Sunday, May 01, 2011

Signifikan memiliki peralatan lengkap untuk setiap band

Gig pertama di Australia yang saya hadiri adalah Dark Tranquility pada September 2006, beberapa bulan selepas saya sampai di bandar Adelaide (rebiu gig tersebut boleh di baca di http://krenmaut.blogspot.com/2006/10/dark-tranquility-live-in-adelaide_22.html). Dark Tranquility pada masa itu dalam tour jelajah Australia.

Seperti kebiasaan, band utama akan dibuka dulu oleh persembahan band pembuka. Dalam gig ini, dua band tempatan; Double Dragon dan Truth Corroded membuka persembahan. Saya tidak mahu mengulas tentang persembahan band tersebut. Itu bukan objektif artikel ini.

Di luar venue, telah ditampal jadual persembahan. Yang paling menimbulkan tanya ketika itu ialah masa persembahan antara setiap band ialah 20 minit. Kenapa 20 minit? Ada sesi rehat? Ada sesi ruang kepada penonton untuk pergi ke toilet?

Sebab kebiasaannya di Malaysia, seingat saya, paling lama pun ialah 5 minit. Lebih dari 5 minit, penonton mula rasa berpeluh. Mereka mula berbisik-bisik antara satu sama lain. Mungkin ada yang mula mencebik. Tak kurang juga yang akan menjerit – “Cepat la woi!”

Band di atas pentas pula, mungkin terketar-ketar mencucuk jack plug gitar. Yang tak sempat tune gitar pula, mula berpeluh. Yang sudah siap akan menggaru-garu kepala, pening melihat ahli band yang lain yang masih terkial-kial. Biasanya, drummer tidak ada masalah. Mereka duduk atas kerusi, mengetuk snare, cymbals dan tom beberapa kali dan dua minit kemudiannya, mereka telah siap sedia.

20 minit yang diberi kepada band untuk bersiap sedia di venue yang mana Dark Tranquility akan membuat persembahan rupa-rupanya memang diperlukan. Ini adalah kerana setiap band membawa kelengkapan sendiri. Bukan saja gitar dan drumstick, malah amplifier. Hatta drum set sekalipun – setiap band membawa drum set sendiri!

Inilah objektif artikel ini. Di negara kita, band biasanya miskin peralatan. Di Australia, memiliki peralatan yang cukup adalah minimum kepada anda untuk membuat persembahan. Memang ada gig yang mana band berkongsi peralatan atau menggunakan peralatan yang dikongsi (drum/amp) di Australia tetapi biasanya band tersebut biasanya dianggotai oleh mereka yang baru menubuhkan band i.e. band lepasan sekolah. Dan biasanya, gig tersebut dihadiri oleh rakan-rakan sekolah mereka saja.

Beberapa kali gig yang saya hadiri, meneliti gerak kerja band tempatan di sana, walaupun bukan sebagai pembuka band antarabangsa, caranya tetap sama. Mereka bawa peralatan sendiri, hatta drum set pun. Jika ada pun band yang malas sikit, yang ditinggalkan adalah kabinet amp tetapi masih membawa amphead sendiri (kabinet sudah tentunya besar bagak dan bukan semua orang sanggup nak bawa ke hulu ke hilir). Jadi, 20 minit waktu rehat antara dua band itu adalah normal di Australia.

Apa implikasinya? Pertama – setiap band mempunyai peralatan yang lengkap. Jika ada garaj di rumah, semua peralatan akan disimpan disitu dan garaj tersebut akan ditukar menjadi sebuah studio praktis – khas untuk band tersebut. Mereka akan praktis ikut kemampuan mereka, sebanyak dan selama mana yang mereka mahu. Dengan lain perkataan, permainan mereka menjadi mantap dan apabila bermain dalam gig tiada masalah terkial-kial di atas pentas.

Kedua – mereka akan memahami dengan lebih mendalam apa kemampuan dan kekurangan alatan yang mereka miliki. Mencari sound bukan jadi masalah. Masalah bukan lagi pada band tetapi jatuh kepada mereka yang menjaga sistem bunyi di dalam venue. Sound tak keluar, sound bunyi lipas itu hampir pasti tidak akan terjadi kerana luar dalam peralatan telah difahami malah telah diset dari awal untuk mengeluarkan bunyi sepertimana yang dikehendaki, bersesuaian dengan muzik yang dimainkan.

Ketiga – ia akan menyisihkan band kepada dua kategori. Band yang benar-benar serius dengan band yang masih tidak berapa pasti tentang keseriusan mereka. Dan itu memang benar situasinya di Australia. Kita bukan saja bercakap tentang band malah individu yang bermain muzik sendiri. Jika anda memiliki drum set, maka keberangkalian anda akan bermain dengan band yang serius adalah lebih kerana sudah tentu band yang serius, individunya memiliki peralatan sendiri. Dan keberangkalian anda adalah pemain drum yang bagus juga lebih dipercayai atau sekurang-kurangnya anda adalah komited dengan permainan drum anda. Ada drum tapi tak guna, apa hal pulak – tak begitu?

Berfikir tentang hal ini mungkin akan membeliakkan mata dan melopongkan mulut sesetengah pembaca (dan band sendiri). Dan pastinya akan terdetik di dalam hati – “Padanlah 20 tahun sama je dok takuk tu jugak aku tengok gig tak maju-maju…”

Bersambung…

*Disiarkan dalam KARISMA April 2011

3 comments:

  1. artikel yg bagus aku setuju...

    kdg2 tensen jugak bila nak gig baru nmpk muka tesengih2 nak pinjam gitar, lps tu ada hati nak pinjam gitar "prized-possession" pulak tu, bg pinjam GIO xnak, hamboi~

    p/s: "sound bunyi lipas" mcm mana tu? hahaha

    ReplyDelete
  2. langsuyor tu pun bkn best sgt men nye.. cam hampeh je bunyik.. Impiety Rulez!!

    ReplyDelete
  3. its all about management=)

    ReplyDelete