwah dan Tabligh (52) Dari Myspace (4) Died (3) Diet (2) Dio (1) Diskografi (4) Diskusi (1) Doctor In The House (2) Dream Theater (30) dyslexia (1) Eid (11) Eksperimentasi Nikon D60 (2) Euphonious (1) Exodus (3) Fake (1) family (18) Fikir random mingguan (11) Filem (42) First 10 Years CD singles (3) Foto rawak (1) Freemason (6) FYP (1) Gear Acquisition Syndrome (18) Gig (51) Gitar (9) Giveaway (2) Heavy Scotland (1) helloween (2) HELLOWEEN CD Singles collection (1) Heriot-Watt University Malaysia (2) Hidup di Adelaide (129) Hidup di Bethlehem (54) High Voltage (5) HWUM (1) I LIKE THIS (1) IPOH (1) Ipoh's Metal Militants (28) Iron Maiden (78) IRON MAIDEN Live New Zealand 2009 (8) Iron Maiden Singapore (7) Iron Maiden singles collection (1) Istilah Agama (1) Istilah seputar CD (4) Jalan-jalan cari makan (8) Jalan-jalan Metal (12) Karisma (16) Kata-kata hikmah (1) Kembali ke Malaysia (5) King Diamond (1) KLASSIKKK (25) Komentari Metal (87) Krenmaut fanzine (3) Kura-kura (1) La Tahdzan (5) Langsuyr (14) Langsuyr rekoding (9) Listening Booth (1) Lords of the Land 2017 (2) Majalah (6) Malaysia tanahairku (8) Malaysiana (68) Manowar (11) Megadeth (29) Megadeth singles collection (1) Melancong ke New York (10) Membebel (161) Metal blogger (1) Metal Commentary (1) Metallica (18) Minuman (6) Mohd Tajul Azhar aka Berat (1) Morbid Angel (1) Mount Bromo (5) mrsm (2) My Scientific Articles (1) My Selangor Story (6) Nak menang Battle of The Bands? (2) Nasyid Metal (5) New Arrival (41) Niagara Falls (10) No Smoking (1) November Record Day (11) Obscure Metal (5) Pengalaman hidup (3) Penjara Al Capone (2) Petua (5) PhD (10) Pink Floyd (1) Pirate (1) Poligami (4) Politik Ramadan (12) Projek besar akhir tahun (2) Promosi (70) Prototype (1) Ramadan (15) Record Store Day (5) Recording (4) Rehabilitation of reinforced concrete structures (5) Review (52) Ross The Boss live (1) Scorpions (10) SEARCH Discography (1) Sembang-sembang (2) Siri Introduksi Kepada (6) Slash di Kuala Lumpur (3) Slayer (16) South Korea Trip (11) Space Gambus Experiment (13) Special Event (7) Stompbox (3) Sunnah (2) Surabaya (8) Swedish Death Metal (1) Syawal (5) taklim (1) Teater (4) Temuramah (23) Terjah blog (5) The 70s rocks! (1) The ABC's of Punk (27) The Beatles (3) The End (1) Tradelist (2) Trip Adelaide-Canberra (8) tro-njo-i (4) Ulasan (421) Uli Jon Roth (4) Untuk dijual (1) US visit Nov-Dec 2012 (14) USA trip 18-27 August 2013 (3) USA trip 27 April - 4 May 2014 (12) Usaha Agama Tempatan (7) UTP (69) Vancouver Trip August 2014 (1) Vinyl (11) Vinyl Passion (6) Viva Voce (1) Voivod (14) Wacken (2) Weezer (1) White Stripes (1) WILHELM Scream (1) Wordless Wednesday (68) Youtube clip (5)
Showing posts with label Slash di Kuala Lumpur. Show all posts
Showing posts with label Slash di Kuala Lumpur. Show all posts

Saturday, August 21, 2010

SLASH III: Temuramah

Rupa-rupanya di bilik hotel penginapan Slash pun ada ruang menunggu?

Dua checkpoints yang kena lepas. Satu dikawal oleh organizer (sekadar fabrik sebesar tali pinggang yang ditarik menghalang perjalanan) dan satu lagi oleh krew Slash sendiri (caucasian berbadan besar, memandang ke hadapan sambil bersedekap di dada - dan berkepala botak), mengawal pintu kaca tidak telus di belakangnya.

"No autograph"

"No photographing"

Bisikan yang aku dengar beberapa meter di hadapan.

Salah seorang dari wakil media yang sama kelompok dengan aku bersembang dengan rakan sepejabatnya. Sambil mengeluarkan buku autobiografi Slash yang mungkin baru dibeli sempena temuramah ini. Mungkin beliau ingin menunjuk betapa dalamnya penyelidikan yang telah dibuat untuk temuramah ini - dan aku pasti ini ditujukan kepada aku kerana aku perasan mata beliau ada menjeling kepadaku. Ini menambahkan keresahan aku. Apa yang aku tau tentang Slash?

Aku pun bukanlah peminat tegar Slash. Aku tak minat pun Guns N Roses selain dari lagu-lagu hits kebiasaan seperti Sweet Child O Mine, Knockin' On The Heaven's Door dan sebagainya. Semasa demam GnR dulu, aku di MRSM. Aku Mat Underground masa tu. Apa-apa yang tidak underground, aku akan cebik mulut. Dan aku tak pernah peduli dengan album-album Slash post-GnR. Slash N Snakepit, Velvet Revolvers adalah nama yang aku dengar tetapi tak berahi langsung untuk ambil tahu. Sehinggalah album solo pertama Slash, diterima dari Universal Music. Sekali dengar dan WOW, ini sudah bagus!

"OK guys... come in..."

Bodyguard berbadan sasa mengenepikan dirinya, sambil membuka pintu kaca tidak telus itu. Aku, Nazri ROTTW dan beberapa lagi masuk ke dalam.

"How are you..." Slash menghulur tangan bersalam.

Aku tersengih dan menjawab sesuatu yang aku pun tak tau apa yang aku jawab. Perkataan tersebut keluar tak keluar dari mulut dalam kelam kabut aku menyambut tangan Slash dan juga mencari kerusi yang sesuai untuk aku duduk. Kumat kamit aku tidak dipedulikan Slash yang menghulur tangan untuk bersalam dengan wakil media yang lainnya.

Ruang tersebut agak kecil. Meja makan kaca yang muat 8 orang itu diduduki oleh Slash di satu hujung sebagai tuan rumah. Di sebelah kanan beliau, wakil media dari majalah Konsert. Aku duduk di sebelah beliau. Jadi jarak aku adalah dua kerusi di hadapan Slash. Nazri ROTTW di sebelah kiri Slash. Dua orang wakil media yang lain berderetan di sebelah Nazri ROTTW.

Ikon dunia tersenyum. Berkaca mata hitam yang menghalang dari matanya dari dilihat dari luar (gelap terus). Bertopi signature seperti kebiasaannya dan berbaju lengan pendek. Kumis janggutnya tidak bercukur, mungkin tak sempat atau mungkin mahukan imej memberontak. Rambutnya hitam tetapi kumisnya keputihan menzahirkan usianya. Fizikalnya, agak memeranjatkan sedikit kerana tidaklah setinggi mana. Dan tidak sebesar mana. Mungkin sama tinggi dengan aku.

Buat seketika kami dari wakil media terdiam. Siapa yang nak mula menyoal?

Aku tak berapa dengar soalan yang pertama dari wakil media Konsert tetapi ia ada berkait dengan amplifier signature Slash yang sedang dibikin oleh Marshall yang akan dirilis tak lama lagi.

"Bila saya berfikir tentang album solo ini, saya mahu merealisasikannya untuk peminat. Ini kerana menurut perbincangan online antara peminat ialah mereka bercakap tentang amp yang saya gunakan untuk album Appetite For Destruction dan mereka mahu membuatnya sendiri. Saya pun tak tahu menahu (mengenai amp tersebut) tetapi peminat-peminat; mereka telah mengumpulkan segala maklumat blueprint untuk menghasilkan amp ini. Ramai juga yang berminat dengan gitar yang saya gunakan ketika itu. Jadi saya pun pergi kepada sumber gitar tersebut dan menghasilkan gitar model Slash yang saya gunakan untuk merakamkan semua lagu dalam album tersebut. Selepas itu saya berjumpa dengan mereka di Marshall dan berbincang tentang amp yang saya gunakan untuk album tersebut. Itulah yang telah kami lakukan. Santiago, pegawai yang berurusan dengan saya di Marshall, duduk bersama-sama dengan saya dan saya membawa track raw dari album tersebut, terus dari master-tape dan kami mendengarnya bersama-sama dan mula merekabentuk amp itu berdasarkan kepada sound yang kami dengar. Saya pun tak perasan keunikan sound saya dalam album tersebut tetapi peminatlah yang menyedarkan saya. Sebenarnya saya menggunakan prototype kepada amp itu dalam 3 show kebelakangan ini sebelum ianya akan dirilis secara rasmi. Dan bunyinya memang sedap! Ia akan dirilis pada November 2010. Bentuknya pun agak lain dari yang lain. Ianya ol-skool seperti model tahun 50an. Dengan huruf yang kecil, panel berwarna perak tidak emas seperti kebiasaan dan twin cabinet."

Yang seterusnya berkait dengan soalan yang ingin aku tanya iaitu samada beliau ada menggunakan multieffects di dalam rakaman album solo beliau. Ya, aku bertanya soalan yang kedua!

"Saya ni ol-skool dan saya tak berapa suka menggodek-godek benda dan benci nak mengubah-ubah perkara yang detail dan ini tidak menarik perhatian saya. Mungkin orang lain lebih teknikal. Kalau bunyinya bagus, saya biarkan ia kekal macam tu. Saya menggunakan yang asas saja. Seperti band saya sebelum ini, bass gitar... dan saya tak banyak guna efek cahaya... saya tak gilakan pedalboard dan itu juga sebab saya menggunakan sistem rakaman tape."

Wakil Konsert kembali dengan soalan seterusnya, yang mencadangkan program Slashfest (seperti Ozzfest) memandangkan dalam album solo ini ramainya artis yang berkoloborasi dengan beliau.

"Kalau ambil kira semua perkara, bunyinya memang menarik tapi setakat ni saya tak pernah terfikir lagi. Ozzy dah ada Ozzfest dan memang menarik pun. Begitu juga dengan Motley Crue dengan Cruefest. Memang bagus kalau boleh buat macam tu dengan lineup yang menarik kerana saya masih tak jumpa lagi lineup yang boleh saya katakan sebagai lineup terbaik lagi. Tapi mungkin juga lineup yang saya pilih tidak akan menjadi pilihan ramai! Tengoklah nanti!"

Peluang aku lagi, yea! Aku bertanya tentang keadaan beliau yang solo sekarang dan mempunyai kuasa penuh terhadap apa yang mahu dilakukan berbanding dengan zaman dengan band yang mempunyai ramai kepala.

"Takdelah masalah sangat... emm... Apa yang saya lakukan ialah memudahkan keadaan. Kami bergerak dengan crew yang kecil, soundguy, lighting guy dan beberapa technicians. Memang bentuk kerangka je dan keluar bermain sebagai band rock n roll. Malangnya ini sangat *%#&$ komplikated untuk sesetengah orang untuk melakukan ini (bunyi menyindir). Situasi sekarang ialah saya sekarang boleh cakap, inilah perkara yang kita akan lakukan, nampak tak (bunyi menyindir)? Itulah apa yang berlaku sekarang dan ia berjalan lancar. Saya masih menganggap sekarang ini saya masih dengan sebuah band dan saya tidak meletakkan diri saya lebih tinggi dari orang lain. Saya menganggap kami sekarang seperti satu organisasi yang masing-masing berpegang kepada ideal yang sama dan saya memberi kredit kepada semua yang terlibat dalam merealisasikannya. Untuk band yang lain, saya terpaksa mengadap kepada seseorang atau pengurus... (sedangkan sepatutnya ia dapat dipermudahkan). Jadi, memang seronok dan mudah sekarang ni.

Soalan seterusnya dari awek dari media apa aku tak tau. Dia bertanya tentang koleksi gitar yang dimiliki oleh Slash samada diinsurans atau tidak.

"Ye... dalam skim insurans payung (umbrella insurans - haha tak tau nak translate camana). Saya tidak ada insurans khusus untuk satu-satu gitar."

Giliran NST untuk menanyakan soalan beliau.

"Lagu terakhir? Lagu terakhir jika saya akan mati hari ini? &%$* negatifnya soalan (sambil tersenyum). Tak tahu... mungkin Paradise City"

Nazri ROTTW bertanya mengenai harapan asal Slash untuk mendapatkan vokalis Radiohead untuk album solo beliau tetapi tidak tercapai.

"Saya bukannya mahukan beliau tetapi mahukan stail beliau; falsetto yang tinggi dan saya menyatakan nama beliau kerana saya mahukan stail yang sebegitu dan saya menjumpainya dalam Rocco De Luca. Ia adalah pertembungan yang menarik. Kalau nak dapatkan penyanyi Radiohead, mungkin agak komplikated. Lagu tersebut saya cipta dengan gitar akustik dan menggunakan teknik finger-picking. Dalam banyak-banyak lagu yang rancak itu saya ada menyimpan lagu-lagu yang lembut kerana saya sukakan banyak stail dan bila saya cipta lagu itu memang ideanya untuk mendapatkan vokal sebegitu. Seorang sahabat telah datang tanpa mengetahui yang saya mahukan vokal stail sebegitu, dan dia berkata - kau patut dengar penyanyi ni Rocco De Luca - yang mana saya tak pernah dengar siapa dia ni. Jadi dia bawa album Rocco kepada saya dan bila saya dengar saya katakan, inilah vokal yang saya mahukan untuk lagu ini (Saint is a Sinner)"

Giliran aku lagi!!! Bukan giliran sebenarnya, aku yang potong giliran (aku oportunis). Aku nyatakan tentang ramainya personaliti yang terlibat dalam rakaman album ini terutamanya nama-nama besar seperti Ozzy Osbourne, Iggy Pop dan Lemmy. Aku bertanya apa pandangan beliau terhadap nama-nama besar ini?

"Dan Alice Cooper sekali (aku tertinggal nama ni hahaha - Abang Ben)... Keempat-empat mereka memberikan impak yang sangat besar dalam pembentukan muzik saya sejak saya kecil lagi. Dan saya mengenali mereka pun dah lama sebagai kawan. Oleh kerana vokal mereka memang sentiasa berlegar dalam kepala saya, maka beberapa lagu memang saya cipta - seperti lagu ni memang sesuai untuk Ozzy dan lagu ni untuk Iggy Pop. Ia muncul secara semulajadi. Saya merakam dengan mereka dulu, bermula dengan Ozzy, Iggy, Lemmy dan Alice sebelum penyanyi-penyanyi lain kerana saya kenal mereka lebih dari yang lain. Dan saya boleh terima kritikan dari mereka lebih baik dari orang lain (ketawa)."

Wakil media dari Konsert pun tak melengah-lengahkan masa untuk bertanya soalan seterusnya mengenai stail gitari yang bermacam-macam. Beliau mahukan nasihat dari Slash, petua untuk kekal dalam indutri muzik sebagai gitaris dan bagaimana mencipta stail tersendiri.

"Saya telah melakukan ini dah lama dan sejak dari kecil lagi, saya bermain - rock n roll berintikan blues yang asas. Saya pun tidak tahu kenapa saya boleh kekal sampai macam sekarang. Bila gitaris lain - bila Eddie Van Halen muncul, beliau memang dahsyat - semua orang melompat dan mengambil stail beliau. Tapi kebanyakan dari mereka terlupa perkara yang menyebabkan Eddie hebat iaitu tone beliau dan rock feel beliau bukan semata-mata apa yang dimainkan beliau jadi ramailah yang mengikut teknik beliau yang dahsyat itu tetapi terlupa tentang perkara yang asas. Kebanyakan mereka tidak dapat sound mereka sendiri iaitu sound yang dapat menjadi trademark mereka.Saya rasa itulah yang patut difokuskan - mencari sound anda - kerana itu adalah kesinambungan kepada personaliti anda. Apa personaliti anda itu sama penting dengan note yang anda petik. Saya tahu ramai gitaris yang tidak tahu apa sound mereka dan mereka tidak mempunyai 'suara' sendiri."

LAST QUESTION - pengumuman dari organizer.

Dengan cepat aku mengambil peluang. Aku bertanya - jadi apakah selepas rock n roll. Mungkin ada benda lain yang mahu dilakukan selepas rock n roll?

"(Tersenyum) Rock n roll ialah sesuatu yang anda akan terjun ke dalamnya dan ia adalah sebahagian dari jatidiri anda. Ia bukannya lifestyle secara keseluruhan tetapi lebih kepada mekap. Jadi saya akan kekal sebegini."

Habis!

Tak semena-mena wakil media Konsert mengajak Slash mengambil gambar. Aku terkejut. Eh, kata tak boleh ambik gambar? Apa lagi, aku pun tak lepaskan peluanglah!

Jangan jeles

Dalam kelam kabut tu aku lupa yang aku patut gunakan DSLR untuk ambil gambar ni. Henset pun hensetlah!

Sekali dapat autograph pada muka depan CD.

Kami berjabatan dan keluar. Aku berlagak American (walaupun acuan aku Aussie) - sambil berjabat tangan aku kata "Thanks mannnn..." (lidah US).

Macam mimpi!

Oh, patutlah wakil Konsert tu banyak tanya mengenai sound gitar. Rupa-rupanya beliau adalah Rithan, gitaris hebat Deja Voodoo Spell, yang pernah berkongsi pentas dengan Steve Vai!

(bersambung)

Saturday, August 07, 2010

SLASH II: Menunggu

"You... you... you... and you...!" telunjuk PR kepada wakil media yang hadir. Semua ditelunjuknya, kecuali aku. Aku kembali menjadi proaktif. Perasaan takut-takut berjumpa seorang ikon berubah kepada perasaan takut terlepas peluang berjumpa dengan seorang ikon.

"And you are from?"

"Krenmaut!"

"Oh... after this..." jawab PR tersebut sambil berlalu pergi menyelesaikan kelompok pertama.

Jam menunjuk 1230pm lebih sikit. Adrenalin rush aku kembali reda. Aku yang tadi melompat berdiri, kembali pada posisi bebas. Mata aku meliar mencari ruang yang lebih sesuai. Mungkin kawasan tadi agak berjauhan dari kelompok media yang lain. Kali ini, aku menuju ke arah ruang yang lebih terbuka kepada interaksi. Aku duduk.

Beberapa pemuda mula datang ke arahku. Mereka mengukir senyuman dan menghulurkan tangan. Aku memberi salam. Salah seorang dari mereka, berjanggut dan hitam manis. Macam aku pernah nampak. Tapi di mana ye?

Mereka yang bersalaman tadi tinggal seorang saja yang melabuhkan punggung di sebelahku. Beliau nampak seperti seorang rock journalist. Berpakaian selekeh. Bukan comot. Tetapi selekeh. Berbeza dengan yang lainnya, kemas. Baju Tool yang dipakainya dibalut dengan sehelai kemeja panjang berkain agak tebal. Bahunya menggongong bag yang membulat penuh. Terjulur dari beg tersebut, satu gelungan yang pada firasat aku merupakan sehelai poster. Disebelah tangannya menggenggam helaian kertas dengan soalan-soalan yang bakal ditanya kepada Slash.

Beliau berambut panjang paras bahu. Sebahagian dari rambutnya menutupi sebelah matanya. Mukanya bujur cengkung. Badannya kurus melengkung. Senyumannya manis.

Buat beberapa ketika aku dan dia sekadar melayan perasaan masing-masing.

"Bentara?" Soal beliau.

"Ye! Dari mana?" Soalku kembali.

"ROTTW... Nazri."

Kami bersalaman kembali.

"Saya ada juga baca blog krenmaut..." sambung beliau.

"Masa saya hantar artikel IRON MAIDEN New Zealand tu, ko dah ada ke?"

"Ada" jawab beliau kembali.

Dari perbualan itu aku mendapat tahu berita terkini tentang Abang Rom (boss ROTTW). Aku pernah ditemuramah dengan Abang Rom sendiri untuk bahan muka depan ROTTW ketika Langsuyr merilis album yang pertama. Ketika itu, temuramah dijalankan di rumah Abang Rom sendiri. Ia berjalan selama beberapa jam. Bermula dari lewat malam dan berakhir hampir subuh.

"Dia dah berhenti rokok... badan sihat sikit sekarang." Kata Nazri sambil tersengih.

Mengimbas kembali, memang Abang Rom perokok do or die. Tak putus-putus. Aku yang tak merokok, terpaksa senyum kelat. Aku tau akibatnya selepas ini, apabila berinteraksi dengan orang yang merokok dan aku menyedut asapnya; aku akan mula batuk-batuk. Tapi, apa nak buat. Aku mempromosi album. Abang Rom sedang mencari angle yang baik untuk cerita muka depan. Aku harus bertolak ansur.

"Dan dia sekarang banyak masa terluang, pergi memancing... dapat hidayah untuk berhenti merokok ketika sesi memancing." Kami berdua ketawa.

Peluang seterunya aku rampas dengan pantas.

"Ini sesi pertama aku interview artis sebesar ini. Bagaimana formatnya?" Tanya aku.

"Nak menyoal, kena angkat tangan dulu ke? Ada ikut giliran ke?" sambungan persoalan aku lagi. Aku agak rakus menyoal. Aku harap dia pun rakus menjawabnya.

Rupa-rupanya, dia pun gemuruh juga. Walaupun tak segemuruh aku. Ikut pengalaman beliau, kalau sesi intimasi sebegini, kurang formal. Suasananya lebih kepada ruang yang terbuka. Tiada format tertentu.

"Aku nak tanya dia... adakah album solo beliau ni keputusan yang sengaja dibuat setelah rilisnya Chinese Democracy? Oleh kerana Chinese Democracy tu, hasilnya tak seberapa, maka dia kata... aisey, aku boleh buat lagi bagus dari ini... maka aku nak buat album solo juga!" Aku mengutarakan soalan yang aku bina, yang aku rasa, paling tepat dengan keadaan. Soalan yang aku rasa, layak menerima anugerah. Soalan yang bisa menyebabkan Slash berpeluh ataupun terkejut dengan penilitian yang kritikal yang telah aku buat sepanjang karier beliau yang kemudiannya dibalas dengan pelukan erat dan bisikan di telinga, "You are a true fan..."

Nazri menghulurkan sehelai kertas bertajuk DO AND DON'T FOR THE MEDIA. Tertulis pada ruangan DON'T

- ask about Guns N Roses or anything related to Guns N Roses.
- ask about his past addiction to drugs and alcohol.

"Aduh...." anti-klimaks sungguh. Soalan tadilah yang sekejap datang, sekejap aku ulang-ulang, sekejap aku praktis menyebutnya dan akhirnya menjadi soalan yang dilarang!

"ROTTW... Konsert... Krenmaut..." PR tadi menjelma dengan tiba-tiba.

"Come with me"

Peluh jantan mula menitik kembali. Kami dibawa ke bahagian lif untuk naik ke atas. Fikiran aku kumat-kamit dengan soalan-soalan yang mahu ditanya.

Slash ialah seorang rockstar. Antara yang tergah pulak tu. Teringat kisah-kisah yang dinukilkan oleh idola rock journalist aku, Mick Wall, ketika beliau bersama dengan Ozzy Osbourne, Axl Rose dan sebagainya. Penuh dengan hedonism. Dan pada yang sama penuh dengan kebencian terhadap wakil media yang pada pandangan mereka, intrusif dan macam bagus. Sesi temuramah yang mereka lakukan secara rasmi bukan atas kehendak mereka tetapi kerana kontrak mereka dengan syarikat rakaman. Dengan lain perkataan, sesi temuramah sebegini adalah sebahagian dari tugas hakiki seorang artis.

Mick Wall lain. Beliau seorang rock journalist. Bukan reporter. Aku telah bersembang dengan Nazri tentang definisi ini. Seorang reporter ialah mengambil berita. Sedangkan jurnalis, mempamerkan analisis kritikal ketika menghasilkan sesuatu tulisan.

Untung bagi Mick Wall ialah, beliau bertugas membuat laporan kritikal sepanjang sebuah tour! Yang akhirnya, Mick Wall menjadi kawan rapat kepada rockstar yang dilaporkannya. Ozzy hisap ganja, Mick Wall sekali join. Mabuk sampai pengsan, dia ikut juga. Menjahanamkan bilik hotel, dia ikut juga. Pendek kata, Mick Wall ialah rockstar versi rock journalist!

Aku memang tiada cita-cita nak ikut macam tu. Tak terdetik pun. Cuma bond tu takdelah. Tiada ikatan persahabatan sebagai peminat rock. Aku minat rock, Slash juga minat rock. Kami berdua, rockers. Aku, pada pandangan Slash mungkin, hanyalah hantu-hantu media yang dihantar sekadar menjalankan tugas hakiki seorang reporter.

Dalam masa 15 minit! Itulah peluang yang diberi. Itupun berkongsi dengan beberapa media lain.

Lif mula naik ke atas. Kami di dalam lif melayan perasaan masing-masing. Jantung mula berdegup kencang.

SLASH III: Temuramah

Friday, August 06, 2010

SLASH I: Perjalanan

"Nak parking dekat hotel ke atau lagoon", aku menghantar sms ketika memandu menghala ke Sunway.

"Sama je, kat depan hotel tu ada open parking", balas Azri Sidek, PR kepada Universal Music.

Aku kembali memandu sambil sekali-sekala mata menjeling kepada GPS pada telefon bimbit Nokia. Aku tau Sunway Pyramid. Aku tau Sunway Lagoon tapi tak pernah ambil peduli dengan hotel Sunway. Maklumlah, hotel mahal. Tak mampu.

Aku tak pernah jumpa Azri. Berhubung melalui email dan facebook je. Tugas beliau sebagai PR memang begitulah. Memastikan setiap rilisan Universal Music mendapat pendedahan secukupnya. Sebelum ini beliau menghantar pakej CD untuk aku buat ulasan. Masih ada 40 lebih CD yang masih belum diulas. Mood tak berapa ada. Ada yang telah dibuat rangka, ada yang baru separuh ditulis namun semuanya masih tidak boleh disebarkan lagi.

Cantik! Tepat 12pm aku melabuhkan MPV di ruang meletak kereta berbayar. Bergegas aku ke ruang lobi hotel. Aku tak berapa hafal muka Azri. Gambar belum tentu serupa dengan muka sebenar. Aku meninjau-ninjau. Ada dua orang pemuda yang dari gaya pakaiannya, rockers. Dari media? Mungkin tidak kerana mereka melenggang.

Kali ini sms aku kepada Azri tidak dibalas. Dia mungkin sibuk. Bukan aku saja yang nak menemuramah Slash jam 1pm nanti. Lagipun, apalah yang ada pada krenmaut ini jika nak dibandingkan dengan media-media lain yang lebih hebat.

Aku pun tidak menyangka yang aku boleh dapat peluang ini. Tapi pada masa yang sama, bila aku imbas kembali, memang tiada blog yang seumpama krenmaut. Majoriti entry adalah berkisar tentang muzik dan ratusan ulasan album telah dibuat dengan adil (kecuali IRON MAIDEN hahah). Pada yang sama krenmaut juga yang paling terhadapan. Aku berkira, memang adil peluang ini dapat pada krenmaut. Oleh kerana krenmaut = aku, maka aku memang layak!

Aku duduk menunggu di dalam lobi. Mataku liar memerhati keliling. Rakyat yang paling ramai menginap, rasanya dari negara Timur Tengah. Lebih dari separuh mereka yang berkeliaran, adalah mereka.

Mungkin aku yang paling awal sampai. Lebih kurang setengah jam kemudian, barulah nampak mereka-mereka yang berperangai seperti wakil dari media. Tangan menggenggam buku nota atau helaian kertas yang nampaknya seperti soalan-soalan yang telah disusun dan bakal ditanya nanti. Ada juga yang membawa kamera DSLR. Mereka saling tegur menegur antara satu sama lain. Sudah tentu mereka sudah mengenali kerana itu kerja hakiki mereka. Aku agak terpinggir. Ini sesi pertama. Sudahlah sesi pertama, dengan gitaris terunggul dunia pula tu! The Time telah letak Slash sebagai gitaris terhebat no dunia, kedua kepada JIMI HENDRIX.

Bila aku fikir status Slash, fikiran aku kembali kepada soalan-soalan yang nak ditanya. Semua sudah ditulis di atas buku nota. Cuma aku susun kembali ayat-ayatnya supaya lancar bergerak di bibir. Semoga pronunciation aku betul dan Slash dapat menangkapnya dengan sekali tutur. Oleh sebab itu, aku mahu melupakan Slash. Ingat Slash, menyebabkan aku rasa gentar dan gabra. Aisey bro! Slash pun makhluk bro! Takde kuasa. Yang ada kuasa Allah s.w.t. je. Aku menarik nafas panjang.

Sedikit kekecohan disebelah kiriku. Seorang wanita sedang menegur kelompok wakil media yang sedang berbual-bual. Dari gayanya, seperti beliau adalah wakil organizer dan mengarahkan mereka untuk siap sedia. Oleh kerana aku terpinggir dari kelompok tadi, aku terpaksa jadi proaktif. Aku bergegas ke arah wanita tersebut.

"Are you from the media?"

"Yes!"

"Please wait that side...". jari telunjuknya mengarah kepada ruang lobi dengan sofa.

Ah... aku silap duduk lagi. Akibatnya, aku masih terpinggir. Harapan aku, aku dapatlah duduk dengan kelompok media yang lain. Mungkin dengan duduk dengan mereka akan ada peluang untuk aku berbual-bual. Mungkin juga aku boleh dapat petua dalam suasana begini. Bagaimana cara approach? Nak menanya soalan itu, kena angkat tangan dulu ke? Kena ikut giliran bertanya ke?

Ini sesi pertama seumur hidup! Memanglah sebelum ini aku pernah menemubual secara live, antaranya dengan F.T.G. (krenmaut versi printing berwarna beberapa tahun lepas) tetapi itu sesi temuramah solo. Lagipun, dari segi martabat, memang langit dengan bumi. Kita sedang bikin strategi untuk menemuramah SLASH. Ikon gitar dunia! Sesinya intimate! Ini bukan press conference biasa!

Ingatan kepada Slash datang kembali. Aku mulai resah. Aku buka dan aku tutup buku nota yang telah tersedia lebih dari 10 soalan. Aku melatih kembali soalan-soalan yang mahu ditanya. Ah, sungguh tak membantu. Aku perlukan seorang teman dari media. Aku mahu menemuramah teman dari media ini dulu. Aku mahu jadi anak muridnya dalam masa 10-15 minit yang masih ada sebelum sesi dengan Slash bermula.

Peluh mula menitik...

(Bersambung)


SLASH II: Menunggu
SLASH III: Temuramah