Sunday, January 30, 2011
Ulasan: SABBAT Dreamweaver CD
Ada dua band dengan nama yang sama. Satu di Jepun dan satu lagi di UK. Yang ini, dari UK. Sebuah band Thrash Metal yang ditubuhkan pada tahun 1985, sempat merilis 3 buah album dan akhirnya berpecah dengan dua anggotanya meneruskan karier dalam muzik (agak berjaya). Martin Walkyier meneruskan bakat menyanyi beliau dengan band folk metal bernama Skyclad sementara gitaris Andy Sneap menjadi produser album Metal yang hangat sekarang ini.
Jika kita meneliti sejarah muzik Thrash Metal di UK, tidak banyak band yang boleh dikatakan menonjol. Yang terlintas di kepala Acid Reign, Onslaught dan Xentrix. Nyata, Sabbat lebih kuat dari segi ingatan mahupun pengaruhnya.
Dreamweaver adalah merupakan album kedua selepas album History Of A Time To Come yang mengerikan dengan mesej pro-syaitan yang agak deskriptif - sesuai dengan keupayaan penulisan lirik British oleh Martin. Album tersebut walaupun bait-bait liriknya disulam dengan baik tetapi agak kurang dari segi produksi.
Mengharapkan rilisan yang lebih baik dari segi produksi, saya agak kecewa. Dreamweaver seolah-olah makin buruk produksinya. Butiran note gitar yang dipetik begitu mendap dan sukar untuk dinotakan terutamanya apabila drum menjadi laju dan kuat serta rangkap menjadi pantas.
Walaupun begitu, dari segi struktur lagu dan idea, album ini bolehlah dikatakan sebagai klasik. Meninggalkan konsep kesyaitanan, Sabbat mengambil inspirasi dari novel "The Way of Wyrd: Tales of an Anglo-Saxon Sorcerer" yang dirungkai menjadi lirik yang sangat tinggi kualitinya dari segi nahu mahupun ungkapannya - hasil kerja Martin, begitu cantik menghiasi riffs yang disediakan oleh gitaris Andy dan Simon Jones. Landskapnya di zaman dongeng dan panglipurlara yang muziknya diadaptasi dengan baik sekali. Ingat, ini album Thrash Metal - bukannya Power Metal. Konsep yang sukar untuk dinatijahkan tetapi berjaya dilakukan oleh Sabbat.
Album remaster ini menampilkan beberapa buah lagu live. Terbukti Martin boleh menyanyikan lagu-lagu di dalam album - walaupun lelah di beberapa tempat. Martin menyanyi dengan kepantasan rapping dan ini memerlukan tenaga dalaman yang luarbiasa.
No comments:
Post a Comment