Hari Ahad adalah rutin, dimulakan dengan solat Fajr berjemaah dan diikuti dengan bayan Subuh yang diberikan oleh seseorang dari jemaah Arab Saudi. Selepas sarapan kami rehat. Di luar masjid, teh dan kopi dihidangkan secara percuma. Jika ada antara kami yang tidak mahu makan makanan yang disediakan oleh tuan rumah, boleh saja membeli di luar masjid. Mungkin di Malaysia, burger adalah kelaziman tetapi untuk kami di Adelaide, hanya kalau dibuat home-made baru dapat merasa. Di warung luar masjid ini, alhamdulillah ada menjual burger. Terasa sangat nikmatnya.
Jam 930am halqah taklim bermula. Kami yang berbahasa Melayu, rapat-rapat antara kami dan mendengar hadith-hadith Nabi s.a.w. yang dibaca dari Kitab Fadhail Amal karangan Maulana Zakaria Al-Kandahlawi (rah) selama hampir sejam. Kami juga duduk bertiga-tiga membuat halqah tajwid Al-Quran, mendengar dan membetulkan bacaan Al-Fatihah dan 10 surah terakhir. Suatu praktis yang sangat baik kerana bukan semua dari kami yang betul bacaannya, maka ia dibetulkan. Sejam yang terakhir, muzakarah enam perkara diberikan oleh wakil jemaah dari Malaysia. Beliau menekankan betapa pentingnya membuang kebesaran dunia di dalam hati dan selayaknya diganti dengan kebesaran Allah s.w.t. Pentingnya ini kerana, ia adalah peningkatan iman. Dan Allah s.w.t. sendiri hanya menerima iman yang 100% kepada diriNya. Jalannya ialah dengan bermujahadah keluar ke jalan Allah s.w.t. disamping sentiasa menggunakan 4 deria; mulut untuk selalu bercakap tentang kebesaran Allah s.w.t., telinga untuk sentiasa mendengar percakapan tentang kebesaran Allah s.w.t., mata untuk sentiasa melihat kebesaran Allah dan minda untuk sentiasa berfikir tentang kebesaran Allah s.w.t.
Selepas solat Zohor, Maulana Ismail dari sebuah masjid di Melbourne memberikan bayan. Beliau berasal dari Albania. Beliau menceritakan bagaimana Albania telah dihenyak oleh komunis. Setiap perkataan berkait dengan agama adalah jenayah. Masjid dimusnahkan dan para ulama dibunuh. Namun kuasa Allah s.w.t. mengatasi segalanya. 1991, komunis hancur di Albania dan pada tahun 1993, beliau mengikuti jemaah pertama ke Pakistan ketika itu beliau berumur 14 tahun. Mereka berjumpa dengan Maulana Umar Palanpuri (rah) dan sebaik sahaja beliau berjumpa dengan jemaah ini, beliau menitiskan air mata. Kata Maulana Ismail, Maulana Umar Palanpuri (rah) telah menangisi keadaan Islam di Albania sejak 30 tahun yang lepas!
Maulana Ismail terus belajar agama di Pakistan. Menjadi hafiz Al-Quran dan seterusnya menjadi alim. Pada tahun 1999, beliau berangkat dengan jemaah jalan kaki di Pakistan. Jemaah tersebut mengandungi 2 orang alim dan 2 orang al-hafiz selain dari orang awam. Kata Maulana, inilah komposisi jemaah yang perlu diusahakan. Kata beliau mereka sampai di sebuah perkampungan ketika tasykil dibuat, ramai orang kampung telah sedia untuk keluar ke jalan Allah s.w.t. Namun begitu, mereka tidak mempunyai sebarang harta untuk dibuat perbelanjaan. Setelah bermesyuarat, amir jemaah mencadangkan agar mereka membawa sahaja kambing belaan mereka. Jika ada sesiapa mahu membeli ketika di jalan Allah s.w.t., maka ia boleh digunakan sebagai perbelanjaan.
Sepanjang perjalanan setiap kampung, ada saja orang kampung yang mahu keluar ke jalan Allah s.w.t. Apabila sampai di markaz Raiwind, jemaah tersebut membawa 46 orang kampung bersama mereka bersama-sama dengan 250 ekor kambing! 250 ekor kambing itu berjaya dijual di pasar oleh seseorang dengan harga 2 kali ganda dari harga pasaran. Subhanallah! Sesetengah orang kampung tersebut bukan sahaja dapat keluar 4 bulan dan 40 hari di jalan Allah s.w.t., malah dapat juga membawa belanja ke rumah hasil dari jualan tersebut. Benarlah kata Allah s.w.t. bahawa agama ini perniagaan yang menguntungkan untuk mereka yang beriman.
Kata Maulana Ismail, jemaah ini unik. Ketika rutin harian mesyuarat untuk aktiviti harian, bukan sahaja dimesyuaratkan siapa yang hendak diziarahi, siapa yang khidmat, siapa yang memberi bayan etc., malah dimesyuaratkan siapa yang akan membawa kambing-kambing itu ke padang ragut! Kami yang mendengar tersenyum-senyum mendengarnya.
(bersambung)
memang kelaziman biasa bacaan al-Fatihah orang mcm tak ambik berat sangat..padahal itulah yang perlu ditekankan..masa kat kolej dulu ada kelas tajwid..rata2 semua hafaz surah2 yang panjang..tpi bila di tasmik bacaan al Fatihah banyak yang kantoi..2 minggu kelas just baca alfatihah jer.
ReplyDeletethanks for sharing
masyaAllah...menarik sungguh karkuzahri maulana tu..
ReplyDeletetak sabar nak baca lagi sambungan posting ni bro...
Hidayat seluruh alam..
cerita lagik wei..
ReplyDeleteinteresting ler pasal Albania dan kambing2 Pakistan tu...