Thursday, April 28, 2011

Buku: The Bloody Reign Of Slayer


Slayer merupakan salah satu band Metal yang paling berpengaruh di dunia tetapi malangnya, tiada buku mengenainya ditulis selama ini. Mujur Joel McIver, jurnalis yang dikenali melalui tulisan di majalah Metal Hammer, Rolling Stone, Kerrang! dan sejumlah majalah lain mengambil inisiatif untuk membuat rujukan dan siasatan untuk membedah Slayer. Beliau sendiri mengakui bahawa ini adalah buku autobiografi Slayer yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Buku ini ini dipenuhi dengan fakta yang dikorek dari Slayer sendiri melalui 60 buah sesi temuramah yang beliau lakukan sepanjang karier beliau sebagai jurnalis berserta juga rujukan. Selain itu, beliau juga membedah kesemua album dalam karier Slayer dari Show No Mercy hinggalah World Painted Blood. Buku ini padat dan sarat dengan maklumat tentang Slayer menjadikan ianya satu rujukan penting untuk peminat Slayer.

Buku ini ditulis secara kronologi, bermula dari lahirnya empat inidividu penting; Tom Araya, Kerry King, Jeff Hanneman dan Dave Lombardo dan sekaligus mengorek silsilah asal mereka. Contohnya, Tom Araya bersama keluarganya adalah imigran dari Chile ketika beliau kecil lagi dan Dave Lombardo pula imigran dari Cuba. Bagaimana pertemuan Jeff dan Kerry kali pertama berlaku yang menjadikan mereka gitaris duet tersohor dunia juga diceritakan.

Awal penubuhan Slayer merupakan sejarah yang menarik kerana kita akan mengetahui betapa untuk mencapai tahap yang mereka kecapi kini memerlukan kerja keras. Mungkin kelakar apabila membaca ketika awalnya, mereka menjadikan dewan sekolah sebagai tempat bermain gig dan menyebarkan flyer dengan tangan kepada pelajar-pelajar sekolah untuk hadir dalam gig mereka sendiri. Tetapi pada zaman itu, ianya adalah langkah yang bijak untuk memperkenalkan band kepada peminat tempatan tanpa mengharapkan venue yang melihat genre Thrash Metal sebagai genre Metal picisan ketika itu.
Persoalan keluar masuk Dave di dalam Slayer sebanyak tiga kali juga dibincangkan dan dikorek melalui ahli Slayer sendiri selain dari pendirian Paul Bostaph yang tidak kurang handalnya di posisi drum mengenai Slayer (Paul juga keluar masuk dua kali). Kontra ahli band sangat ketara seperti Tom Araya adalah seorang Katholik sedangkan Kerry King adalah pembenci agama (beliau adalah atheist). Yang paling menarik, setelah tamatnya pembacaan buku ini kita akan mengetahui bagaimana Slayer dapat mengekalkan konsep ‘marah’ di dalam setiap album mereka, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh band setaraf mereka seperti Metallica dan Megadeth.

Boleh dikatakan hampir kesemua persoalan tentang Slayer telah terjawab di dalam buku ini. Gaya penulisan Joel adalah mudah dan setiap peristiwa disusun dengan kemas dan biasanya dikupas dengan mendalam. Walaupun ulasan beliau tentang album Slayer boleh diperbincangkan kembali seperti beliau menganggap South Of Heaven adalah album yang kurang menjadi (saya merasakan ianya adalah album kedua hebat selepas Reign In Blood) tetapi analisis beliau agak mendalam dan memerlukan bantahan yang kritikal juga.

Buku ini adalah salah satu diskografi Slayer walaupun berbentuk tulisan kepada peminat mati-tegar Slayer. Untuk peminat baru, ia juga adalah informasi yang menyeluruh tentang band metal tersohor ini. Bahkan bukan saja kepada peminat metal, ini adalah bacaan baik untuk mereka yang meminati muzik ekstrim keseluruhannya.


Bentara (krenmaut.blogspot.com)
*disiarkan dalam KARISMA April 2011

5 comments:

  1. lepeh ni bole ler teman usyar2 kat kinoks tak pon borders.hopefully dpt la jumpa.sedap btol ulasan abe ben!

    ReplyDelete
  2. kat kinok
    klcc ada buku nie

    ReplyDelete
  3. berapa duit? cam best je

    ReplyDelete
  4. http://www.youtube.com/watch?v=c3yPGsqxk-w

    ReplyDelete
  5. alamak.. kat yik foong takde ke?

    ReplyDelete