Seperti yang disiarkan dalam KARISMA Disember 2011
-------------
Computer-generated imagery (CGI) adalah satu alat yang sudah tidak asing lagi di dalam pembikinan filem terutamanya apabila filem itu bercorak aksi, fantasi dan horror. Filem-filem seperti ini, jika tiada CGI, akan dianggap sebagai sebuah filem murahan. Filem yang ketinggalan zaman. Jika ada pun filem yang 100% bebas CGI, kemungkinan filem yang bercorak drama, cinta dan dokumentari. Dua kategori ini boleh dibahagi kepada filem pantas (perlu CGI) dan filem slow (tidak perlu CGI).
Filem aksi yang menggunakan kederat semata-mata mungkin hanya apabila filem itu Made in Malaysia. Aksi stunt dilakukan oleh manusia. Tumbukan padu jika diperlahankan cuma nampak seperti tumbuk angin. Jika filem horror, watak hantu dan setan cukup sekadar menggunakan khidmat tukang bedak tanpa sijil. Bedak sekata satu muka kemudian dicalit celak di keliling mata. Si setan cuma perlu menjengilkan mata - cukup untuk membuatkan seantero negara menghebahkan kehebatan filem tersebut lantas meraih RM8 juta kutipan tiket. Tetapi setakat itu saja. Hendak dibawa keluar, sendiri rasa malu.
Analogi ini sebenarnya sangat berkadar dengan rilisan muzik Metal tempatan. Teknologi (analogous kepada CGI) hampir-hampir tidak digunakan. Lurus bendul. Cukup dengan hempas pulas praktis seminggu sekali selama beberapa bulan dan kemudiannya mengharapkan skil yang terbentuk cukup untuk bekalan di studio rakaman. Yang mereka lupa ialah rakan seperjuangan di luar sana, mempunyai studio praktis sendiri. Berlatih 4-5 jam sehari. Lebih dari itu, mempunyai kelengkapan dan teknologi terkini dan dibawa bekal semasa rakaman.
Jika kita mendengar rilisan Metal popular sekarang, dan percaya bahawa semua yang dirakam hanya menggunakan kederat pemuzik semata-mata, anda sebenarnya termasuk dalam golongan lurus bendul. Itu mungkin betul 30 tahun dahulu tatkala teknologi rakaman masih bayi. Untuk menyiapkan satu lagu boleh mengambil masa seminggu sekadar satu track gitar kerana produser beria-ia mahukan ketepatan note dan tone. Silap atau tak puas hati - ulang. Sebab itu Bruce Dickinson semasa rakaman lagu The Number of The Beast menjerit sekuat-kuatnya tak puashati kerana letih dibuli produser (ironinya, jeritan tak puashati beliau dirakam dan dijadikan jeritan intro lagu tersebut).
Tidakkah anda perasan bahawa bunyi drum sekarang lebih kurang saja bunyinya? Tidakkah anda perasan bahawa walau selaju mana drum tersebut dimainkan walau 300bpm sekalipun, ianya tetap mati pada titik yang sepatutnya? Tidakkah anda perasan bahawa petikan gitar walaupun 34700 kali dipetik, tone dan titiknya sama? Jika memang betul si pemuzik itu pemuzik terkenal lagi tersohor dan dikenali ramai, mungkin juga layak kita percaya - tetapi ini budak baru lepas sekolah!
Akhirnya, rilis juga album tersebut. Produksinya tip top. No flaws. On the dot. Dan anda membelinya, mendengarnya dan selalu juga timbul keinginan untuk menyamainya. Lalu, anda menyiapkan beberapa lagu dan praktis bersama band anda. Book studio dengan jurutera yang baru belajar nak menggunakan software rakaman. Punah harapan kerana hasil bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan idola tadi. Ataupun, kerana sudah tiada daya, menyalahgunakan prinsip - we hate technology!
Guna saja teknologi yang ada. Mereka yang anda agung-agungkan tidak pun malu menggunakan teknologi. Kerana mereka faham, ini zaman teknologi. Drum bunyi macam tong sampah - no problem, gunakan software untuk mendapatkan sound drum Gene Hoglan. Drummer berterabur - no problem, gunakan skil cut & paste. Amp dalam studio cuma ada Fender 20W - no problem, gunakan software yang menawarkan 400 jenis amp untuk dipilih. Semua masalah rakaman sebenarnya boleh diselesaikan dengan teknologi.
Yang anda perlu cari sekarang ialah seseorang yang celik teknologi. Studio sebagus mana pun, jika diukur dengan standard anda yang sekadar pemuzik amatur, tidak akan dapat menghasilkan apa-apa yang baik jika anda sekadar menggunakan kederat. Percayalah. Tidak percaya? Anda masih yakin anda pemuzik hebat? Nampaknya tiada siapa lagi yang boleh menyelamatkan anda. Sayonara!
..aku amat suka akan artikel yang berbau provokasi..
ReplyDeleteaku puas hati kemarahan dlm posting ini!
ReplyDelete