Seperti yang disiarkan di dalam majalah KARISMA edisi 21
---------------
Anthrax, entah kenapa kurang menyerlah di Ipoh. Mungkin dibayangi oleh Metallica yang mungkin lebih hebat dan accessible walaupun Anthrax sendiri tergolong dalam kelompok yang sama, The Big Four (of Thrash Metal).
Kurang menyerlah disini, saya maksudkan sebagai, tiada band jamming yang memainkan lagu mereka. Penerimaan Mat Metal di Ipoh dapat dilihat dari trademark Anthrax sendiri iaitu topi dengan bibirnya dikelepet ke atas dengan perkataan (lukisan sendiri) NOT dan MOSH terpampang. Yang lebih kreatif dan mahir, akan melukis gambar maskot Anthrax, seorang tua berkepala botak di bibir topi tersebut.
Tahunnya ialah 1989 ketika saya di dalam tingkatan dua di Sekolah Menengah St Michael yang mana band pertama saya ditubuhkan. Sebelum orang sibuk-sibuk dengan integrasi nasional dalam 1Malaysia, saya dan rakan-rakan sudah memulakannya. Band kami dianggotai oleh dua Melayu, seorang Cina dan seorang India. Dan tema band kami sangat terpengaruh dengan Anthrax. Sesuatu yang agak ganjil kerana pada masa itu, lebih banyak band jamming peringkat sekolah memainkan lagu-lagu dari band Metallica.
Ini mungkin menjadi sebab band kami tak lama hidupnya. Orang bergaya dengan pakaian serba hitam, kami meragakan pakaian berwarna-warni. Satu taboo ketika itu.
Fistful Of Metal (1984)
Anthrax bermula dengan humble.Album ini tidaklah sehebat Kill Em All ataupun Show No Mercy. Ia sekadar album yang menggodek tombol-tombol muzik Heavy Metal yang sedang cuba menjadi lebih pantas pada ketika itu. Melodi dan strukturnya masih menggunakan acuan idola mereka. Menyalahkan vokal Neil Turbin mungkin kurang tepat kerana vokal beliau tidak kurang hebatnya dibandingkan dengan vokalis band seangkatan dengan Anthrax ketika itu. Masalahnya, kehadiran beliau di dalam Anthrax ada kesan besar kerana beliau aktif dalam pembikinan lagu, mungkin secara indirect. Apapun, album pertama ini kemas strukturnya dan konstan dari segi kualiti lagu walaupun dari segi originaliti yang sangat diperlukan zaman itu belum menyerlah sangat. Dalam banyak-banyak lagu di dalam album ini, cuma lagu Metal Thrashing Mad saja yang paling lama bertahan dalam live show Anthrax. Bahkan lagu tema yang bertajuk Anthrax sendiri pun agak asing bagi peminat Anthrax sendiri. Ini tanda rombakan perlu dilakukan. Dan itulah yang berlaku sebaik saja selesai rakaman album ini.
Spreading The Disease (1985)
Keluarnya Neil Turbin dan Dan Lilker membuka ruang yang baru kepada Anthrax. Penggantinya, Joey Belladonna dan Frank Bello memang memberi inspirasi baru. Transformasi ini berlaku secara gradual. Serpihan dari ahli lama masih terasa dengan melodi Heavy Metal klasik dalam majoriti lagu-lagu di dalam album ini. Cengkaman Neil Turbin masih kuat berdasarkan kepada kredit lagu dan lirik ciptaan beliau yang masih dirakamkan untuk album ini. Tetapi lagu Gung-Ho, A.I.R. dan Madhouse memberikan gambaran yang mendatang bagi muzik Anthrax. Ianya lebih groovy, lebih pantas dan unik terima kasih kepada vokal Joey yang kurang mendayu jika dibandingkan dengan Neil. Album ini sama ada sedar atau tidak bakal membina asas sebenar muzik Anthrax yang akan selanjutnya akan meletakkan mereka sebagai bintang lagenda muzik Thrash Metal dunia. Dunia sudah merasainya ketika itu tetapi tidak menyangka yang album selepas ini melebihi segala sangkaan tersebut.
Among the Living (1987)
Jika ditolak kesemua album Anthrax yang pernah wujud dan tinggal ini saja albumnya, ia sudah cukup untuk menaikkan taraf mereka kepada takhta The Big Four. Album ini adalah Anthrax pada puncaknya yang tidak mungkin dapat dicapai lagi. Ianya adalah album yang menggabungkan segala yang terbaik dari Anthrax. Ianya Thrash. Ianya agresif. Ianya maskulin. kesemua lagunya catchy. Riffs gitar memang thrash kental. Dan kesemua lagunya memang ditulis untuk stage show, fist flying, headbanging and mosh breaking anthems. Dengan erti kata lain, Thrash Metal in its perfect form. Cuma satu komplen, panjang sangat (lebih 5 minit) dan saya terfikir, jenuh juga dalam show ketika tu mamat yang pergi gig nak banging. Paling mahal, ia mempunyai muka bersahaja yang agak sukar diperolehi dari album Metal pada zamannya. Album ini didedikasikan kepada mendiang Cliff Burton (METALLICA). Memang ramai orang sayang mendiang ni. Selain ANTHRAX, Dave Mustaine (MEGADETH) juga mendedikasikan lagu In My Darkest Hour (So Far, So Good... So What!) kepada mendiang.
State of Euphoria (1988)
Memang sukar untuk menandingi album Among The Living. Ada dua cara untuk menghadapinya; cuba meletakkan gear 5 terhadap apa saja yang pernah dibuat pada album Among The Living atau buat tak tau dan teruskan rakaman tanpa pandang belakang. Anthrax memilih yang kedua. Elemen 'happy' dan 'playful' yang menyerlah di dalam album sebelumnya dikurangkan secara gradual. Ianya seolah-olah melihat album Spreading The Disease dari belakang cermin. Dalam ertikata lain, impaknya menurun seperti mana STD menaik menjadikan turun naik antara 3 album ini kelihatan seperti graf polinomial. Jika dibuat analisis yang lebih mendalam terhadap kualiti lagu-lagu di dalam album ini, nampak seperti Anthrax tidak menunjukkan ciri-ciri untuk jatuh tetapi zaman ketika itu, angin perubahan sudah mula berlaku. Thrash Metal berada di penghujungnya dan Death Metal sudah mula menarik ramai peminat baru. Siapa yang ada masalah dengan kualiti lagu Be All, End All, Make Me Laugh dan Misery Loves Company? Ia masih boleh membuatkan kepala kita bergoyang tanpa sedar.
Persistence of Time (1990)
Kulit album yang agak 'serius' ini pastinya merisaukan peminat Anthrax. Tiada lagi lukisan komikal seperti album-album sebelumnya. Ada sebab. Anthrax mula mahu meninggalkan imej 'happy' yang mereka pelopori dahulu kepada imej yang lebih serius. Dan apakah yang lebih baik dengan memulakannya dengan kulit album yang lebih serius. Lukisan jam itu sendiri memberi maksud bahawa masanya sudah sampai untuk genre muzik baru untuk memerintah dunia (Death Metal). Cerdiknya Anthrax ialah mereka menyedari akan hal ini dan membuang segala ego untuk menuruti gelombang tersebut tanpa melacurkan apa yang mereka percaya selama ini. Penyudahnya, album ini dicalonkan untuk anugerah Grammy (walaupun tidak memenanginya). Lagu-lagunya lebih epik dan pada banyak tempat memperdengarkan elemen progresif dalam susunannya. Namun perubahan ini masih tidak mampu untuk melawan gelombang Death Metal yang datang. Agak menyedihkan juga kerana album ini boleh tahan menarik (hanya jika didengar tanpa prejudis).
Sound of White Noise (1993)
Prejudis atau tidak, album ini memang mahu mencelah dalam himpitan muzik grunge yang melanda dunia. Ia suatu tindakan yang tepat apatah lagi dengan keluarnya Joey Belladonna dan masuknya John Bush dari band Armored Saint. Memupuk John dengan istilah dan definisi baru muzik Anthrax mungkin lebih mudah dari melentur buluh yang sudah tua seperti Joey. Mengupah produser Alice In Chains untuk mengerjakan album ini memantapkan lagi elemen grunge di dalam album ini. Tatkala sebahagian peminat Anthrax menghempas vinyl, kaset dan CD album ini, ramai juga yang membelinya sebagai album Anthrax pertama. Tambah lagi dengan peminat baru. Ini menyebabkan album ini mendapat sambutan yang boleh tahan hangat, menduduki #7 dalam carta Billboard. Tetapi yang sebenar-benarnya, muzik Anthrax ketika album ini bagaimana? Anda tidak faham atau buat-buat tidak faham? Grunge!
Stomp 442 (1995)
Selepas Joey, giliran Dan Spitz pula untuk tarik diri. Sebabnya adalah kerana Dan mahu menceburi hobi baru - membuat jam tangan! Album ini meneruskan apa yang telah dinatijahkan pada album sebelumnya. Nasib baiknya, elemen Metal tidak dibuang terus walaupun hangit grunge itu masih kedengaran nyata. Mungkin ada sedikit pembaharuan yang sukar untuk dibuktikan dengan tulisan. Ini sesuai dengan nyawa muzik grunge yang juga tidak panjang bila matinya Kurt Cobain. Masalah album ini bukan pada struktur lagu sebenarnya. Mungkin pada produksi album yang kurang berat? Mungkin sentuhan produser yang kecundang? Sukar juga untuk dibuktikan.Groove-nya memang agak melemaskan tetapi mungkin dapat diselamatkan jika diimbangi dengan produksi yang lebih sesuai - maksud saya menonjolkan keMetalannya,
Volume 8: The Threat Is Real (1998)
Mungkin Anthrax perlu menamatkan riwayat hidup mereka sendiri. Ambil pistol tuju pada kepala. Mungkin yang perlu ditendang keluar ialah John Bush. Penglibatan beliau dalam penulisan lagu Anthrax kemungkinan adalah culprit sebenar. Dua album peminatnya bersabar tetapi masih diulangi dengan album ketiga? Grunge pada album 1993 menjalani evolusi secara perlahan yang tidak dapat dibuktikan pada album tahun 1995. Namun pada album ini, ia semakin jelas dan boleh dibuktikan tanpa agak-agak lagi. Pantera! Paling sedih, Anthrax sudah tukar kulit 100%. Tiada lagi Thrash Metal. Yang ada adalah gabungan rock/Metal yang membosankan.
We've Come for You All (2003)
Kebangkitan semula Anthrax? Ya atau tidak, sesuatu memang perlu dilakukan. Kesabaran pengekor Anthrax sudah sampai pada kemuncaknya.Harapan yang sudah punah itu perlu dibangkitkan semula walau sesusah mana pun. Ia disedari oleh Anthrax mungkin. Album ini diolah supaya lebih berat produksinya. Agresif yang disuntik lebih 50% dari tiga album sebelum-nya. Tetapi untuk kembali kepada zaman Thrash Metal seperti dahulu adalah tidak logik. Sudahlah John Bush saban hari dikritik dan dibebankan dengan kesalahan tidak membawa Anthrax kemana-mana, mahu pula ditambah dengan tuduhan cuba mencuri zaman Joey Belladonna. Maka elemen rock/Metal itu dikekalkan terus. Yang diupgrade adalah level berat instrumen yang dimainkan. Tragedi lain pula yang menimpa, ura-ura Joey Belladonna mahu kembali. John Bush merajuk dan keluar masuk dalam Anthrax sebanyak dua kali. Keadaan panas. Memang bila panas sebegini, sesuatu yang diidamkan seperti mahu terjadi. Memang benar ini terjadi pada album seterusnya.
Worship Music (2011)
Senang cerita, saya tidak meletakkan harapan apa-apa terhadap Anthrax. Pada saya, mereka adalah cerita lama. Imbasan silam yang telah disimpan elok-elok di bawah katil. Keluarnya Joey Belladonna selepas album Persistence Of Time dan adaptasi Anthrax dengan album-album seterusnya, menongkah arus trend muzik grunge dan Metalcore menyebabkan nafsu saya habis terus. Bukan saya tidak cuba mendengar album-album zaman Bush tetapi pada saya Anthrax sudah tidak sama lagi. Bukan saya mengatakan bahawa tanpa Joey, tiadanya Anthrax tetapi entah kenapa aura beliau penting bagi saya. Saya juga tidak menaruh harapan kerana tidak mungkin Anthrax akan cuba meniru album klasik Among The Living dan State Of Euphoria kerana zaman itu walau cuba ditiru seelok mungkin, rasanya pasti tidak akan sama. Ternyata Anthrax bijak. Apa yang telah berevolusi diteruskan. Cuma kali ini dengan aura Joey yang bergermelapan itu. Riffs Scott Ian menjadi. Struktur lagu nampak kekuatannya. Malah solo gitar Rob Caggiano kedengaran begitu lemak sekali. Keseluruhan album lebih menyerupai zaman State of Euphoria dan Persistance Of Time yang lebih dewasa jika dibandingkan dengan zaman kegilaan Spreading The Disease dan Among the Living. Produksi juga top notch. Bunyi gitarnya - antara paling lemak yang pernah saya dengar setakat ini. Jika benarlah tour The Big Four akan datang ke kawasan kita ini, bukan Slayer, bukan Megadeth, hatta bukan Metallica yang saya nantikan tetapi Anthrax!
Bunyi gitarnya - antara paling lemak yang pernah saya dengar setakat ini. Jika benarlah tour The Big Four akan datang ke kawasan kita ini, bukan Slayer, bukan Megadeth, hatta bukan Metallica yang saya nantikan tetapi Anthrax!
ReplyDeleteperghhh ... sampai camtu sekali sanggup tolak abg Mus ketepi...
wahahahhahaha....