Tuesday, January 01, 2013

Gig banyak band atau sikit band?

Maaf tajuk agak mengelirukan tetapi ia disengajakan untuk mengajak anda membaca artikel ini.

Jika anda seorang pengekor scene muzik Metal underground tempatan, pasti anda akan perasan fenomena ini. Saya pun tidak pasti bila berlakunya perubahan ini tetapi katalah kita ambil tahun 2000 sebagai sempadan perubahan tersebut. Sebelum tahun 2000, gig tempatan biasanya dianjurkan dengan band paling banyak, dalam lingkungan 5-6 buah. Selepas tahun 2000, jumlah 10 band yang main dalam sesebuah gig adalah satu perkara biasa.

Saya utarakan fenomena ini dalam sebuah group tertutup di laman sosial facebook. Saya katakan bahawa sesuatu gig yang menawarkan jumlah band antara 5-6 adalah yang paling optimum. Ada banyak sebab. Antaranya, masa yang diluangkan untuk gig sebegini tidak melampaui batas kesabaran manusia. Jika diambil 40 minit sebagai masa persembahan satu band (termasuk masa setting) dan 1 jam untuk band utama, maka jumlah masa yang dihabiskan untuk gig tersebut adalah sekitar 4.5 hingga 5 jam saja. Yang menyokong pendapat saya juga teringat zaman itu jika gig itu mula sekitar 2pm, maka sebelum maghrib sudah selesai semuanya. Ini memberi peluang kepada penonton untuk berehat pada malamnya. Untuk penonton yang mungkin sedang belajar di mana-mana pusat pengajian, masa ini adalah amat penting.

Katalah untuk setiap persembahan adalah 30 minit dengan 10 minit untuk setting, maka ia memberi ruang kepada penonton untuk ambil angin sebentar sementara menunggu persembahan bermula. Ini penting kerana band yang membuat persembahan mahu ditonton. Begitu juga penonton, mahu menonton kesemua band disebabkan duit yang telah dihanguskan untuk membeli tiket. Kedua-dua belah pihak, band dan penonton akan berpuashati kerana band ditonton dan penonton menonton. Perkara ini jarang-jarang berlaku apabila terlampau banyak band yang bermain sampaikan band kadang-kadang merayu supaya penonton tidak keluar. Pastinya penonton perlu keluar kerana persembahan sudah melewati 6-7 jam. Mereka pun perlu ambil angin. Jika terlampau letih, ambil angin ini lebih lama. Mungkin yang ditonton sekadar 3-4 band dari 10 band yang ditawarkan.

Anda pasti pernah merasa satu show yang bermula sekitar jam 3-4pm yang berakhir sekitar jam 12am. Apa perasaan anda? Penonton rasa letih, band yang menunggu giliran pun letih! Ini bukan show Ozzfest yang mana band melepak di dalam hotel sambil menonton TV menunggu telefon dari organizer untuk bersiap-siap sejam sebelum show. Band yang main hampir kesemuanya melepak di kedai mamak berdekatan 5-6 jam (untuk band dalam senarai terkemudian) untuk menunggu giliran. Semangat pun hilang.

5-6 band adalah nombor yang realistik dan optimum. Pada zaman tersebut, biasanya band dicampurkan antara yang dikenali dengan yang kurang dikenali. Biasanya 3-4 band yang dikenali dan 2-3 band yang kurang dikenali tetapi mahu diketengahkan. Umum faham bahawa penonton mahu menonton band yang mereka minat dan biasanya yang diminati pastinya yang telah dikenal. Pada masa yang sama, penonton juga mahu "dikejutkan" dengan band baru. Inilah yang dirasakan menjadi daya penarik kepada sesuatu gig bukannya jumlah band yang banyak yang membawa semak.

Jika ini dapat dilaksanakan dan penonton  yang datang mengharapkan kepuasan (dan mereka pun tau akan puas), maka jualan tiket akan lebih banyak. Apabila jualan tiket lebih banyak, maka organizer pun tidak rugi. Backline yang lebih berkualiti dapat disewa. Dan paling penting, band pun dapat dibayar. Diambil kesemua faktor ini menjadikan kualiti gig itu lebih tinggi. Bandingkan dengan sesuatu gig yang kurang pembeli tiket, band yang banyak dan sistem backline yang hampas, bukan saja penonton tak puashati bahkan band dan juga organizer sendiri kerana rugi.

Nombor dalam jumlah band ini bukan sekadar nombor. Ia perlu dilihat dari perspektif keseluruhan yang memberi kesan kepada sambutan sesebuah gig iaitu kepuasan yang haknya adalah dari pemegang saham iaitu organizer, band dan penonton. Walaupun istilah gig masakini ialah dengan band yang lebih 10 buah tetapi rentak baru yang lama perlu dilakukan kembali. Jika kepuasan ini tidak dapat dinikmati dari gig yang 10 band, maka logiknya jumlah band perlu dikurangkan berdasarkan kepada hujah-hujah di atas. Melainkan jika datangnya hujah kontra yang dapat mematahkan dengan hujah yang telah diutarakan yang setakat ini tidak dapat saya kesan baik dari organizer, band mahupun penonton semasa berdiskusi di group tertutup tersebut.

Mungkin dengan datangnya tahun baru 2013 ini kita akan dapat melakukan sedikit anjakan paradigma dalam hal ini.


5 comments:

  1. Keadaan begini harus diambilberat oleh organizer gig...sad but true

    ReplyDelete
  2. kadang macam organiser nak untung lebih pun ada...tengok flyers sampai banyak band..kadang yang nak tengok band tu sekerat aje....selalu diorang tunggu band yang diminati aje

    ReplyDelete
  3. ..aku amat menitik berat kan ketepatan masa...Kat flyers tulis mula pukul 2 alih2 4.30 baru nak mula..Padam abis semua mood..Huhuuu...

    ReplyDelete
  4. zaman mcpa gig start pkl 2 hbs 10 malam...dan saya cukup arif perihal letih menunggu

    ReplyDelete
  5. apa yang duktur kata ada benarnya. gig jadi melalut ambik masa. Pengalaman baru-baru ni organize gig bidan terjun barulah aku tahu sebab apa gig kat Malaysia ni mesti delay. Sebagai contoh gig aku buat untuk Belligerent Intent & Cemetery Urn jam kat flyer kami letak 7.30 mlm. Bellegerent dan Cemetary dah buat soundcheck sejak jam 4.00 petang. Crowds dah sampai ikut time. Band-band local (area KL) semua sampai pkol 9.00 malam!!! Baru la aku tau, bukan salah organizer terjadinya delay...delay ni. Tidak sepenuhnya. Dalam kes kami, kami dah ready dari petang. Apa pun it was a success! TQ semua.

    ReplyDelete