Tulisan ini telah disiarkan dalam majalah Rokes #1 2011, m/s 26-27.
---------------------------
IRON MAIDEN!!! Jerit hati saya. Sebenarnya, saya jerit paksa. Hujung-hujung hati yang jerit. Hampir-hampir tidak kedengaran jeritan itu.
Tidak seperti jeritan semasa di Australia, menaiki kapalterbang ke New Zealand. Dua buah bandaraya, Auckland dan Christchurch tiga tahun lepas. Jeritan saya ketika itu, boleh kata cecah ke Malaysia. Saya jerit semahu-mahunya.
Itu bahananya apabila bertukar suasana. Di Australia, saya belajar. Di Malaysia saya bekerja. Ada beza. Perhatikan saja mereka-mereka yang masih belajar. Gembira semacam selalu. Yang bekerja, kerut dahi semacam selalu.
Apapun, tiket persembahan sudah dibeli. Dibeli tepat jam 9am ketika kaunter online dibuka. Saya sudah mengadap komputer 15 minit sebelumnya. Kad kredit di letak atas meja sebelah kanan. Saya berkira-kira mahu menghafal nombor kad kredit supaya lancar saya mengisi maklumat pembelian. 10 minit, 5 minit… Walaupun saya berada di dalam bilik ofis berhawa dingin sejuk, namun menitik juga peluh. Jantung berdebar-debar seperti sedang menunggu tembakan pistol mula.
9am! Dengan segera saya memilih tiket yang paling mahal. RM450. Lokasinya di hadapan pentas. Berdiri. Saya mahu merasai kembali suasana di New Zealand tiga tahun lepas. Tiket yang paling mahal juga dan di hadapan pentas. Lima minit sebelum persembahan, lagu tema dari kumpulan U.F.O. bertajuk Doctor, Doctor berkumandang. Tanda IRON MAIDEN sudah mahu keluar. Semua faham. Mereka tolak-menolak. Ke hadapan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Badan sasa-sasa belaka. Yang tak bermaya seperti saya, sekadar mendongak kepala ke langit sambil berharap tulang rusuk tak patah akibat ombak manusia ini.
Berjaya! Rm450 lebur. Kali empat. Yang mengirim tiga orang sahabat lain. Syarat saya kepada mereka, sila bayar dahulu sebelum tiket dibeli. Zaman ini susah hendak menggunakan air liur. Susu anak dan pampers sudah naik harga.
Seterusnya, masalah pengangkutan ke Singapura dari Tronoh. Samada mahu memandu terus dari Tronoh. Atau naik bas? Mungkin tidak. Masa itu emas. Tidak sanggup rasanya menghabiskan masa 8-10 jam di dalam kenderaan. Paling baik nampaknya, memandu dari Tronoh ke LCCT dan ambil kapalterbang bajet terus ke Singapura. Selesai.
Hotel? Yang termurah pun sudah cukup. Ini trip bukan syarikat yang bayar. Semua dari poket sendiri. Kalau syarikat bayar, mungkin boleh tidur di Hilton.
Rancangan sudah lengkap empat bulan sebelum persembahan. Tiket yang dibeli sudah ditayang merata-rata; facebook, blog dan twitter. Senyum sampai ke telinga apabila ada yang rasa irihati. Rasa macam selebriti. Masalahnya, ramai pula selebriti di facebook, blog dan twitter. Yang tiket paling murah pun mahu tumpang sekaki. Kecoh.
Album The Final Frontier hari-hari terpasang di dalam kereta. Pagi ke ofis album itu. Petang balik ke rumah album itu. Hatta dalam ofis pun telinga dicucuk headphone dengan album itu juga. Konon mahu menghafal semua lagu sambil mencongak-congak lagu apa yang akan dimainkan nanti. Bukan semua lagu dalam album itu akan dimainkan. Mereka sudah ada 15 buah album. Hati setiap peminat mahu dijaga juga. Namun usia yang lanjut sebegini, memang susah hendak menghafal. Sedar-sedar anak nombor dua dah hafal lagu Coming Home yang sedap itu. Rasa irihati pula. Dia hafal dengan santai ketika trip membeli belah saja. Saya telah ulang-dengar-ulang-dengar beratus kali siap buka booklet CD melihat lirik. Korus pun masih tak terhafal. Namun saya syukur, benak saya sekurang-kurangnya tidak diwarisi oleh anak kedua saya itu.
Hujung minggu itu telah tiba rupanya. Malangnya, antara empat bulan tersebut macam-macam hal (masalah) masuk dalam kepala. Menyebabkan jiwa keras macam batu. Tidak boleh dilembutkan dengan IRON MAIDEN yang telah menjadi pujaan hati saya sejak berumur 10 tahun lagi. Ya, 26 tahun menjadi peminat. Semua CD lengkap. Bahkan benda-benda merepek tentang IRON MAIDEN pun ada dikumpul. Orang lain kumpul setem, kumpul duit lama. Saya kumpul IRON MAIDEN. Ada ke?
Tiga sahabat tinggal dua. Seorang lagi menarik diri. Bukan kerana cedera. Tetapi maknya meninggal 3 minggu lepas. Dia berkabung. Mungkin sepatutnya, saya menggunakan alasan berkabung juga seperti dia. Cuma, nak berkabung atas sebab apa? Lagipun, saya yang beria-ia mengajak. Nanti yang dua lagi itu pastinya akan mata merah, pipi merah dan mengetap bibir, geram. Saya tidak mahu dituduh bukan-bukan.
Penyudahnya, saya jadi lambat. Janji 715 pagi di kedai mamak berkumpul. Saya datang 745 pagi. Hati berdebar-debar kerana tiket kapalterbang 1130 pagi di LCCT. Kami masih di Simpang Pulai. 250km lagi perlu diterjah. Slack saya bertambah apabila saya terpaksa memesan roti canai sekeping bersama teh tarik. Perut tak tahan lapar. Lagi 15 minit terbuang.
Selesai makan, kami bergegas ke kereta saya. Entah apa yang kami sembang sepanjang perjalanan, saya sudah lupa. Di dalam kepala ketika itu, saya terbayangkan kapalterbang Ed Force 1 yang disewa IRON MAIDEN untuk merantau seluruh dunia sempena jelajah dunia mereka kali ini. Di New Zealand dulu, ketika menunggu transit ke Christchurch, saya nampak Ed Force 1 berlepas. Saya menjerit di dalam hati, “I’m coming for you IRON MAIDEN!” Di Singapura, mungkin tidak dapat saya menuruti mereka ke Jakarta dan Bali. Alangkah bahagianya jika saya dapat menuruti mereka hingga ke Indonesia.
Sedar-sedar, jam 1015 pagi kami sudah sampai ke LCCT. Semangat mula berkobar rasanya. Lirik-lirik lagu mereka mula bermain-main di kepala yang sebelum ini asyik-asyik lagu Maher Zain saja yang berlegar-legar. Ini petanda baik. Saya mula tersenyum. Hati mula melonjak-lonjak. Tangan yang dikepal rasa mahu dilayang ke udara. Seperti mahu dijerit, “UP THE IRONS!” ketika itu juga.
"Masalahnya, ramai pula selebriti di facebook, blog dan twitter. Yang tiket paling murah pun mahu tumpang sekaki. Kecoh."
ReplyDeleteceh!!! riak maidenwi betul :P
berteromber,
ReplyDeletekah kah kah...
sokong Iron Maiden...pasai airbrush kereta sy pernah lukis hantu tu
ReplyDeletepergh..sanggup tu RM 450...
ReplyDeletedalam satu entry ada mcm2 tempat & negara di sebut...
ReplyDeletehebat hebat....
aku insyaAllah tiket ke India rm840.. heheh..
ReplyDeleterm450??? woaaahhhhhhhhh leh dpt 2 handbag! ;-)
ReplyDeleteak nk g mesir,,, ada??? hahaha
ReplyDeletejom baca sat..=)
http://lolz-l.blogspot.com/2011/09/beribadah-tp-xberakhlak.html
saya tak mampu nak laburkan amaun sebanyak itu huhuhuhh.....
ReplyDeleteKenapa wajah-wajah di header itu bagaikan ada masalah? (tidak berkenaan dengan catatan). :)
ReplyDeletekakcik, bapak paksa bergambo kot.. hihi.. sori dr.ben menyampuk lak..
ReplyDeletesaya ada nampak abg ben and the gang kat luar stadium sblom show .. Oohh Batara Guru - Langsuyr , guitarist one of the my favourite local band masa zaman sekolah dulu.
ReplyDelete