Thursday, May 22, 2014

Ulasan: NOSFERIEL Infernal Spell (demo compilation and unreleased track)


Adapun NOSFERIEL berasal dari Terengganu di kawasan Kerteh. Walaupun kewujudan band ini sudah melebihi 10 tahun tetapi dari segi rilisan, sedar tak sedar ada tidak. Mungkin terbawa dengan jatidiri Terengganu yang lemah lembut berbeda dengan kerabat muzik sepertinya yang di pantai barat, lebih egoistik dan tidak malu-malu untuk memperagakan muzik mereka (walaupun mereka patut malu dari segi produksi yang hampagas dan permainan muzik yang tidak memberansangkan).

Atas kesedaran ini, NOSFERIEL menawarkan kembali lagu-lagu dari dua demo Berserk Prism Spell (2002) dan Infernos (2004) di samping menyelitkan sebuah lagu yang tidak pernah dirilis kepada orang awam, Death To Zionis (2008). Matlamatnya, 1. NOSFERIEL masih aktif 2. Ada rilisan terbaru yang sedang menggelegak di dalam studio rakaman sekarang ini. Warm-up kata orang.

Ini membawa kepada implikasi yang agak signifikan kepada orang awam tentang apa yang akan ditawarkan oleh NOSFERIEL untuk album yang sedang di dalam proses rakaman itu. Risikonya ialah apabila NOSFERIEL yang baru nanti gayanya berbeza, pendengar akan rasa tertipu ATAUPUN jika pendengar kompilasi ini tidak menyukainya, album mendatang itu akan dihindari. Akhirnya, kepada mereka yang belum pernah mendengar muzik NOSFERIEL, kesemua ini menjurus kepada keputusan ulasan dalam Krenmaut ini.

NOSFERIEL pada asasnya menawarkan muzik Black Metal dengan sentuhan Death Metal pada satu dua tempat. Nampak di beberapa tempat juga keinginan yang menjurus kepada symphonic terutama apabila munculnya instrumen keyboard di dalam gubahan lagu. Pada masa yang lain, drum teutonic black death yang mengingatkan kita kepada beberapa buah band seangkatannya. Ini semua diolah dengan riff gitar yang simplistik. Dalam kita beranggapan bahawa hala tuju lagu-lagunya ke arah teknikal, rupa-rupanya itu sekadar ejekan sementara.

Perbezaan antara demo-demo dan lagu terbaru pada tahun 2008 adalah fokus. Di mana fokus itu kabur mencapah di dalam demo-demo, ia menumpu pada satu lagu 2008 tersebut. Saya kira, NOSFERIEL memilih minimalis pada teknikaliti instrumen tetapi menganyamnya dengan variasi mood dan perasaan.

Dari segi produksi, tiada apa yang diharap sangat dengan rakaman tahap demo. Dan disebabkan ini adalah rilisan bersahaja, saya suspek tiada mastering dilakukan. Sebab itu apabila bertukar dari demo ke demo dan lagu tahun 2008, berlaku anjakan kekuatan bunyi pada sistem hifi. Jadi kalau anda mendengar dengan volume yang kuat, apabila track mahu bertukar, pastikan tangan anda berada pada knob volume. Nanti terperanjat pula seisi rumah.

Saya berharap NOSFERIEL menggunakan kelebihan sebagai satu band dari kuantiti yang terhad di Terengganu untuk menggunakan kreativiti dan pengaruh yang didapati di persekitaran sana. Boleh saja liriknya disesuaikan dengan persekitaran. Hatta, bagaimana gitar dipetik dan drum dipalu itu pun banyak potensinya untuk disesuaikan. Mungkin harapan saya ini agak terlambat untuk album yang bakal muncul. Tetapi ada kemungkinan juga ini telah difikirkan terlebih dahulu oleh mereka dan ini adalah peluang kita untuk mendengar Black Metal dengan acuan budaya Terengganu.

2 comments:

  1. Suatu pencerahan agak jelas keperihal Nosferiel untuk pembaca juga peminat musik metal 'berkereng maut'. Review demo 'Infernal Spell' ia itu kompilasi dari duo demo air tangan keras dari Nosferiel sudah menjemput kita untuk mendapatkannya.

    Tambah pula diselit gubahan yang tidak sama sekali pernah diperdengarkan pada jelata penunggu Nosferiel. Pasti ada sentuhan2 merunduk nafsu... Fuh..

    Tetapi... Agak sayang sekali kerna tidak dirilis dengan rapi kerna dikhabarkan ada popup poping pickup dan picking audio diantara erawan dua demo dan lagu 'terkiller' yang sudah lama diselimutkan toto tebal malah dikelambukan. Mungkin Nosferiel yang tahu dan mampu jelaskan kerna apa lagu itu dikafankan sekian lama... Kita tunggu.

    Tapikan.. Patut karya bawah tanah itu bersih kulitinya. Apa ia layak di dengar oleh segala panca indera telinga juga?...

    Apapun, aku teringin memiliki karya ini intuk halwa. Mungkin situ ada jawaban pada persoalan. Emm. Wahai si pengriview... Di mana mampu diperehi dan berapakah nilai demo kompilasi ini?

    Semoga Nosferiel dan juga band2 dari Negeri Terang-nung bakal menggegarkan industri seperti mana band 'G.I.G' yang kini ditagih dan dicari-cari kemana menghilangnya anggota... Bereh blaker!

    ReplyDelete