Thursday, April 05, 2012

SILVERIAN KULT Ipoh 28 January 2011

Seperti yang disiarkan dalam majalah KARISMA Edisi 21.

-----------------------

Sehari sebelum hari gig, pihak sekolah anak saya menelefon - menyuruh saya mengambil anak saya yang sedang sakit dada. Saya kenal anak saya yang itu, beliau agak dramatik. Semasa di Australia beliau digelar Tom Cruise kerana berjayanya beliau mendramatikkan apa-apa saja situasi yang berlaku ke atas diri beliau. Sungguh, suasana bilik guru ketika itu ikut dramatik, guru-guru berkerumun memujuk tangisan beliau. Beliau menangis sungguh-sungguh sambil menekup dada. Muka saya terus berubah menjadi pucat kerana drama ini belum pernah sampai ke tahap dramatik seperti ini. Saya membawa beliau ke klinik berhampiran dan apa yang dikatakan oleh doktor langsung lebih memucatkan - dikhuatiri anak saya ada sakit jantung!

Saya bawa beliau ke hospital dan beliau dimasukkan ke dalam wad kecemasan. Oleh kerana tiada doktor pakar ketika itu, beliau dimasukkan ke dalam wad. Hati saya cuba memproses kembali perjalanan hidup saya sebelum ini. Logiknya sakit jantung ini jika bukan disebabkan kecacatan semasa lahir, ia adalah satu penyakit yang berkait dengan masa. Pemakanan yang tidak sihat dan gaya hidup yang tidak betul lama-kelamaan akan menyebabkan sakit jantung mula menyapa kita. Tetapi kita sekarang bercakap tentang seorang budak berusia 9 tahun. Hanya 9 tahun hidup - pemakanan dan gaya hidup tak betul sudah bagi kesan? Pelik!

Keesokan harinya, doktor pakar jantung mula membuat analisis. Saya ikut sama duduk melihat ultrasound dibuat. Nyata jantung normal. Tiada lubang. Tiada kepelikan denyutan. Penyudahnya, tiada kesudahan tentang apa sebenarnya yang disakitkan oleh anak saya itu. Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah pasti beliau bebas dari sakit yang membunuh itu.

Akibat dari itu, beliau hanya dibenarkan pulang lebih kurang jam 5 petang. Dari Ipoh ke Tronoh one-way ambil masa 40 minit dengan kereta. Ketika saya sampai ke lokasi kejadian gig ini, jam sudah hampir menunjukkan waktu maghrib. Saya selesaikan solat maghrib dulu sebelum masuk ke dalam venue. Nyata, sudah banyak band saya ketinggalan untuk menontonnya. Dark Chronicles, Viniir dan Bilharzia adalah satu kerugian kepada saya kerana tidak sempat menonton.

Maka show pertama saya pada hari itu adalah dari Cultristic. Untung juga kerana antara personaliti yang sangat saya mahu tonton malam ini adalah Daud, si gitaris. Sebelum ini saya sempat mendengar lagu-lagu mereka sekali imbas. Saya sangkakan lagu tersebut adalah dari album Nile. Rupa-rupanya dari Cultristic. Selayaknya lagu-lagu yang diproses di dalam studio itu ditonton secara live. Apa benar mereka ini yang memainkan lagu-lagu tersebut? Benar, tidak syak lagi. Cultristic dengan kekuatan Daud nyata tidak menghampakan. Dan penonton yang hadir juga mengakui kehebatan Daud hasil dari sorakan nama beliau dan layangan tangan tanda setuju terhadap keupayaan beliau.

Nekrad mengambil tempat selepas itu. Walaupun ini adalah gig kedua mereka dengan line-up yang baru tetapi ini adalah gig yang dianggap sebagai kritikal kerana mereka bermain di hadapan penonton Ipoh dan sekitar yang 50% terdiri dari orang-orang lama di dalam scene. Walau berbuih mulut mengatakan approval orang lama tidak diperlukan, hati sebenarnya  tetap mengharapkan approval itu. Masalah sound menjadi halangan utama kerana ketidakupayaan bahagian teknikal untuk mencari penyelesaian sepatutnya. Ditambah pula dengan susunan instrumen yang tidak seimbang. Gitar diletak disebelah kiri bersama bass sedangkan keyboard bersendirian di sebelah kanan. Apabila keyboard tidak termasuk dalam komposisi lagu, maka intstrumen yang kedengaran hanya di sebelah kiri. Yang sepatutnya ialah keyboard berada satu posisi bersama bass - ini adalah untuk keadaan yang mana speaker tidak disediakan diseluruh ruang terutamanya untuk venue yang kecil.

Di sebalik kepincangan teknikal dan posisi tersebut, Nekrad memberikan show yang all-out. First impression melalui pemakaian yang elaborate saja sudah cukup untuk menyatakan bahawa band yang mereka yang mainkan adalah serius dan bukan sekadar melepas batok di tangga. Vokalis dengan outfit yang diinspirasikan dari vokalis Cradle Of Filth dan gitaris dengan pemakaian kemeja dengan jaket kontot gaya zaman Victorian menjadi santapan mata yang enak sekali. Tabik spring kepada pemain keyboard yang begitu agresif, showmanship beliau adalah umpama Bruce Dickinson yang bermain keyboard.

Band terakhir suka atau tidak, selayaknya menjadi band penutup malam itu - Vociferation Eternity. Jika masih ada yang masih mempersoalkan kredibiliti band ini, tiada nasihat lain yang patut diberi - all is lost. Dark-E dihimpit oleh Daud dan anggota Neftaraka bukanlah sesuatu yang baru. Line-up ini sudah agak lama bersama dan sayugia dinyatakan, ini adalah line-up yang mantap. Dahaga dua gitar bermelodik hilang dengan adanya Daud. Lagu Vociferation Eternity pada bahagian yang pertama, liriknya sama-sama dinyanyikan bersama oleh majoriti penonton yang menghafalnya. Dua buah lagu baru, juga disambut baik oleh penonton kerana sekali anda lekat dengan Voci, selamanya anda akan lekat. Diakhir persembahan, kejutan dibuat oleh Dark-E untuk memanggil bassist asal untuk memainkan sebuah lagu. Namun hasrat tidak kesampaian kerana lagu tersebut (Irked) sudah dilupakan. Maka untuk tidak menghampakan permintaan penonton yang mahukan sekurang-kurangnya satu lagu encore, Voci membawa lagu cover Orang Timur. Usai lagu tersebut, penonton tersenyum puas. Saya tersenyum puas. Tiga band yang saya tonton malam itu menyelesaikan penat saya menguruskan sakit anak saya. A stress needs to be winded down - kata orang Tronoh.

1 comment:

  1. Apa jadi pada Tom Cruise?
    misteri belum terjawab!

    ReplyDelete