Ajal Menjelma Bila Seruan Menjelma |
Jahanarakah |
Bukanlah hasrat saya untuk mencucuk AJAL, band Black Metal dari Kuala Lumpur ini. Dinilai dari merit semata-mata melalui dua rilisan yang diberi kepada saya; satunya adalah demo dan satu lagi adalah rilisan full length album. Suka saya nyatakan sekali lagi, saya bukanlah seorang expert dalam muzik Black Metal maka jika ada tersilap fakta sana dan sini, saya mengaku ia adalah kelemahan saya.
Demo Ajal Menjelma Bila Seruan Menjelma menampilkan 4 buah lagu termasuk lagu cover, SYJ Hati Syaitan. Produksinya memang tahap demo dengan kesilapan merata dan saya mengandaikan tanpa ada editing pun. Mungkin juga ia adalah rakaman live di dalam studio. Jika begitu berdasarkan merit ini, nyata pada tahun 2010 ketika demo dirakam, Ajal adalah dianggotai oleh pemuzik tanpa pengalaman tetapi mempunyai cita-cita yang besar. Ideanya memang ada dan dapat dikesan tetapi bertaburan sana dan sini. Namun, hajatnya menyendeng ke hala Thrashing Black Metal (or whatever it is). Begitu jugalah dengan hasrat gitar lead Ajal yang menyolo tetapi tidak kesampaian. Mungkin beliau dipaksa atau mungkin dia terperasan; namun kedua-duanya tidak menjadi sebab munasabah kenapa solo gitar itu perlu wujud. Oh, sudahkah saya nyatakan tentang tune lari dan out-of-tune melodinya?
OK kita maafkan kekhilafan demo tersebut. Tahun 2012 menyaksikan Ajal muncul dengan album pertamanya, itupun jika boleh dipanggil sebagai album. Seperti kata saya awal tadi, saya bukan peminat muzik Black Metal unggul, maka banyak benda yang saya tidak faham. Keseluruhan 'album' ini durasinya adalah kurang 25 minit dan mengikut definisi UK Charts, sesebuah album perlu 25 minit minimum. Konsistensi produksi juga ketara jauhnya, seperti contoh, boleh dibandingkan lagu kedua Messiah Palsu (Mesiah Palsu pada lirik) dan lagu ketiga Perjuangan Jihad. Produksi yang terlampau jauh konsistennya mengingatkan kita kepada rilisan kompilasi yang mana setiap atau sebahagian lagu dirilis pada masa berlainan tetapi digabungkan dalam satu rilisan sebagai kumpulan lagu-lagu yang pernah direkod.
Dari segi permainan muzik, tidak dapat dibezakan sangat peningkatan permainan Ajal. Itu tidak menjadi persoalan kerana 2 tahun bukanlah masa yang lama sangat. Seperti yang saya katakan tadi, ideanya jelas tetapi perlaksanaannya banyak lagi boleh ditingkatkan. Jika diekor banyaknya gig dan show yang Ajal turut serta, saya pasti rilisan yang akan datang pasti akan menampilkan prestasi permainan instrumen yang lebih baik.
Saya juga membelek lirik yang dilampirkan sekali di dalam album Jahanarakah. Memang sesuai dengan konsep Eastern Black Metal yang diwar-warkan. Namun ada juga masalah konsistensi jika kita mahu cerewet. Di sebalik imej Black Metal dan muka conteng, jangan terkejut jika saya katakan bahawa lirik Ajal membawa kita kepada muhasabah diri. Shujaul Aqra berkisar tentang kematian yang disesalkan dan seksaan kubur dan Perjuangan Jihad, tentang jihad. Tetapi Amukan Keris Pusaka jatuh kepada kategori tahyul dan khurafat. Ia seperti si Tok Bomoh yang berikrar membantu mencari pesawat yang hilang dengan menggunakan buah kelapa. Mungkin kesemua 6 lagu (dan 1 intro) yang ditampilkan tidak berkait antara satu sama lain dan setiapnya ditulis atas apa yang terlintas tetapi seperti kata saya tadilah, jika mahu cerewet.
Ajal mempunyai potensi cuma yang mahu diperhatikan sekarang ialah secepat dan sejauh mana potensi itu diasah.
Untuk mendapatkan CD ini:
http://www.facebook.com/MTDProduction
http://www.facebook.com/eastern.voice.production
Untuk hubungan terus:
http://www.facebook.com/Ajal666
"Ia seperti si Tok Bomoh yang berikrar membantu mencari pesawat yang hilang dengan menggunakan buah kelapa"
ReplyDelete+1
pergh ulasan yang betul2 menarik.. makan dalam.. harapnya ajal teruskan karya mereka.. dgr kabar band ni dah dibekukan...
ReplyDeletebest cara tulisan kau mm, clear dan teratur.
ReplyDelete