Saturday, April 30, 2011

Ulasan: TRIPTYKON Eparistera Daimones CD


Di dalam genre filem horror, kita boleh mengkategorikan mereka kepada beberapa jenis. Antaranya, filem grade B yang bajet tak cukup dengan jalan cerita hampas (walaupun ada yang menjadi status kult), zombie (yang separa sedar menyindir kehidupan manusia hari ini), paranormal dan mistik (seramnya melalui elemen suasana), hantu fizikal (paling popular) dan beberapa lagi. Namun diantara kategori-kategori ini, ramai yang akan bersetuju bahawa yang memegang status klasik, kult dan betul-betul seram sudah tentunya filem The Exorcist. Cukup dengan membayangkan tajuknya sudah meremangkan bulu roma.

Begitulah juga dengan muzik Black Metal. Ada pelbagai kategori. Banyak yang hampas tetapi tak kurang juga yang klasik. Namun kurang – mungkin sangat kurang cuba menjadikan The Exorcist sebagai benchmark. Lain halnya dengan Triptykon – band yang dipelopori oleh genius muzik – Tom Gabriel Fischer. Beliau telah lama dikenali bersama band lagenda Celtic Frost. Pengunduran dirinya dari band yang beliau cipta itu mengejutkan ramai. Lebih mengejutkan apabila beliau menubuhkan Triptykon.

Visi dan misi beliau bersama Triptykon nampak jelas. Bersama Celtic Frost beliau bereksperimentasi hingga mewujudkan beberapa genre muzik Metal yang menjadi ikutan ramai zaman ini. Bersama Triptykon pula, beliau bukan saja mahu menjadi pelopor kepada satu genre muzik Metal tetapi menjadikan ia satu benchmark. Muzik Black Metal yang betul-betul menyeramkan di tahap meremangkan bulu roma ketika nama Triptykon disebutkan.

Seperti filem The Exorcist, ia bermula dengan perlahan dan dipenuhi dengan suasana resah dan menyesakkan nafas dengan dialog-dialog yang perlu diberi perhatian. Bukanlah ianya santapan bagi mereka yang sudah biasa dengan filem horror dengan kejutan setiap 5 minit. Seram sejuk itu membaluti setiap gerak kening, gerak badan dan perenggan skrip yang diucapkan. Dan apabila visual horror itu dinatijahkan – ia  memberi kesan yang mendalam kepada penontonnya ke tahap tidak tahan menangunggnya – lari keluar dari panggung wayang.

Album ini menggunakan formula ini. Formula ini sudah berjaya namun sukar untuk ditiru dalam bentuk filem. Sekarang diterjemahkan dalam bentuk muzik Black Metal. Dengan perjalanan album sepanjang 72 minit dengan lagu mula Goetia sepanjang 11 minit dan lagu The Prolonging mencecah 20 minit sebagai klimaks, Tom, mengiringi perjalanan audio ini dengan teliti. Kejutannya bukan pada lajunya drum dipukul mahupun note gitar  yang berbelit tetapi sebaliknya melawan arus. Bukan juga dengan produksi di dalam bilik tidur dengan sound yang tenggelam dan bukan juga dengan pura-pura membuat album dengan produksi di tahun 1980an. Ini adalah arah yang berlawanan dari apa yang diharapkan oleh peminat muzik Black Metal zaman ini.

Triptykon adalah genius dan memerlukan mereka yang mempunyai keinginan yang sama untuk menerimanya. Mungkin buat masa ini album ini akan disisihkan untuk kategori muzik Black Metal yang lebih popular dan lebih diterima oleh kelompok peminat genre ini namun kita pasti akan mendengar album ini disebut semula apabila masanya tiba tatkala peminatnya mula matang (prosesnya berpadan dengan masa).

(Bentara krenmaut.blogspot.com)
Disiarkan dalam KARISMA April 2011

2 comments: