Katakunci

1 Ramadan 30 hari 2011 (29) 15 Malaysia (3) 1entry=1hari =1Malaysia (32) 1st class facilities 3rd class mentality (3) Abstract (6) Academics (43) Adab (1) Akademik (44) Aktiviti KRENMAUT (2) Anak-anak (31) Anekdot Dialog (21) Anniversary (7) Anthrax (5) Artikel (37) Artikel Agama (50) Audio (1) Baju Iron Maiden (1) Bathory (6) BBQ (3) Beli rumah (1) Berita (11) Black Metal di Malaysia (3) Boikot (5) Boxset (1) Buku (30) Carcass (6) CD untuk dijual (1) Celtic Frost (4) Cited (2) Coffee break (6) cuti-cuti Malaysia (9) D.R.I. (2) Dakwah dan Tabligh (52) Dari Myspace (4) Died (3) Diet (2) Dio (1) Diskografi (4) Diskusi (1) Doctor In The House (2) Dream Theater (30) dyslexia (1) Eid (11) Eksperimentasi Nikon D60 (2) Euphonious (1) Exodus (3) Fake (1) family (18) Fikir random mingguan (11) Filem (42) First 10 Years CD singles (3) Foto rawak (1) Freemason (6) FYP (1) Gear Acquisition Syndrome (18) Gig (51) Gitar (9) Giveaway (2) Heavy Scotland (1) helloween (2) HELLOWEEN CD Singles collection (1) Heriot-Watt University Malaysia (2) Hidup di Adelaide (129) Hidup di Bethlehem (54) High Voltage (5) HWUM (1) I LIKE THIS (1) IPOH (1) Ipoh's Metal Militants (28) Iron Maiden (78) IRON MAIDEN Live New Zealand 2009 (8) Iron Maiden Singapore (7) Iron Maiden singles collection (1) Istilah Agama (1) Istilah seputar CD (4) Jalan-jalan cari makan (8) Jalan-jalan Metal (12) Karisma (16) Kata-kata hikmah (1) Kembali ke Malaysia (5) King Diamond (1) KLASSIKKK (25) Komentari Metal (87) Krenmaut fanzine (3) Kura-kura (1) La Tahdzan (5) Langsuyr (14) Langsuyr rekoding (9) Listening Booth (1) Lords of the Land 2017 (2) Majalah (6) Malaysia tanahairku (8) Malaysiana (68) Manowar (11) Megadeth (29) Megadeth singles collection (1) Melancong ke New York (10) Membebel (161) Metal blogger (1) Metal Commentary (1) Metallica (18) Minuman (6) Mohd Tajul Azhar aka Berat (1) Morbid Angel (1) Mount Bromo (5) mrsm (2) My Scientific Articles (1) My Selangor Story (6) Nak menang Battle of The Bands? (2) Nasyid Metal (5) New Arrival (41) Niagara Falls (10) No Smoking (1) November Record Day (11) Obscure Metal (5) Pengalaman hidup (3) Penjara Al Capone (2) Petua (5) PhD (10) Pink Floyd (1) Pirate (1) Poligami (4) Politik Ramadan (12) Projek besar akhir tahun (2) Promosi (70) Prototype (1) Ramadan (15) Record Store Day (5) Recording (4) Rehabilitation of reinforced concrete structures (5) Review (52) Ross The Boss live (1) Scorpions (10) SEARCH Discography (1) Sembang-sembang (2) Siri Introduksi Kepada (6) Slash di Kuala Lumpur (3) Slayer (16) South Korea Trip (11) Space Gambus Experiment (13) Special Event (7) Stompbox (3) Sunnah (2) Surabaya (8) Swedish Death Metal (1) Syawal (5) taklim (1) Teater (4) Temuramah (23) Terjah blog (5) The 70s rocks! (1) The ABC's of Punk (27) The Beatles (3) The End (1) Tradelist (2) Trip Adelaide-Canberra (8) tro-njo-i (4) Ulasan (421) Uli Jon Roth (4) Untuk dijual (1) US visit Nov-Dec 2012 (14) USA trip 18-27 August 2013 (3) USA trip 27 April - 4 May 2014 (12) Usaha Agama Tempatan (7) UTP (69) Vancouver Trip August 2014 (1) Vinyl (11) Vinyl Passion (6) Viva Voce (1) Voivod (14) Wacken (2) Weezer (1) White Stripes (1) WILHELM Scream (1) Wordless Wednesday (68) Youtube clip (5)
Showing posts with label Diskografi. Show all posts
Showing posts with label Diskografi. Show all posts

Monday, January 02, 2012

Diskografi CARCASS

Saya diperkenalkan kepada band Carcass oleh seorang brader yang bekerja di kedai jual pakaian di tingkat atas kompleks Yik Foong. Ketika itu saya baru berjinak-jinak dengan muzik Metal. Brader ini bukan orang Ipoh rasanya. Gayanya bukan seperti itu. Lebih urban. Berpakaian serba hitam, selalu menyarungkan jaket hitam. Berambut panjang. Sekali pandang ada iras dengan muka Cronos (Venom). Setelah beberapa lama kenal, beliau menggesa saya mendengar Carcass dari sebuah kaset rakam sendiri. Saya kira, boleh saja.

Album Reek of Putrefaction menjadi tempat kenal saya kepada Carcass. Bunyinya mengerikan bukan kerana memang muzik Carcass itu ngeri tetapi kualiti kaset yang diberi pinjam itu tidak berapa bersih. Menyebabkan saya tidak berapa berkenan. Carcass saya lupakan sementara waktu. Saya tahu, mereka memainkan muzik grindcore. Dan saya tahu mereka menulis lirik-lirik yang meloyakan tekak - jijik. Saya mendengar Symphonies of Sickness - produksinya lebih sikit tetapi pendapat saya masih tetap.

Proses mengenal semula terjadi tatkala album Necroticism dijual di pasaran. Ditambah pula band Ipoh, Profane Creation mula memainkan lagu Corporal Jigsore Quandary yang saya pasti semua akan setuju adalah lagu tema Carcass. Ini dimensi baru - saya katakan. Sejak dari itu Carcass menjadi pilihan.Bukan saja disebabkan ke-grindocore-an mereka tetapi betapa mereka menjadi pelopor kepada muzik Melodic Death Metal untuk album-album seterusnya.

Nyawa Carcass memang tidak lama. Selepas saja rilis album Swansong, mereka berkubur. Namun peluang keemasan memang saya tidak dapat lepaskan ketika reunion tour mereka di Adelaide, Australia saya berada di situ. Menonton Carcass di depan mata seolah-olah melengkapkan perkakas Metal di dalam hati yang dulunya tak cukup. Jeff Walker masih tetap dengan auranya yang sukar diceritakan (walaupun fizikalnya, beliau rendah). Dan paling seronok, dapat melihat Bill Steer dengan gaya 70an beliau.

Ada ura-ura mereka mahu merakamkan album baru. Saya pasti bukan saya saja yang menunggu ia menjadi realiti.

Reek of Putrefaction (Earache, 1988)
Kemungkinan ini adalah album kedua grindcore yang dirilis selepas album Scum (Napalm Death). Walaupun jatuh no 2 tetapi signifikan album ini besar. Scum ditulis dalam perspektif sosio dan politik sedangkan Reek Of Putrefaction mengambil aliran yang menjijikkan - seterusnya menjadikan album ini pelopor kepada sub-genre goregrind. Jeff Walker menggunakan buku teks medical kakaknya untuk dijadikan lirik yang berkait rapat dengan ilmu patologi dan forensik. Maka tidak hairan jika tajuk lagu-lagu di dalam album ini membelit lidah seperti Regurgitation of Giblets, Microwaved Uterogestation dan Manifestation of Verrucose Urethra. Album ini juga lebih kompleks dari segi susunan lagunya. Namun ia kalah pada bahagian produksinya yang murahan menenggelamkan apa yang patut dijelmakan pada speaker radio. Jalan ekstrim yang dibawa oleh Carcass juga diterjemahkan dengan kulit album yang merupakan collage autopsi manusia yang menjijikkan - menyebabkan kulit album ini diharamkan untuk ditayang.

Symphonies of Sickness (Earache, 1989)
Setahun selepas album Reek, Symphonies of Sickness dirilis dengan beberapa upgrading yang cantik. Antaranya, produksi album ini 100 kali lebih baik dari sebelumnya. Bunyi gitar Bill Steer berat tetapi well-balanced dengan keseluruhan mix. Permainan drum Ken Owen juga lebih disiplin dan teratur. Begitu juga dengan vokal Jeff Walker (dan Bill Steer) yang lebih konsisten. Lagu-lagunya lebih panjang berbanding dengan durasi lagu 1-2 minit pada album Reek. Lagu Reek Of Putrefaction dan Exhume To Consume menjadi lagu anthem grindcore sepanjang zaman. Tajuk lagu juga tidak kalah, lebih membelitkan lidah - Excoriating Abdominal Emanation, Empathological Necroticism dan Cadaveric Incubator of Endoparasites. Namun elemen gore masih diteruskan pada kulit album dan juga lirik. Ini memartabatkan lagi Carcass di persada muzik Metal dan sudah tentu ini menumbuhkan bukan sedikit malah lambakan band yang menjadikan goregrind sebagai ideologi muzik mereka.

Necroticism – Descanting the Insalubrious (Earache, 1991)
Untuk album ketiga, rombakan yang signifikan dilakukan pada hala tuju muziknya. Atas sebab itu, khidmat seorang gitaris yang berkebolehan diperlukan - Michael Amott (Arch Enemy) yang sebelum itu terikat dengan band Sweden, Carnage. Dan hasilnya, memang menakjubkan. Elemen super-laju di dalam dua album sebelumnya ditimbal balik dengan kompleksiti susunan gitar yang lebih halus sulamannya. Grinding drum yang menjadi elemen penting sebelum ini, kini menjadi sekunder. Album ini menjadi 100 kali lebih heavy dari apa-apa yang pernah dihasilkan sebelum ini. Yang dikekalkan cuma elemen goregrind dan tajuk yang membelit lidah masih diteruskan - Corporal Jigsore Quandary, Lavaging Expectorate of Lysergide Composition dan Carneous Cacoffiny - dengan twist yang baru iaitu berkonsep. Konsepnya adalah cara-cara bagaimana mayat manusia boleh dikitar semula; antaranya bagaimana ia boleh dijadikan pet food dan instrumen muzik. Menarik bukan? Pada masa yang sama gitar solo Amott/Steer menjadi pemanis yang kadang-kadang membuat kita terfikir ini adalah sebuah album parti solo gitar - menggambarkan betapa hebatnya solo-solo gitar yang dihasilkan di dalam album ini. Walaupun dua album sebelum ini mendifinisi muzik goregrind tetapi album ini mengajar bagaimana kejijikan ini dapat dijadikan cantik, menarik dan wangi.

Heartwork (Earache, 1993)
Benda pertama yang akan kita hadapi dengan album ini ialah, dimanakah elemen goregrind Carcass? Ia telah dibakul sampahkan. Tiada lagi potong-memotong anggota badan, tiada lagi nanah dan darah, tiada juga perkara yang menjijikkan berkenaan dengan autopsi dan patologi. Seterusnya, anda akan menghadapi masalah jika mencari blast beat yang menjadi darah daging band grindcore/goregrind. Barulah anda tersedar - Carcass sudah berubah. Patutnya anda perasan dari awal lagi ketika melihat kulit album ini (antara band bertuah mendapat kebenaran menggunakan hasil kerja H. R. Giger selepas Celtic Frost). Anda mungkin berasa anda ditipu dan teraniaya tetapi hanya jika anda taksub. Jika tidak taksub, anda akan jumpa beberapa perkara yang baru. Antaranya; tiada band lain yang bermain seperti ini pada masa itu. Carcass membuka skop baru dalam perbendaharaan muzik Metal - iaitu melodic Metal - mungkin sebab ini juga Michael Amott keluar dan menubuhkan Arch Enemy. Seterusnya, produksi album ini membuatkan anda ternganga. Bunyi gitarnya - sungguh tebal seolah-olah menyerupai tembok bunyi yang tersangat besar. Untuk ini, terima kasih anda patut pergi kepada penat lelah Bill Steer yang merakamkan track gitar beliau secara berulang-ulang; banyak layer. Kesimpulannya ialah Carcass adalah band yang tidak mahu duduk pada satu tempat. Logiknya, mengapa perlu ketika genre yang pernah mereka pelopori telah menjadi tepu. Langkah yang bijak.

Swansong (Earache, 1996)
Sepatutnya album ini membawa Carcass ke lembah yang lebih wangi kerana sebelum album ini rilis, mereka telah diberi duit permulaan untuk rakaman sebanyak $200,000 dari label multinational - Columbia Records. Penyudahnya, ini menjadi album terakhir mereka dan Carcass bungkus sebelum album ini diriliskan pun. Ironi kan? Mungkin benar kata pujangga Metal - Metal is meant to stay underground. Tekanan untuk menjadi popular sangat kuat dan bukan semua orang yang mampu menghadapinya. Sesetengah mengambil keputusan - cukup! Muzik sepatutnya menjadi hiburan dan bukan kerja. Itulah agaknya keputusan yang dibuat oleh Carcass. Membakulsampahkan Columbia Records dan kembali kepada Earache yang juga bukan keputusan yang bijak kerana Earache sendiri bermasalah. Album ini, dengan teknik rakaman gitar dengan lapisan yang banyak, diteruskan lagi. Muziknya menjadi lebih melodik, bersedia untuk transisi kepada pasaran komersil seperti yang telah dibuat oleh Metallica melalui album hitam mereka. Hatta, Jeff Walker sendiri dikatakan bersedia untuk mengambil kursus menyanyi untuk album ini. Namun begitu, ini adalah album yang masih essential kepada peminat muzik Metal. Mengimbas kembali kesemua 5 album Carcass yang dirilis, tiada satupun yang sama. Carcass adalah antara band yang menjadikan evolusi sebagai elemen untuk survive dan mereka berjaya (dan mati) pada masa yang sama. Dan kita sebagai peminat muzik Metal patut berterima kasih atas legasi yang telah ditinggalkan oleh Carcass. Nothing last forever.

Thursday, December 01, 2011

Diskografi VOIVOD

Seperti yang disiarkan dalam KARISMA Oktober 2011

-------------

Semasa belajar di UTM Skudai, Jorn (Catarrh) menjadi rakan Metal saya yang paling rapat sekitar tahun 1993-1994. Ketika saya berada  di tahun pertama, beliau sudah berada di tahun akhir; extend. Beliau adalah minimalis. Jika anda biasa dengan rilisan beliau bersama dengan Catarrh (hatta dengan Bazzah sekalipun), anda pasti akan setuju dengan saya. Disebabkan beliau extend dalam pengajian, minimalis dalam muzik menjadi minimalis dalam kehidupan. Apabila beliau membeli nasi lemak sebagai sarapan, beliau akan membeli dua bungkus. Satu lagi merangkap makan tengahari. Minimalis kerana apabila seseorang itu extend dalam pengajian bermaksud, biasiswa dicatu. Tetapi lihatlah dia sekarang ini, hanya satu tangga lagi untuk menjadi District Officer di sebuah jajahan di Pahang. Sesungguhnya kejayaan itu akan dating walaupun kehidupan awal kita penuh dengan cabaran dan pada ketika kita menyangka tiada lagi harapan untuk kita.

Salah satu band kegemaran Jorn ialah Voivod. Cuma saya tidak faham, bagaimana beliau boleh menjadikan album Rrröööaaarrr dan War And Pain. Acapkali beliau memuji kedua-dua album dan langsung tidak bercakap tentang album Nothing Face dan Dimension Hatross yang pada saya lebih signifikan. Pada beliau, apabila berbicara tentang Voivod, hanya dua album tersebut dan menimbang antara keduanya; yang mana lebih bagus. Ini satu kepelikan.

Sebenarnya, saya mengenali album Voivod melalui album Dimension Hatröss hasil dari sebuah kompilasi syarikat Noise yang bertajuk Doomsday News yang mana Voivod menyumbang lagu Cockroaches (album Killing Technology). Selepas beberapa kali mendengar album Dimension Hatröss, saya mengambil keputusan untuk menggunakan kaset tersebut sebagai kaset kosong untuk merakam dari kaset-kaset lain. Saya tidak dapat memahaminya – apakah yang dimainkan oleh Voivod sebenarnya. Hanya selepas beberapa tahun dan kembali meneroka album tersebut barulah saya dapat memahami Voivod, lantas album ini menjadi album top Voivod bagi saya selepas Nothing Face. Malangnya, sampai sekarang saya masih tidak memahami dua album kegemaran Jorn. Mungkin saya memerlukan beberapa tahun lagi.

Pada saya, itulah signifikan Voivod dalam arena muzik Metal dunia. Mereka adalah unik dalam ertikata, idea yang disampaikan adalah lain dari yang lain. Bahkan, apa yang mereka mainkan tiada copycat – saya syak ini adalah kerana muzik Voivod adalah unik dan sukar untuk mengubahsuai tanpa lari dari menjadikan band mereka sebagai sebuah band tribute Voivod.


War And Pain (1984)
Album pertama Voivod ini seperti mana band start-up yang lain ketika itu, kurang fokus, mementingkan lebih kepada ekstrism (siapa laju dia menang) dan tidak peduli apa nak jadi - janji rilis. Namun, ia tetap perlu dirilis sementara identiti yang dilahirkan dapat dididik dengan trial & error yang menjanjikan hala tuju yang lebih bermakna. Selain dari muzik Metal yang laju dan vokal yang boleh menjadikan ini sebuah album (jika tidak diselamatkan oleh chord gitar yang kompleks), album ini memberi petanda untuk rilisan yang akan datang. Ini banyak datangnya dari cara gitaris, Piggy menyusun note gitar beliau. Ia tidak seperti band Thrash (jika terma ini sudah wujud ketika itu) dan Speed Metal yang lain. Ianya anti-harmoni dengan unjuran chord minor yang jarang dimainkan oleh pemuzik Metal ketika itu. Namun untuk album ini, semuanya agak tidak jelas melainkan jika kita betul-betul memberi perhatian. Yang jelas, mesej di dalam album ini memang dibakulkan ke dalam hype ekstrim Metal ketika itu - Suck Your Bone, Iron Gang, Live for Violence dan Nuclear War antaranya. Permulaan yang OK tetapi impaknya kurang ketara, buat masa ini.
Rrröööaaarrr (1986)

Voivod masih celaru dengan album ini. Mungkin ini adalah lebihan dari album sebelumnya? Sebab itu album ini lebih teruk bunyinya dan juga ideanya. Mungkin juga tidak kerana ia dirilis 2 tahun selepas album War And Pain. Dan ia dirilis melalui label yang lebih besar iaitu Noise Records. Tidak kelihatan apa-apa perubahan langsung di dalam album ini. Produksinya, mungkin lebih buruk jika diambil pendapat beberapa pihak. Semua yang ada di dalam album War And Pain, ada juga di dalam album ini. Mungkin vokal Snake lebih kasar tetapi ini tidak mempengaruhi mood keseluruhan album ini. Yang mungkin menaikkan adrenalin (kepada peminat remaja mereka) ialah tajuk lagu-lagunya - F**k Off and Die, Slaughter in a Grave, Ripping Headaches dan To the Death - melihat tajuknya saja sudah cukup untuk menyebabkan mereka headbang. Itu belum dengar lagunya lagi tu.

Killing Technology (1987)

Tidakkah pelik, Voivod mengambil masa 2 tahun untuk menjahanamkan diri sendiri melalui Rrröööaaarrr tetapi hanya mengambil masa setahun untuk menaikkan diri sendiri kepada satu band Metal yang paling elit (dari segi idea) melalui album ini? Perubahan dalam setahun ini memang sukar untuk dicerna oleh fikiran tetapi pastinya ramai antara kita berasa lega. Killing Technology merubah landasan muzik Metal dari segi ia mengeksploitasi metod progresif ke dalam muzik Metal ekstrim dan juga membawa elemen futuristik yang ketika itu (1986) tidak banyak (atau mungkin tiada) band yang seperti ini. Sememangnya ini semua sudah diramalkan dalam dua album sebelumnya melalui lukisan kulit album dan beberapa tajuk lagu yang futuristik (Warriors of Ice, Black City, Korgüll the Exterminator dan Build Your Weapons) tetapi ia masih samar-samar ketika itu. Walaupun begitu, Killing Technology bukanlah puncaknya tetapi iras dan ramalan itu menjadi semakin jelas. Tajuk lagu yang futuristik; Killing Technology, Forgotten In Space, Ravenous Medicine dan Cockroaches lebih jelas sinonimnya dengan riffs gitar Piggy yang unconventional dalam muzik ekstrim Metal. Video Ravenous Medicine memberi impak baru kepada fesyen muzik Metal - botak sebelah kepala - saya melihat senior saya di sekolah menirunya.

Dimension Hatröss (1988)

Album ini pelik, lebih pelik dari album sebelumnya, Killing Technology. Bukan saja dari segi riffs yang dicipta oleh gitaris, Piggy tetapi subjek dan predikat album ini. Ianya futuristik tetapi pada masa yang sama mundur dari segi emosi. Seolah-olah mengatakan bahawa masa hadapan yang futuristik itu bukan membawa kebahagiaan sejati. Ya, mungkin teknologi menyenangkan tetapi spiritual dan emosi bergelumang dengan kesedihan, depresi dan ketidaktentuan. Inilah atmosphere yang dibawa oleh Voivod dalam album ini. Pertama kali mendengarnya, ia ditolak dengan perkataan - apa ni? Ini tidak mungkin. Masa hadapan tidak mungkin begini tetapi perlahan-lahan ia akan meresapi ke dalam deria anda dan meyakinkan kita bahawa masa hadapan itu adalah morbid. Dengarkan Tribal Convictions, Chaosmonger, Technocratic Manipulations dan Cosmic Drama untuk mendapat gambaran sebenar berkenaan masa hadapan versi Voivod. Ironinya, lagu tema Batman bersifat kelakar kerana memang sepatutnya begitu kerana ia adalah komik. Komik mahu dianggap serius?

Nothing Face (1989)

Bagaimana nak klasifikasikan album ini? Metal? Prog Rock? Pening juga bila kita yang telah 'dididik' untuk melabel sesebuah album kepada satu genre. Nak lagi masa rilis album ini tahun 1989 di tengah-tengah kesibukan Thrash Metal dan ledakan Death Metal. Memang VOIVOD bermula dengan Speed Metal (atau Thrash?) untuk dua album pertama. Kemudia pada 2 album seterusnya Killing Technology dan Dimension Hatross, berlaku shape-shifting VOIVOD.  Now, Nothing Face is something different. Berbeza dengan 4 album sebelumnya. Bayangkan macamana pening kepala mau absorb muzik 'pelik' camni. Bertambah pelik, boleh pulak saya terima. Bukan mudah pada waktu itu. Saya rasa, yang Metal dalam album ni cuma double bass drum je. Lain-lain dah tak Metal. Prog rock mungkin? OK, kita tinggalkan bab genre. Tak habis bila bicara genre untuk album ni. Kriteria album ni: Vokal tidak menyanyi juga tidak growl. Rap dengan melodi? Mungkin. Gitar tidak guna power chord tetapi lebih kepada minor chord dan banyak memetik tali-tali di bawah. Drum Metal habis. Bass dengan distortion. Yang nyata, memang susah nak categorized. Tapi asas pada album ni mungkin terlalu obvious apabila mereka mengkover PINK FLOYD Astronomy Domine. Tajuk lagu pun jadi pelik dan mungkin spacey sikit. Science fiction mungkin? Apapun, album ni memang outstanding semasa rilis ketika itu. Eksperimental dan genre-bending. Mungkin bukan untuk santapan umum namun ini merupakan album VOIVOD paling berjaya, menduduki carta Billboard pada tangga 114 ketika rilisnya. Apapun, VOIVOD telah mengorak langkah yang tak ramai berani memulakannya. Antara album tersohor dalam scene Metal dulu kini dan selamanya.

Angel Rat (1991)

Tranformasi Voivod yang telah lengkap semasa album Nothingface diteruskan secara linear untuk album ini, menjadikan ia kurang thrill dan excitement. Voivod menggunakan khidmat produser yang pernah memproduce album Rush pada tahun 80an, iaitu Terry Brown. Rush dan Voivod berasal dari negara yang sama. Seperti ada kebetulannya di sini. Mungkin pengaruh Terry Brown atau keinginan nyata Voivod; yang menjadikan album ini menampakkan colekan Rush yang agak signifikan. Gitar Piggy bunyinya agak lain mengingatkan sound gitar Alex Lifeson dan pada beberapa tempat kedengaran bunyi synth menyulami lagu-lagu Voivod. Vokal Snake juga lebih bermelodi dan hilang kegarauan suara beliau. Bass Blacky yang sememangnya ke hadapan pada setiap album Voivod, kini mungkin kurang distortionnya. Walaupun secara logiknya, album ini sepatutnya membawa Voivod kepada pendengar yang lebih luas tetapi mungkin disebabkan asal Voivod yang ekstrim kurang memberi impak selain dari peminat asal mereka yang berbelah bahagi dalam menerima album yang sebegini bersih.

The Outer Limits (1993)

Album ini, secara amnya lebih baik dari album sebelumnya, Angel Rat dari segi produksi. Mixnya lebih jelas, memberikan kepada kita sound yang jelas untuk setiap instrumen yang dimainkan. Bunyi gitar Piggy sangat lemak berkrim; chord minor pelik yang selalu diulitnya membelit jiwa. Begitu juga dengan drum Away yang moden bunyinya; bersih dan cantik susunannya. Vokal Snake juga tidak terlampau bersih seperti album sebelumnya. Cuma bass Blacky agak ke belakang tetapi ini bukan sebab beliau keluar dari Voivod selepas album ini - mungkin ada sebab lain yang lebih penting. Voivod bukan lagi menjadi hero ekstrim Metal seperti yang dikenali dahulu sebaliknya transformasi 3 album kebelakang ini menyusuri laluan yang lebih mainstream. Malang sekali ia tidak dipedulikan oleh sasaran pendengar mereka. Mungkin kurang promosi. Muzik sebegini baik ditambah dengan cover album yang 3D (edisi terhad CD ini datang bersama dengan cermin mata 3D) tidak cukup tanpa perisa terakhir yang paling penting iaitu nasib baik.

Negatron (1995)

Dua album komersil tetapi masih artistik Angel Rat dan Outer Limits gagal memberi impak seperti yang diharapkan dan keluarnya dua komponen penting dalam kejayaan Voivod iaitu, vokalis Snake dan pemain bass, Blacky merubah terus hala tuju Voivod. Kini tinggal bertiga dengan kemasukan Eric Forest yang mengambil dua tanggungjawab; vokalis dan bassist. Voivod jatuh menjadi band yang generik. Metal moden-industrial tahap asas yang tiada daya penarik. Muzik mereka menjadi kaku, monotonous dan one-dimensional. Hilang segala inovasi yang pernah ditunjukkan sebelum ini. Voivod seperti akan berkubur tidak lama lagi sepertimana berkuburnya kebanyakan band Thrash Metal sekitar awal tahun 1990an.

Phobos (1997)

Masih meneruskan konsep album sebelumnya Negatron, nampak gaya Voivod akan semakin dilupakan. Mungkin kelainan yang dicari tetapi malang sekali kelainan ini tiada isi; kosong. Inovasi yang hilang. Konsep Metal-moden-industri yang ditawarkan sangat tame jika dibandingkan dengan band yang sepertinya ketika ini. Album ini seperti album kembar Negatron. Jika lain pun mungkin dari segi produksi yang lebih baik dari sebelumnya. Peminat mula merindui Snake dan Blacky. Dengan dua album, ternyata pengaruh Eric Forest telah membawa Voivod ke satu landasan yang berlainan dari apa yang patut dibuat.

Voïvod (2003)

Selepas Phobos, aktiviti Voivod menjadi lembap. Mungkin disebabkan tidak keserasian dengan gaya Eric Forrest yang sedikit sebanyak menghilangkan niche Voivod. Penyudahnya, Voivod berehat selama dua tahun (2001-2002). Hanya selepas itu mereka bergabung kembali, tetapi tanpa Eric. Snake kembali mengambil takhtanya di bahagian vokal sementara Jason Newsted yang sudah tidak bersama Metallica, mengambil posisi bass - beliau adalah peminat Voivod. 6 tahun selepas Phobos, album ini dirilis tanpa tajuk seolah-olah memberi signal yang Voivod telah kembali. Saya bersetuju. Ia meneruskan arus yang telah dibawa semasa album Angel Rat dan The Outer Limits. Produksi pun bertenaga. Album ini agak besar impaknya kerana pembabitan Jason Newsted. Bahkan video We Carry On dari album ini menjadi putaran biasa di MTV.

Katorz (2006)

Album ini secara amnya tiada banyak beza dengan album sebelumnya. Ia dipenuhi dengan gerak kerja gitar yang tipikal Voivod dengan susunan verse 1, verse 2, korus, ulang, solo gitar, ulang dan tamat. Kekuatan Voivod dari segi chord progression gitar Piggy masih menjadi trademark; jadi, walaupun susunan lagunya adalah standard susunan lagu kebiasaan, Voivod masih lagi menjadi sebuah band Metal yang lain dari yang lain. Cuma mungkin peminatnya berharap agar Voivod mengangkat diri mereka kepada satu level yang lebih mencabar kerana ini menjadi rutin. Apa-apa saja rutin, pasti akan membosankan satu hari nanti.

Infini (2009)

Ini adalah album posthumous Piggy kerana apabila album ini dirilis, beliau telahpun berada di alam barzakh (colon cancer). Untungnya, beliau sempat menyelesaikan track gitar beliau di dalam komputer peribadi beliau yang kemudian diproses untuk menjadi lagu-lagu yang cukup untuk memenuhi sebuah album. Saya rasakan ketepuan Voivod dengan acuan sebegini sejak album Angel Rat (1991) sudah menjadi tepu. Acuan sebegini sudah diteroka secara menyeluruh hingga tiada lagi elemen dan ruang yang baru yang boleh diteroka. Voivod telah mengecap mohor acuan ini - ianya cap mohor Voivod autentik. Mungkin untuk album seterusnya yang dijangka akan dirilis pada tahun 2012 dengan gitaris baru akan membuka tirai yang baru kepada Voivod. Biasanya ahli yang baru akan memberi nafas yang baru seperti mana kemasukan Eric Forrest dalam Voivod untuk album Negatron dan Phobos suatu ketika dahulu.

Tuesday, November 15, 2011

Diskografi SLAYER

Seperti yang disiarkan dalam majalah KARISMA September 2011

------------

Kulit album Live Undead pada kacamata saya ketika saya berumur 13 tahun begitu menarik perhatian. Ia menggambarkan zombie di tanah perkuburan memegang gitar dan drum. Ianya tidaklah menyeramkan tetapi nampa ganas. Adrenalin saya membuak hanya sekadar dengan melihat kulit album ini. Bayangkan jika mendengarnya! RM3 bertukar tangan dan kaset cetak rompak ini menjadi milik saya.

Slayer adalah satu fenomena Metal. Sekuat mana fenomena ini menyelebungi USA, sebanyak itu jugalah ia menghantui Malaysia. Lagu-lagu mereka menjadi saduran terpenting bagi setiap band lepas sekolah. Beberapa band lepas sekolah yang saya kenal ketika itu (sekitar 1988) memainkan lagu-lagu Slayer di studio SYJ. Warhead, yang dianggotai oleh gitaris Sil Khannaz sekarang, Dark-E memainkan lagu South Of Heaven dengan persamaan lenggok dan hentakan drum yang sangat detail sehingga menaikkan bulu roma tengkuk. Scum pula memainkan beberapa lagu dari album Live Undead ini; Black Magic dan The Antichrist tidak dilupa lagu Mandatory Suicide dari albm South Of Heaven, dengan aura yang sahih Slayerized. Dan saya percaya, dimana-mana pun band lepas sekolah ini wujud di merata Malaysia, lagu-lagu dari band ini menjadi satu silabus yang perlu dimahiri dan dikhatamkan sebelum mengiktiraf bahawa band lepas sekolah ini mencapai status band Thrash Metal.

Pilih saja mana-mana album Slayer, dan sudah pasti tetap ada yang menjadi influence kepada band Metal sekarang. Jika tidak, mana mungkin anda mengatakan band anda ekstrim?

Show No Mercy (1983)
Walaupun Metallica dimaklumi ramai sebagai pelopor muzik Thrash Metal tetapi ia lebih kepada kelajuan permainan. Slayer mengambil iktibar ini dan menambah lagi satu perisa penting yang mencorakkan muzik ekstrim Metal masa hadapan, ganas dan brutal. Disebalik kekurangan kualiti album ini disebabkan bajet yang rendah, tetapi ia menjadi album paling laku dalam sejarah syarikat rakaman, Metal Blade. Intonasi album ini satu dimensi, hala tuju yang fokus tanpa perlu apa-apa variasi kerana pada masa itu memang tiada variasi yang wujud pun. Andaikata kalau ada pun, ia dalam cakupan sebuah  band dan bukan album. Metallica dengan fokusnya yang tersendiri, begitu juga dengan Exodus mahupun Testament yang mana masing-masing berjaya dengannya. Album ini fokus pada muzik Thrash Metal dengan belitan lirik satanic - semata-mata untuk menarik perhatian peminat Metal ketika itu. Ini adalah kombinasi yang mengejutkan ketika mana subjek sebegini dimainkan dengan berhati-hati bukan seperti sekarang. Ternyata ia berjaya dan melonjakkan nama Slayer beberapa tingkat ke atas, hatta menyebabkan Metallica sendiri berasa terancam walaupun sedia maklum ini bukanlah acuan sebenar Slayer kerana masih terdapat kesan dan pengaruh dari idola mereka seperti Iron Maiden dan Judas Priest seperti di dalam lagu Metal Storm/Face The Slayer, Tormentor, The Final Command dan Crionics.  Namun, The Antichrist, Die By The Swords dan Black Magic yang lebih tulen acuannya tetap menjadi lagu evergreen sepanjang zaman kepada peminatnya yang melangkau jarak spektrum muzik yang pelbagai.

Hell Awaits (1985)
Jualan yang mencecah 40,000 unit untuk album Show No Mercy memberi semangat untuk kepala Metal Blade, Brian Slager untuk mengeluarkan duit sendiri meriliskan album kedua Slayer, Hell Awaits. Seolah-olah mengetahui kelemahan Show No Mercy pada bahagian originaliti, Slayer memperbaiki tempang dan lubang untuk album ini. Pada perspektif muzik, ia lebih fokus, mengorak kepada acuan Slayer yang lebih konsisten, menghilangkan debu-debu idola muzik yang jelas kedengaran pada album sebelumnya. Eksperimentasi dengan subjek satanic yang berjaya pada album sebelumnya memberi inspirasi kepada Slayer untuk menambahkan lagi elemen tersebut untuk album ini. Kesannya hebat. Sesiapa yang mendengar lagu Hell Awaits untuk pertama kali pasti akan meremang bulu roma mendengar intronya. Kraf termolo Hanneman/King pada intro lagu tersebut meremangkan bulu roma, ditambah dengan bisikan terbalik - menaikkan satu tangga lebih untuk definisi audio-horror. Walaupun begitu, album ini kurang lemak produksinya walaupun perbelanjaan yang dikeluarkan lebih dari sebelumnya. Drum Lombardo mendap dengan sound hi-hat dan cymbals yang pecah bunyinya. Namun album ini juga membuktikan Araya; andaikata beliau tidak meminati dan tidak bersama dengan Slayer, beliau mempunyai masa hadapan yang cerah sebagai penyanyi rap - lajunya beliau menyebut bait lirik dalam lagu Hell Awaitsdan Kill Again.

Reign In Blood (1986)
Reign In Blood letaknya setanding dengan album Black Sabbath yang pertama, Kill Em All (Metallica); hatta Thriller (Michael Jackson) disebabkan genre-bending yang terkandung di dalamnya. Reign In Blood memberikan muka baru kepada muzik Thrash Metal - ia meletakkan papan tanda maut sebagai amaran. Peliknya, semua ini dikarang bersama dengan tunjuk ajar Rick Rubin, yang lebih dikenali sebagai produser rap/hip hop Beastie Boys dan Run DMC. Formula Rubin ialah pendek dan tepat pada dahi, tiada lagu asal boleh, tiada lagu yang mengganggu perjalanan yang lajunya 200km/jam. Dan ia harus dilakukan dengan precision seorang tukang buat jam, tiada kesalahan walau sekecil manapun yang dibenarkan. Kelajuannya membunuh dan mesejnya mengerikan - menggabungkan kejahatan manusia (Angel Of Death) dan musuh manusia paling utama, syaitan (Altars Of Sacrifice) sebagai punca kerosakan di muka bumi - sesuatu yang tidak pernah diutarakan dengan efektif sebelumnya, namun Slayer berjaya.  Selamanya album ini akan tersimpan di dalam khazanah muzik Metal sebagai album yang paling kejam dan membunuh yang setakat ini tiada saingan terdekat.

South Of Heaven (1988)
Dua tahun selepas dunia dikejutkan dengan album Reign In Blood, Slayer kembali dengan album South Of Heaven. Menyedari akan status Reign In Blood yang sama taraf dengan filem The Silence Of The Lamb dalam kategori thriller, Slayer merasakan adalah lebih baik untuk membiarkan Reign In Blood begitu saja - tidak perlu disentuh apatah lagi untuk ditiru kerana mereka faham ianya tidak akan berjaya mengganggu status yang telah ada. Sebaliknya Slayer berpaling 180 darjah. South Of Heaven diperlahankan hampir separuh kelajuannya. Tatkala, Reign In Blood dikenali dengan kelajuan yang membunuh, South Of Heaven lebih bermelodi dan memberikan perhatian yang lebih kepada suasana seram di waktu malam. Lagu South Of Heaven sendiri dimulakan dengan petikan gitar berhantu yang kemudiannya disambut oleh ledakan drum Lombardo yang menggegarkan jiwa. Ghosts of War pula menceritakan tentang natijah dari peperangan di tengah album sementara Spill The Blood menjadi penutup yang mengingatkan kita kepada janji syaitan terhadap manusia - iaitulah kemusnahan. South Of Heaven sudah tentu tidak dapat menandingi Reign in Blood tetapi ia berdiri di atas puncaknya yang tersendiri.

Seasons In The Abyss (1990)
Saya fikir, Rick Rubin berjaya lagi dengan album Seasons In The Abyss. Beliau berjaya menyucuk Slayer untuk menjadikan album ini sebagai gabungan album Reign In Blood dan South Of Heaven. Dari segi aura produksinya, ia agak raw yang menyerupai Reign In Blood tetapi feelnya seolah-olah South Of Heaven. Dari segi halaju, ianya adalah gabungan kedua-dua album tersebut. Lagu terpantas mungkin War Ensemble dan paling perlahan mungkin Dead Skin Mask namun keduanya tidak menyerupai kepantasan dan perlahannya Angel Of Death dan Spill The Blood. Yang menarik, mungkin Expendable Youth yang kedengaran agak komersil - seolah-olah mahu memikat pendengar di luar sana yang lebih ramai - namun itu semata-mata tanggapan saya. Yang nyata ini adalah album terakhir Slayer yang 100% Metal. Mungkin sepanjang rakaman album-album yang ada, Slayer agak segan untuk menunjukkan pengaruh punk yang sebenarnya mendalam di jiwa mereka.

Divine Intervention (1994)
Dua perkara penting yang berlaku dalam album Divine Intervention. Pertama; Paul Bostaph masuk menggantikan Dave Lombardo pada posisi drum. Kedua; kali ini Slayer tidak lagi segan untuk menunjukkan pengaruh punk mereka secara terang-terangan di dalam sebuah album. Paul Bostaph, walaupun tidak sehebat Dave Lombardo dari pengaruh tetapi dari segi skil teknikal mempunyai kemampuan yang setanding malah dalam beberapa tempat, mempunyai kekuatan tersendiri yang memisahkan beliau dari Lombardo. Pengaruh punk yang ditunjukkan dalam album ini begitu menyerlah, contohnya, riffs gitar yang digunakan straight-forward walaupun bunyinya Metal tetapi feelnya begitu punk. Samalah seperti vokal Tom Araya yang lebih keras. Subjek yang ditulis juga dipelbagaikan lebih dari album Seasons In The Abyss. Jika dahulunya Slayer dikenali dengan tema horror, sekarang thriller. Semua perubahan ini juga adalah dengan bantuan produser Rick Rubin yang sememangnya dikenali sebagai produser yang banyak menekankan apa-potensi-yang-kamu-ada dicampur dengan buat-yang-terbaik. Album ini menyisihkan Slayer dari laluan yang biasa digunakan dan ini membuka paradigm-shift kepada peminatnya menyusuri Slayer ke lembah yang belum diterokai sebelum ini.

Undisputed Attitude (1996)
Bagi mereka yang masih meragui ke-punk-an Slayer, nampaknya album ini menjelaskan segala-galanya dengan sejelas-jelasnya. Sebuah album cover yang mana Slayer memainkan lagu-lagu dari band punk sahaja. Tidaklah Slayer pernah merilis album cover yang Metal. Dan ini menguatkan keyakinan mereka bahawa Slayer sememangnya band punk bertopengkan Metal dan ini akan diteruskan untuk album-album selepasnya. Tumbukan punk yang keras dicampur dengan keganasan kemas sonik Metal = kombinasi muzik ekstrim terbaik. Ini kemudiannya diaplikasikan oleh band Black Metal di kemudian hari bermula dengan album Darkthrone - The Cult Is Alive. Slayer seolah-olah memperbaiki dua genre tersebut: kelonggaran muzikal punk diperkemaskan sedangkan melodi Metal yang selalu meleweh, dipertajamkan. Mungkin untuk mengumpan peminat mereka yang Metal 100%, lagu original Gemini yang diselitkan bersama di dalam album ini memang 100% Metal bunyinya.

Diabolus In Musica (1998)
Setelah memberikan segala yang tersemat di dalam jiwa masing-masing, sudah tibanya untuk Slayer bereksperimentasi. Metal yang pernah menyucuk jiwa, diluahkan dalam 5 album pertama. 2 album sebelumnya menatijahkan pengaruh punk. Apa seterusnya? Sudah tentu eksperimentasi. Ini diakui oleh Jeff Hanneman sendiri. Ini dapat didengar sendiri - tetapi kita perlu peka ketika mendengarnya. Muziknya memang ada perubahan. Riffs yang seperti tumbukan tepat ke muka agak berkurangan. Ia diganti dengan intermission di dalam lagu dengan sekuens yang agak eksperimental sebagai contoh di dalam lagu Death's Head. Riffs yang longgar juga dapat didengar di dalam lagu Stain Of Mind, Desire dan Overt Mind pada permulaan lagu. Seperti yang dikatakan tadi - perubahan ini agak kurang jelas lonjakannya jika dituruti dari album sebelumnya. Masalahnya? Rick Rubin masih menjadi produser. Ya, walau sehebat mana produsernya, apabila sudah terlampau lama di tampuk pemerintahan maka kesesakan dan kebuntuan pasti akan terjadi. Peminat merasainya. Mujur Slayer pun begitu. Rick Rubin harus ditukar.

God Hates Us All (2001)
Rick Rubin sudah meninggalkan kerja produksi Slayer selepas 6 album. Ini memberi ruang kepada Slayer untuk mengimbas kembali pencapaian dan kejatuhan yang telah berlaku. Satu yang mungkin terserlah ialah untuk beberapa album sebelum ini, elemen ganas Metal mereka hampir-hampir ditinggalkan dan diganti dengan mesej politikal punk. Jadi, kerja pertama mereka ialah memilih tema yang lebih Metal, yang lebih sesuai dengan propaganda Metal - tajuk album. God Hate Us All dijadikan tajuk album dan ini memang sesuai sangat dengan kehendak Slayer. Namun begitu, jika ada peminat Slayer yang masih mengharapkan Slayer dengan imej 100%, pasti akan kecewa. Bolehlah dikatakan kepada mereka untuk berhenti berharap kerana ia tidak akan berlaku - kepastian yang mutlak. Walaupun begitu ada sesuatu yang perlu dilakukan oleh Slayer kerana secara asasnya album ini tidak cuba untuk menjarakkan dari album sebelumnya. Album ini seolah menambahkan sesudu garam lebih. Mungkin yang perlu dilakukan ialah menambah perisa baru dalam bentuk oregano ataupun lada sulah untuk menarik rasa yang sedikit berbeza. Dan ini akan dilakukan oleh Slayer pada album berikutnya.

Christ Illussion (2006)
Siapa pun tidak akan menafikan keupayaan Paul Bostaph sebagai drummer Slayer yang mantap teknikal dan padu hentakannya. Tetapi pada masa yang sama, tiada pengganti kepada Dave Lombardo di dalam Slayer. Kembalinya Dave Lombardo kedalam Slayer di dalam album ini disambut dengan produksi yang lebih punkish. Kering dan tajam menyucuk ke gegendang telinga. Pada pendengaran saya ia mengingatkan kepada produksi Seasons In The Abyss. Lukisan kulit album juga lari dari zaman Paul Bostaph dan kembali kepada zaman yang sebelumnya (pelukis yang sama untuk Reign in Blood, South Of Heaven dan Seasons In The Abyss) menandakan bab baru telah dibuka. Muziknya walaupun mempunyai elemen punk yang kuat, sebenarnya tidaklah menyebabkan Slayer lari landasan asalnya (kerana memang Slayer dari dulu tidak menafikan pengaruh punk dalam muzik mereka), cuma mungkin ia lebih ketara disebabkan produksi yang kering ini. Dan sudah tentu lagu bertajuk Jihad menjadi kontroversi kerana mengambil perspektif yang sama seperti lagu Angel Of Death. Saya berada di dalam moshpit semasa Slayer beraksi di Adelaide, Australia ketika lagu ini dimainkan. Apabila lagu ini dimainkan bersama dengan video imej yang mengiringi lagu inidi atas stage menyebabkan saya mengambil keputusan untuk keluar dari moshpit dan berdiri saja di sebelah kanan dewan. Ada ketikanya kita perlu berundur.

World Painted Blood (2009)
Sukacita dimaklumkan, album ini berada di atas Christ Illusion dalam banyak hal terutamanya komposisi lagu yang lebih berkualiti. Ini mungkin disebabkan strategi SLAYER yang berbeza dalam mencipta lagu, tidak lagi kumpul lagu cukup masuk studio, tetapi membentuk lagu di dalam studio. Ini menurut Kerry King (gitar) dapat mengelak lagu-lagu menjadi sama. Ada kritikan terhadap sound gitar yang kurang berat. Ini mungkin sengaja dilakukan kerana sifat asas album ini lebih punk dari Metal. Intonasi Metalnya banyak disalurkan oleh drumming Lombardo (double paddle, stroke menggila, ketepatan on-the-dot etc) dan jumlah riffs yang lebih dari 3 untuk setiap lagu; namun elemen punk dari riffs gitar Hanneman (terutamanya) dan vokal laju Araya mendominasi. Jadi tidak hairan album ini lebih sesuai dengan sound gitar yang kurang berat. Triplet gitar intro lagu mula (World Painted Blood) pun sudah cukup untuk menggerakkan kepala yang mendengarnya. Memang seductive and asyik (untuk yang memahami). Tanda lagu mula saja sudah cukup menandakan, ya, inilah album SLAYER yang dinanti-nantikan. Untuk yang skeptik, tidak perlu skeptik lagi. Kebanyakan komen negatif di forum-forum tentang album ini adalah datang dari remaja lepasan SPM (seperti yang berlaku di forum Metal Archive). Bahkan walaupun bagi mereka yang die-hard yang skeptic sendiri, masih sukar bagi mereka untuk mengatakan ini album, kurang keSLAYERannya.

Saturday, September 03, 2011

Diskografi DEATH

Seperti yang disiarkan dalam majalah Karisma Ogos 2011.

---------


Pull the Plug - digambarkan dengan menghulurkan dua jari ke arah hidung yang kemudiannya diisyaratkan seperti direntap dengan keras. Ketika pergerakan ini dilakukan, bibir mulut dicebek ke bawah.

Itulah bahasa isyarat yang digunakan oleh band Scum untuk lagu ini dimainkan semasa sesi jamming mereka. Tahun 1988. Saya berada di Tingkatan Dua. Anggota Scum yang lain, semuanya bersekolah lagi. Paling senior, gitaris utama yang berada di Tingkatan Lima.

Sesi jamming mereka biasanya selepas waktu sekolah. Ketika memainkan lagu Thrash dan Death Metal di Studio SYJ, Bazar Bulat, kami semua masih berpakaian sekolah.

Saya adalah die-hard pertama Scum. Boleh dikatakan hampir setiap sesi jamming, saya akan hadiri. Saya akan duduk di belakang set drum. Antara lain, saya bercita-cita hendak menjadi drummer yang hebat seperti drummer Scum. Beliau senior setahun dari saya. Saya berfikir, masih ada setahun untuk saya menjadi hebat seperti beliau. Belajar dari pemerhatian.

Leprosy adalah judul album Death dimana terkandungnya lagu Pull The Plug. Lagu tersebut menceritakan tentang kehendak seorang pesakit tiada harapan untuk hidup, supaya sistem sokongan beliau untuk hidup dicabut kerana beliau tidak sanggup lagi hidup menanggung derita. Korusnya ditulis, "Pull the plug, Let me pass away, Pull the plug, Don't wanna live this way".

Death adalah milik Chuck Schuldiner, dikatakan sebagai pelopor kepada genre Death Metal bersama dengan sebuah band lain bernama Possessed. Jika di negara kita ada Papa Rock, maka Chuck digelar sebagai Bapa Death Metal.

Kisahnya bermula apabila Chuck memulakan Death pada tahun 1984 ketika berusia 17 tahun. Asalnya band Death bernama Mantas. Bersama Mantas, beliau meriliskan demotape bertajuk Death by Metal pada tahun yang sama. Selepas rilisnya demotape ini, beliau menukar nama band kepada Death. Dengan nama ini, beliau merilis beberapa lagi demotape yang pada masa itu mendapat sambutan menggalakkan dari peminat Metal underground. Demotape Mutilation telah menarik perhatian syarikat Combat untuk merilis album pertama mereka yang bertajuk Scream Bloody Gore pada tahun 1987.


SCREAM BLOODY GORE (1987)
Scream Bloody Gore adalah blueprint kepada genre Death Metal. Ia mengandungi kesemua elemen muzik yang kita kenali sebagai Death Metal; suara menderam (growl), bunyi gitar yang berat dan selalunya tali gitar ditala rendah, drum yang dipenuhi dengan hentakan bass drum berkembar dan lirik yang kelihatan mengagungkan kematian. Tajuk lagu seperti Infernal Death, Baptized In Blood dan Torn To Pieces menggambarkan genre yang dicipta oleh Chuck.

LEPROSY (1988)
Leprosy adalah kesinambungan dari album yang pertama dengan beberapa perubahan penting yang dilakukan oleh Chuck. Pertamanya, permainan instrumen Death lebih kompleks dengan bantuan anggota band yang baru dan lebih berkeupayaan. Rick Rozz menjadi gitaris kedua yang dikenali sebagai pemain whammy bar tersohor ketika itu. Sementara Bill Andrews menawarkan paten drum yang pelbagai dan kompleks yang membuatkan mereka yang bercita-cita menjadi drummer tersohor, menukar kepada instrumen lain yang lebih logik untuk dimainkan.

Keduanya, cara penulisan lirik menampakkan transformasi. Beliau mula menambahkan perisa dalam liriknya dan tidak mahu 100% ditulis mengenai kematian seolah-olah remaja yang terlebih menonton filem zombile. Ini dapat dilihat dalam lagu Leprosy sendiri yang mengisahkan tentang penderitaan yang dihadapi oleh pesakit kusta dan Pull The Plug. Walaupun ia masih berkisar sekitar kematian tetapi transformasi itu dapat dirasai.


SPIRITUAL HEALING (1990)
Apabila album Spiritual Healing (1990) dirilis dua tahun selepasnya, Death melalui transformasi seterusnya terutama di bahagian lirik; dari lirik yang berkisar tentang kematian kepada lirik yang berkait dengan kehidupan dan keadaan semasa. Dalam lirik Spiritual Healing, Chuck menyindir industri perbomohan di US yang selalu ditayang di TV - dengan bayaran yang mahal, segala jenis penyakit dapat disembuhkan. Altering The Future berkisar tentang pengguguran anak dan natijahnya sementara Genetic Reconstruction ditulis mengenai teknologi genetik yang dilihat sebagai satu cara untuk mengubah ketentuan Tuhan.

Lebih dari itu, Death menampakkan cita-cita mereka untuk terus relevan dengan meluaskan definisi genre Death Metal. Kompleksnya struktur muzik bertambah dan skil anggotanya dinaiktaraf. Rick Rozz, walaupun terkenal dengan permainan whammy bar tetapi kurang menyengat apabila solo gitar yang sebenar diperlukan. Untuk itu, James Murphy dibawa masuk yang mana beliau sendiri adalah hero gitar dan mempunyai solo gitar bermelodik.

Penampilan band juga lebih kemas. Chuck seolah-olah mahu menunjukkan kepada peminatnya bahawa, penampilan bukan perkara utama. Yang penting, apa yang ditawarkan oleh beliau melalui album Death.



 Human (1991)
Naiktaraf ini terus dilakukan oleh Chuck untuk album Human (1991). Kesemua anggota band dalam album Spiritual healing dikeluarkan dan muka-muka baru dimasukkan, dua dari kumpulan Cynic yang terkenal dengan fusion Metal-jazz dan bassist dari kumpulan Thrash-Speed Metal, Sadus. Album ini benar-benar meletakkan Death di persada muzik US dengan jualan sebanyak 70,000 unit selain dari diiktiraf oleh majalah gitar terkenal, Guitar World sebagai salah sebuah album dalam 100 album terbaik sepanjang zaman.

Sesuai dengan naiktaraf ini, liriknya juga berubah kepada emosi dalaman manusia. Ini boleh dilihat pada lagu bertajuk Lack of Comprehension dan Flattening of Emotions.


Individual Thought Patterns (1993)
Setelah Human, Chuck meneruskan eksperimentasi beliau. Untuk itu, ubah angin perlu dilakukan dengan merombak pemuzik di dalam Death. Yang dikekalkan Cuma Steve DiGiorgio sebagai pemain bass. Drummer hebat Gene Hoglan dan gitaris fenomena (pada saya) yang setia bersama King Diamond, Andy LaRoque direkrut. Hasilnya? Mengkagumkan. Album ini menjadi sangat dinamik terima kasih kepada Gene dan Steve yang menghasilkan kerangka muzik Death Metal yang paling progresif pada zamannya. Apa sahaja riff yang dicipta oleh Chuck, ditemani oleh rhythm mereka berdua secara progresif, menjadikan lagu-lagunya berada di dalam struktur jazz dan progresif. Ditambah dengan kemelodikan gitar solo Andy yang secara note-to-note, enak dan lazat. Pada saya, ini adalah album reference untuk peminat Death Metal dengan kecenderungan progresif. Lagu-lagu yang patut didengar adalah Overactive Imagination, Jealousy, Nothing Is Everything dan The Philosopher.



Symbolic (1995)
Melanjutkan apa yang telah ditawarkan dari album sebelumnya. Cuma produksinya lebih bersih dengan proses separation antara instrumennya lebih baik. Berbanding dengan album sebelumnya, album ini lebih mudah dari segi riff dan struktur lagu. Ia adalah logik kerana kita boleh pergi pada satu tahap tertentu jika kita bercakap tengan progresif. Jika tidak, ia akan menjadi sesuatu yang tidak boleh dicerna oleh pendengaran. Dan Chuck sedar akan itu. Lagu Symbolic sendiri adalah mudah walaupun ada beberapa part yang memang mengerutkan dahi. Begitu juga dengan Zero Tolerance yang pada saya mungkin adalah lagu yang outstanding dalam album ini. Karmageddon (label dari Eropah) juga berpendapat yang sama kerana mereka merilis album posthumous Chuck dengan tajuk Zero Tolerance juga (sebanyak dua jilid). Album ini sangat baik sebagai reference untuk produksi album.


 



The Sound of Perseverance (1998)
Album studio terakhir dari Chuck dan Death. Seperti merasa ajal yang datang menjemput 3 tahun kemudian, Chuck mula menonjolkan elemen-elemen yang bergabung dan mengasaskan beliau dan Death. Lagu  Judas Priest (Painkiller) menjadi satu lagu istimewa kerana sebelum ini tidak pernah Death meletakkan album cover di dalam albumnya. Mungkin sesuai juga pilihan Chuck mengambil Richard Christy menggantikan Gene Hoglan. Gene dikenali sebagai drummer pantas dengan kepakaran kaki yang menakjubkan sedankan Richard lebih lembut di bahagian tangan. Muzik Death pada album ini lebih panjang-panjang untuk memastikan elemen progresif itu lebih menyerlah dari sebelumnya. Break dan intermission di dalam lagu menjadi kebiasaan. Juga boleh didengar, sound gitar yang lebih synthesize seperti album IRON MAIDEN Somewhere In Time. Dan mungkin yang paling menyerlah ialah suara Chuck sendiri yang semakin tajam dan tinggi pitchnya yang dipercayai adalah kesan dari band projek Heavy Metal beliau, Control Denied. Dianggap sebagai album terbaik dalam sejarah Death namun saya tidak berpendapat begitu. Namun, lagu-lagu seperti Scavenger Of The Human Sorrow, Spirit Crusher dan Flesh And the Power It Holds sangat perlu diberi perhatian.