Saturday, September 03, 2011

Diskografi DEATH

Seperti yang disiarkan dalam majalah Karisma Ogos 2011.

---------


Pull the Plug - digambarkan dengan menghulurkan dua jari ke arah hidung yang kemudiannya diisyaratkan seperti direntap dengan keras. Ketika pergerakan ini dilakukan, bibir mulut dicebek ke bawah.

Itulah bahasa isyarat yang digunakan oleh band Scum untuk lagu ini dimainkan semasa sesi jamming mereka. Tahun 1988. Saya berada di Tingkatan Dua. Anggota Scum yang lain, semuanya bersekolah lagi. Paling senior, gitaris utama yang berada di Tingkatan Lima.

Sesi jamming mereka biasanya selepas waktu sekolah. Ketika memainkan lagu Thrash dan Death Metal di Studio SYJ, Bazar Bulat, kami semua masih berpakaian sekolah.

Saya adalah die-hard pertama Scum. Boleh dikatakan hampir setiap sesi jamming, saya akan hadiri. Saya akan duduk di belakang set drum. Antara lain, saya bercita-cita hendak menjadi drummer yang hebat seperti drummer Scum. Beliau senior setahun dari saya. Saya berfikir, masih ada setahun untuk saya menjadi hebat seperti beliau. Belajar dari pemerhatian.

Leprosy adalah judul album Death dimana terkandungnya lagu Pull The Plug. Lagu tersebut menceritakan tentang kehendak seorang pesakit tiada harapan untuk hidup, supaya sistem sokongan beliau untuk hidup dicabut kerana beliau tidak sanggup lagi hidup menanggung derita. Korusnya ditulis, "Pull the plug, Let me pass away, Pull the plug, Don't wanna live this way".

Death adalah milik Chuck Schuldiner, dikatakan sebagai pelopor kepada genre Death Metal bersama dengan sebuah band lain bernama Possessed. Jika di negara kita ada Papa Rock, maka Chuck digelar sebagai Bapa Death Metal.

Kisahnya bermula apabila Chuck memulakan Death pada tahun 1984 ketika berusia 17 tahun. Asalnya band Death bernama Mantas. Bersama Mantas, beliau meriliskan demotape bertajuk Death by Metal pada tahun yang sama. Selepas rilisnya demotape ini, beliau menukar nama band kepada Death. Dengan nama ini, beliau merilis beberapa lagi demotape yang pada masa itu mendapat sambutan menggalakkan dari peminat Metal underground. Demotape Mutilation telah menarik perhatian syarikat Combat untuk merilis album pertama mereka yang bertajuk Scream Bloody Gore pada tahun 1987.


SCREAM BLOODY GORE (1987)
Scream Bloody Gore adalah blueprint kepada genre Death Metal. Ia mengandungi kesemua elemen muzik yang kita kenali sebagai Death Metal; suara menderam (growl), bunyi gitar yang berat dan selalunya tali gitar ditala rendah, drum yang dipenuhi dengan hentakan bass drum berkembar dan lirik yang kelihatan mengagungkan kematian. Tajuk lagu seperti Infernal Death, Baptized In Blood dan Torn To Pieces menggambarkan genre yang dicipta oleh Chuck.

LEPROSY (1988)
Leprosy adalah kesinambungan dari album yang pertama dengan beberapa perubahan penting yang dilakukan oleh Chuck. Pertamanya, permainan instrumen Death lebih kompleks dengan bantuan anggota band yang baru dan lebih berkeupayaan. Rick Rozz menjadi gitaris kedua yang dikenali sebagai pemain whammy bar tersohor ketika itu. Sementara Bill Andrews menawarkan paten drum yang pelbagai dan kompleks yang membuatkan mereka yang bercita-cita menjadi drummer tersohor, menukar kepada instrumen lain yang lebih logik untuk dimainkan.

Keduanya, cara penulisan lirik menampakkan transformasi. Beliau mula menambahkan perisa dalam liriknya dan tidak mahu 100% ditulis mengenai kematian seolah-olah remaja yang terlebih menonton filem zombile. Ini dapat dilihat dalam lagu Leprosy sendiri yang mengisahkan tentang penderitaan yang dihadapi oleh pesakit kusta dan Pull The Plug. Walaupun ia masih berkisar sekitar kematian tetapi transformasi itu dapat dirasai.


SPIRITUAL HEALING (1990)
Apabila album Spiritual Healing (1990) dirilis dua tahun selepasnya, Death melalui transformasi seterusnya terutama di bahagian lirik; dari lirik yang berkisar tentang kematian kepada lirik yang berkait dengan kehidupan dan keadaan semasa. Dalam lirik Spiritual Healing, Chuck menyindir industri perbomohan di US yang selalu ditayang di TV - dengan bayaran yang mahal, segala jenis penyakit dapat disembuhkan. Altering The Future berkisar tentang pengguguran anak dan natijahnya sementara Genetic Reconstruction ditulis mengenai teknologi genetik yang dilihat sebagai satu cara untuk mengubah ketentuan Tuhan.

Lebih dari itu, Death menampakkan cita-cita mereka untuk terus relevan dengan meluaskan definisi genre Death Metal. Kompleksnya struktur muzik bertambah dan skil anggotanya dinaiktaraf. Rick Rozz, walaupun terkenal dengan permainan whammy bar tetapi kurang menyengat apabila solo gitar yang sebenar diperlukan. Untuk itu, James Murphy dibawa masuk yang mana beliau sendiri adalah hero gitar dan mempunyai solo gitar bermelodik.

Penampilan band juga lebih kemas. Chuck seolah-olah mahu menunjukkan kepada peminatnya bahawa, penampilan bukan perkara utama. Yang penting, apa yang ditawarkan oleh beliau melalui album Death.



 Human (1991)
Naiktaraf ini terus dilakukan oleh Chuck untuk album Human (1991). Kesemua anggota band dalam album Spiritual healing dikeluarkan dan muka-muka baru dimasukkan, dua dari kumpulan Cynic yang terkenal dengan fusion Metal-jazz dan bassist dari kumpulan Thrash-Speed Metal, Sadus. Album ini benar-benar meletakkan Death di persada muzik US dengan jualan sebanyak 70,000 unit selain dari diiktiraf oleh majalah gitar terkenal, Guitar World sebagai salah sebuah album dalam 100 album terbaik sepanjang zaman.

Sesuai dengan naiktaraf ini, liriknya juga berubah kepada emosi dalaman manusia. Ini boleh dilihat pada lagu bertajuk Lack of Comprehension dan Flattening of Emotions.


Individual Thought Patterns (1993)
Setelah Human, Chuck meneruskan eksperimentasi beliau. Untuk itu, ubah angin perlu dilakukan dengan merombak pemuzik di dalam Death. Yang dikekalkan Cuma Steve DiGiorgio sebagai pemain bass. Drummer hebat Gene Hoglan dan gitaris fenomena (pada saya) yang setia bersama King Diamond, Andy LaRoque direkrut. Hasilnya? Mengkagumkan. Album ini menjadi sangat dinamik terima kasih kepada Gene dan Steve yang menghasilkan kerangka muzik Death Metal yang paling progresif pada zamannya. Apa sahaja riff yang dicipta oleh Chuck, ditemani oleh rhythm mereka berdua secara progresif, menjadikan lagu-lagunya berada di dalam struktur jazz dan progresif. Ditambah dengan kemelodikan gitar solo Andy yang secara note-to-note, enak dan lazat. Pada saya, ini adalah album reference untuk peminat Death Metal dengan kecenderungan progresif. Lagu-lagu yang patut didengar adalah Overactive Imagination, Jealousy, Nothing Is Everything dan The Philosopher.



Symbolic (1995)
Melanjutkan apa yang telah ditawarkan dari album sebelumnya. Cuma produksinya lebih bersih dengan proses separation antara instrumennya lebih baik. Berbanding dengan album sebelumnya, album ini lebih mudah dari segi riff dan struktur lagu. Ia adalah logik kerana kita boleh pergi pada satu tahap tertentu jika kita bercakap tengan progresif. Jika tidak, ia akan menjadi sesuatu yang tidak boleh dicerna oleh pendengaran. Dan Chuck sedar akan itu. Lagu Symbolic sendiri adalah mudah walaupun ada beberapa part yang memang mengerutkan dahi. Begitu juga dengan Zero Tolerance yang pada saya mungkin adalah lagu yang outstanding dalam album ini. Karmageddon (label dari Eropah) juga berpendapat yang sama kerana mereka merilis album posthumous Chuck dengan tajuk Zero Tolerance juga (sebanyak dua jilid). Album ini sangat baik sebagai reference untuk produksi album.


 



The Sound of Perseverance (1998)
Album studio terakhir dari Chuck dan Death. Seperti merasa ajal yang datang menjemput 3 tahun kemudian, Chuck mula menonjolkan elemen-elemen yang bergabung dan mengasaskan beliau dan Death. Lagu  Judas Priest (Painkiller) menjadi satu lagu istimewa kerana sebelum ini tidak pernah Death meletakkan album cover di dalam albumnya. Mungkin sesuai juga pilihan Chuck mengambil Richard Christy menggantikan Gene Hoglan. Gene dikenali sebagai drummer pantas dengan kepakaran kaki yang menakjubkan sedankan Richard lebih lembut di bahagian tangan. Muzik Death pada album ini lebih panjang-panjang untuk memastikan elemen progresif itu lebih menyerlah dari sebelumnya. Break dan intermission di dalam lagu menjadi kebiasaan. Juga boleh didengar, sound gitar yang lebih synthesize seperti album IRON MAIDEN Somewhere In Time. Dan mungkin yang paling menyerlah ialah suara Chuck sendiri yang semakin tajam dan tinggi pitchnya yang dipercayai adalah kesan dari band projek Heavy Metal beliau, Control Denied. Dianggap sebagai album terbaik dalam sejarah Death namun saya tidak berpendapat begitu. Namun, lagu-lagu seperti Scavenger Of The Human Sorrow, Spirit Crusher dan Flesh And the Power It Holds sangat perlu diberi perhatian.

1 comment: