Keharusan memakai cincin sebagai perhiasan adalah satu perkara yang tidak dinafikan. Tetapi bagi penjual-penjual batu permata, mereka perlu melariskan jualan mereka dengan pelbagai cara termasuklah mencipta bermacam-macam riwayat yang palsu tentang batu permata cincin. Antara riwayat yang pernah direka ialah tentang kelebihan memakai cincin dan khasiat beberapa jenis permata.
Oleh itu hendaklah berwaspada dengan kelebihan-kelebihan sesetengah permata yang kononnya mendatangkan khasiat tertentu sehingga kita mempercayainya. Pada hal apa yang dinyatakan adalah riwayat-riwayat palsu semata-mata.
Antara kaedah untuk mengecam hadis mawdu’ ialah riwayat-riwayat yang menyebutkan tentang kelebihan permata-permata tertentu seperti permata `aqiq dan lain-lain atau kegunaan dan khasiatnya. Ibn al-Qayyim menyatakan:
ومن ذلك أحاديث التختم بالعقيق قال العقيلي لا يثبت في هذا شيء عن النبي صلى الله عليه و سلم
“Di antaranya (hadis-hadis palsu) ialah hadis-hadis tentang memakai cincin bermata ‘aqiq. Al-‘Uqayli berkata: “Tidak sabitpun satu hadis daripada Rasulullah s.a.w.” (al-Manar al-Munif, hal. 132)
Riwayat pertama:
تختموا بالعقيق فإنه مبارك
“Pakailah cincin dengan batu ‘aqiq kerana ia diberkati.”
Al-‘Uqayli menyebutkannya dalam Kitab al-Du’afa` melalui tariq Ya’qub bin al-Walid al-Madani dan Ibn ‘Adi dalam al-Kamil Fi al-Du’afa` al-Rijal menyebutkannya melalui tariq Ya’qub bin Ibrahim al-Zuhri.
Al-‘Uqayli menyatakan bahawa berkenaan dengan perkara ini tidak sabitpun satu hadis daripada Rasulullah s.a.w. (Kitab al-Du’afa` al-Kabir, hal. 1552)
Ibn al-Jawzi menyebutkan riwayat ini dalam kitab al-Mawdu’at dan mengatakan Ya’qub pendusta besar yang mereka hadis.
Al-Zahabi mengatakan, Ahmad berkata: Dia (Ya’qub) adalah dari kalangan pendusta besar, mereka-reka hadis. Kemudian al-Zahabi menyebutkan hadis ini. (Mizan al-I’tidal, jil. 7, hal. 282)
Ibn ‘Adi berkata: “Ya’qub bin Ibrahim ini tidak dikenali, tidak ada yang menjadi mutabi’ kepada hadisnya. (al-Kamil Fi Du’afa` al-Rijal, jil. 8, hal. 474)
Di tempat lain, Ibn ‘Adi menulis: “Ini hadis Ya’qub bin Ibrahim, walaupun dia da’if dalam meriwayatkan daripada Hisham bin ‘Urwah tetapi Ya’qub bin al-Walid telah mencuri riwayat ini daripadanya. (al-Kamil, jil. 8, hal. 471)
Riwayat kedua:
تختموا بالعقيق فإنه ينفي الفقر
“Pakailah cincin dengan batu ‘aqiq kerana ia menyingkirkan kefaqiran.”
Ibn al-Jawzi menyebutkan riwayat ini dalam al-Mawdu’at daripada riwayat Ibn ‘Adi daripada al-Husayn bin Ibrahim al-Babiy. Ibn al-Jawzi berkata, Ibn ‘Adi mengatakan, riwayat ini batil dan al-Husayn itu majhul tidak dikenali.
Al-Zahabi dalam al-Mizan mengatakan hadis ini mawdu’. Husayn ini tidak diketahui siapa dan boleh jadi ini rekaannya. (Mizan al-I’tidal, jil. 2, hal. 283)
Riwayat ketiga:
تختموا بالعقيق فإنه أنجح للأمر ، واليمنى أحق بالزينة
“Pakailah cincin dengan batu ‘aqiq kerana ia lebih mendatang kejayaan dalam urusan dan tangan kanan lebih berhak dengan perhiasan.”
Di bawah biografi al-Husayn bin Ibrahim al-Babiy, Hafiz Ibn Hajar mengatakan hadis ini mawdu’ dan al-Husayn itu tidak diketahui tentang dirinya dan boleh jadi ini rekaannya.
(Lisan al-Mizan, jil. 2, hal. 268)
Riwayat keempat:
تختموا بالخواتم العقيق فإنه لا يصيب أحدكم غم ما دام عليه
“Pakailah cincin dengan batu ‘aqiq kerana selagi seseorang memakainya ia tidak akan ditimpa kegundahan.”
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daylami Musnadnya (jil. 2, hal. 32) melalui tariq ‘Ali bin Mihrawayh dan dalam sanadnya ada Dawud bin Sulayman al-Jurjani al-Ghazi. Berkenaannya al-Zahabi menulis: “Yahya bin Ma’in mengatakan bahawa dia seorang pendusta dan Abu Hatim tidak mengetahui tentang dirinya. Ringkas kata dia seorang shaykh yang pendusta besar dan mempunyai satu nuskhah yang direka atas nama ‘Ali bin Musa al-Rida. (Mizan al-I’tidal, jil. 3, hal. 12). Hal ini juga dinyatakan oleh al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah (hal. 252) dan al-‘Ajluni dalam Kashf al-Khifa` (jil. 1, hal. 300)
Riwayat kelima:
من تختم بالعقيق لم يزل يرى خيرا
“Sesiapa yang memakai cincin dengan batu ‘aqiq akan sentiasa mendapati kebaikan.”
Dalam sanadnya terdapat Abu Bakr bin Shu’ayb daripada Malik bin Anas. Beliau ya’ni Abu Bakr meriwayatkan daripada Malik sesuatu yang bukan daripada hadisnya (ya’ni menyandarkan kepada Malik hadis-hadis yang tidak diriwayatkannya. (al-Zahabi, Talkhis al-Mawdu’at, hal. 154)
Riwayat keenam:
تختموا بالزبرجد ، فإنه يسر لا عسر فيه
“Pakailah cincin dengan batu zabarjad kerana ia mendatangkan kemudahan dan tiada kesukaran padanya.”
Al-Sakhawi menukilkan bahawa Ibn Hajar mengatakan, ini hadis mawdu’. (al-Maqasid al-Hasanah,. hal. 251)
Riwayat ketujuh:
تختموا بالزمرد فإنه ينفي الفقر
“Pakailah cincin dengan batu zamrud kerana ia menyingkirkan kefaqiran.”
Al-‘Ajluni menyatakan hadis ini diriwayatkan oleh al-Daylami daripada Ibn ‘Abbas dan ia tidak sahih. (Kashf al-Khifa`, jil. 1, hal. 299)
Riwayat kelapan:
أكثر خرز الجنة العقيق
“Kebanyakan manik dalam syurga daripada batu ‘aqiq.”
Hadis ini dikeluarkan oleh Abu Nu’aym dalam Hilyah al-Awliya` di bawah biografi Salm bin ‘Abdullah al-Zahid. (jil. 8, hal. 281)
Al-Zahabi juga menyebutkan riwayat ini di bawah biografi Salm bin ‘Abdullah al-Zahid dan menukilkan pendapat Ibn Hibban yang menda’ifkannya. (Mizan al-I’tidal , jil. 3, hal. 264)
صلاة بخاتم تعدل سبعين بغير خاتم
“Sembahyang dengan memakai cincin menyamai tujuh puluh sembahyang tanpa memakainya.”
Al-Sakhawi sependapat dengan Ibn Hajar yang mengatakan, hadis ini mawdu’. Sama seperti ini, hadis yang dinyatakan oleh al-Daylami dari Ibn ‘Umar secara marfu’
صلاة بعمامة تعدل بخمس وعشرين وجمعه بجماعة تعدل سبعين جمعة
Sembahyang dengan berserban menyamai dua puluh lima kali sembahyang dan dipakai pula ketika sembahyang berjemaah menyamai tujuh puluh sembahyang Jumaat.
Dan juga mawdu hadis yang diriwayatkan daripada Anas secara marfu’
الصلاة في العمامة تعدل عشرة آلاف حسنة
Sembahyang dalam keadaan berserban menyamai sepuluh ribu kebaikan. (al-Maqasid al-Hasanah,. hal. 251)
maksud marfu'
7 comments:
gua tak pernah pakai cincin, beri cincin kpd orang ada lah... (kpd orang umah la hehe).
Aku pakai cincin perak dengan batu mata kucing kat jari manis kanan..
kalau aku lak kalau pakai cincin asyik keje nak menaggal je.. Pakai-tanggal-pakai-tanggal... Last sekali hilang.. :)
Dah lama dah aku pakai cincin batu akik ni...
dulu ngada² pakai cincin.skarang dah hilang.
aku ade byk cincin.. mmg kerje aku dlu kumpul cincin mcm2
thanks for sharing mm
Post a Comment