Selepas rilisan yang baik dari Symbiotic In Theory dan Farasu dari Negeri Sembilan, sebuah lagi rilisan yang tak kurang hebatnya datang dari negeri yang sama. Antara dua rilisan tersebut dengan yang ini, tiada persamaan baik dari segi produksi mahupun lenggok persembahan yang ditawarkan.
HELDRASIL secara amnya boleh dikategorikan sebagai band Death Metal yang berkiblatkan melodic Death Metal ala-Dark Tranquillty. Namun ini bukan perlabelan yang buruk tetapi baik. Jika diselidik mutu permainan Dark Tranquillity, sesiapa yang mahir dengan permainan muzik pastinya mengakui kehebatan band tersebut dalam susunan lagu dan permainannya. HELDRASIL dalam hal ini, sangat berjaya.
Lagu-lagunya bermelodik dengan leretan twin-guitar yang bersimpang siur; di kiri dengan note yang berlainan dengan di kanan; tetapi diikat dengan baik dalam setiap lagunya. Drumnya juga sangat kemas dan jitu hingga kepada decimal points. Kenyataannya ialah hasil produksi ini banyak diusahakan oleh Azman (Langsuyr) dan Bakri (Gerhana Ska Cinta) sebagai produser bersama. Gabungan pemuzik berpotensi dan produser berpengalaman sudah tentu menghasilkan sesuatu yang baik - ini ditunjukkan melalu rilisan ini.
Kekuatan utama CD ini adalah pada melodi dan gaya permainan yang kemas. Drum yang selalunya masalah untuk rilisan underground langsung tidak nampak cacatnya di dalam CD ini. Tiada terkucil, tiada terlebih pukul. Semuanya in-place. Kudos juga harus diberikan kepada kedua-dua gitaris yang bukan saja kreatif dalam seksyen melodi malah sangat cantik dalam gitar solo mereka.
Born dimulakan dengan gitar akustik yang cantik. Kemudiannya disambung dengan rhythm yang mudah tetapi berkesan. Ah gitar solonya menyebabkan kita memainkan air-guitar pada ketika itu juga. The Enemy Of God mempunyai kecenderungan Dark Tranquillity yang tebal terutama apabila vokalisnya menggunakan dua jenis suara; growl dan jeritan mengingatkan saya kepada lagu-lagu dari album The Gallery dan The Mind's I. Tidak dilupa vokalis undangan dari penyanyi jelita Nadhira. Proud Land juga tidak kurang hebatnya dengan melodi dan permainan yang sangat kemas yang kemudiannya ditutup dengan sebuah lagu yang mid-pace bertajuk Until The Last.
Nampaknya Negeri Sembilan semakin banyak menawarkan band dan rilisan yang berkualiti. Harapan saya ialah ketiga-tiga band ini dapat berkongsi pentas bersama. Tentunya ia menjadi sebuah gig yang meninggalkan kesan kepada mereka yang hadir.
Mungkin jika adapun yang mahu dicari kekurangannya, mungkin pada bahagian mastering. Bunyi gitarnya agak terperosok jauh ke dalam dan drumnya terlalu tertumpu di tengah. Teori saya, mungkin reverb kurang untuk mengembangkan sedikit bunyi gitar.
HIGHLY RECOMMENDED.
Untuk membeli CD mereka, sila hubungi heldrasil.band@gmail.com
Layari http://www.myspace.com/heldrasil666
wah.. review yang buat aku nak tahu lebih
ReplyDelete