Lagi gambar DI SINI.
Jika diambil kira populariti Whitesnake yang sebenar di dalam negara kita, sudah tentulah disimpulkan yang peminatnya rata-rata datang dari golongan yang berumur 40 tahun ke atas. Untuk generasi yang lebih muda, nama Whitesnake saja belum cukup kuat untuk mereka datang ke Stadium Putra, Bukit Jalil. Jika diletak nama David Coverdale, mungkin mereka akan sedikit tergamam. Kaitkan pula dengan Deep Purple, mungkin tambah tergamam. Apa kena mengena David Coverdale dengan Deep Purple?
Perasaan ini dizahirkan pada malam itu dengan kehadiran yang 70% adalah golongan yang sedikit berumur. Selebihnya, yang lebih muda, memang mempunyai selera muzik yang outdated pada pandangan zaman ini. Tetapi sekurang-kurangnya, Whitesnake terutamanya David Coverdale dapat mengetahui bahawa usia beliau dalam industri cekik tengkuk ini, masih berbaki beberapa tahun lagi. Sekurang-kurangnya selagi beliau masih ada kederat untuk menyanyikan lagu Burn (Deep Purple) pada setiap malam sepanjang tour Whitesnake ini.
Ella yang menjadi artis pembuka malam itu, kurang bertenaga. Mungkin beliau terkesan dengan kehadiran yang tidak seberapa. Atau mungkin beliau memang tidak bersedia. Sekali-sekala pandangan beliau dilemparkan ke lantai - saya suspek beliau membaca lirik yang dilekat di atas lantai. Malang. Kerana beliau diapit oleh tiga orang gitaris yang masing-masing boleh menyolo tahap terbeliak mata. Joe Wings antaranya. Untung penonton pada malam itu sporting. Atau tidak terlampau kritikal.
Apabila Whitesnake naik ke atas pentas, tiba-tiba kawasan atas lantai yang tiket harganya paling mahal, hampir dipenuhi orang. Segala tanggapan bahawa Whitesnake tiada peminat di Malaysia, boleh dibuang jauh-jauh. David Coverdale dengan panji-panji Whitesnake masih ada auranya. Sekarang, aura itu bertukar menjadi suatu tenaga yang diapit rapat oleh pemuzik yang berwibawa terutamanya di bahagian gitar. Memang tradisi Whitesnake begitu. Steve Vai pun pernah bermain dengan Whitesnake. Malam itu, Doug Aldrich (ex-DIO) dan Reb Beach (ex-WINGER) menjadi panglimanya. Jika ada yang mendapat tiket percuma malam itu, dan tidak faham dengan nyanyian David Coverdale, sekurang-kurangnya mereka akan terhibur dengan solo berapi kedua-dua gitaris tersebut.
Tour ini Whitesnake membawa misi mempromosi album terbaru, Forevermore. Ini bukanlah harapan peminat beliau di Malaysia malam itu. Mereka mahukan lagu klasik Whitesnake. Dan kalau boleh, diselitkan dengan beberapa buah lagu Deep Purple. Hasrat terpendam peminatnya dipenuhi. Hanya 15% dari lagu-lagu yang dibawa adalah lagu yang kurang difahami. Yang lainnya adalah lagu klasik yang popular beredar di stesen radio dan MTV.
Love Ain't Your Stranger dan Is This Love mengembalikan memori tatkala si pengarah syarikat pada malam itu kepada zaman beliau berada di zaman sekolah dengan key diikat di kepala lutut. Ini adalah lagu 'rebel' zaman itu. Bukan Black Metal. Apa-apa video klip dengan lirik bertema cinta sampah disulami dengan jelingan model wanita berambut mengerbang pada ketika itu, adalah rebel dan berisiko untuk diherdik oleh ibubapa ketika itu.
Walaupun tidak dikenali, lagu baru Forevemore memiliki kekuatan tersendiri. Gitar akustik dinaikkan di atas pentas dengan Doug memetiknya dan dihiasi dengan vokal David Coverdale. Habis 2 minit dengan akustik, lagu tersebut menjadi sedikit heavy dengan bunyian gitar berdistortion. Jika diambil kira lagu ini saja, mungkin ada sebab peminatnya mencari album ini di pasaran. Yang tidak pasti ialah samada ia dirilis secara rasmi di Malaysia. Alternatif dari itu, ialah membelinya dari Amazon.com ataupun eBay.
Kental dengan semangat 80an, segmen solo gitar dan solo drum diselitkan pada malam itu. Untuk segmen solo gitar, Doug dan Reb beradu tenaga. Doug dengan Les Paul dan Reb bersama Suhr. Dengan gitar itu saja kita dapat mengetahui pemenangnya. Ini mungkin disengajakan. Lebih-lebih lagi, Doug banyak mengambil tempat di tengah pentas berbanding dengan Reb. Pada segmen solo drum pula, karenah Brian Tichy dengan drum sticknya cukup menghiburkan walaupun segmen beliau mengambil masa yang sedikit berlebihan. Menggunakan stick drum biasa, stick drum glow in the dark bahkan pisau (yang merisaukan kerana beliau seperti mahu membalingnya kepada penonton sepertimana seorang drummer membali stick drum untuk disambut) dan juga tangan seperti drummer Whitesnake pada satu masa dahulu, Tommy Aldritch.
Penghujungnya, Whitesnake menambahkan nikmat malam itu dengan siri lagu-lagu hits dan klasik seperti Fool For Your Lovin, lagu mega popular Here I Go Again dan kompleksiti lagu Still Of The Night yang semestinya disambut baik oleh penonton malam itu. Kemudian penonton dikejutkan pula dengan lagu Soldier of Fortune versi vokal solo tanpa muzik - agak tidak puashati kerana lagu ini lebih nikmat dengan gitar. Lagu terakhir, Burn, disambut dengan gemuruh dan penonton mengerahkan sisa-sisa tenaga yang ada untuk dihabiskan dengan lagu ini. Diselit juga ditengahnya korus Stormbringer namun ini menambah dahaga penonton. Namun harap difahami bahawa malam itu adalah malam Whitesnake, bukannya Deep Purple.
David Coverdale masih bertenaga walaupun umurnya 60 tahun. Suaranya besar dan bertenaga. Apabila beliau membuka mulut meniti lirik lagu, terjahan soniknya meliputi keseluruhan stadium. Beliau adalah antara vokalis yang bersuara emas. Tambah lagi, lenggok vokal beliau adalah seperti seorang mat saleh berjiwa kulit hitam. Elemen soulnya melekat dan jiwa bluesnya pula memikat. Rata-rata penonton berpuashati malam itu. Di luar stadium mereka bergasak pula membeli t shirt bootleg yang dijual dengan harga RM20. Penjual one night stand ini mengambil manfaat besar dari kedatangan Whitesnake dilihat dari kerumunan penonton yang datang itu pada gerai-gerai mereka.
walaupun xminat whitesnake cam iron maiden ataupun metallica...tapi ada juga dua 3 lagu diorang yang selalu dilayan...whitesnake satu lagenda.
ReplyDeletereview yang menarik...review dari orang yang hampir nak tua...heheh...
ReplyDeleteapa2 pun deep purple related family tree either aku minat giler, atau sekurang2 nye aku sympathiser.
ReplyDeletewalaupun saya kenal David coverdale aje ( pasal lagu soldier of fortune ) review ni terbaik!
ReplyDelete