Monday, November 15, 2010
Introduksi kepada SODOM - Thrash Metal anti-peperangan dari German
SODOM ada banyak kisah silam dalam kehidupan seorang remaja di Ipoh di awal tahun 90an dahulu. Lagu-lagu primitif mereka seperti Bombenhagel, Ausgebombt, Outbreak Of Evil dan Blasphemer menjadi modal kepada kami untuk menghabiskan masa luang kami di studio jamming. Lagu-lagunya mudah dan sesiapa yang baru belajar memegang gitar boleh memainkannya. Tinggal lagi, nak mengejar kelajuan lagu tersebut, agar semua instrumennya; gitar, bass dan drum berjalan serentak dan tidak ada yang tertinggal.
Dalam scene Metal Ipoh, pada awal kewujudannya, memang SODOM menjadi sebuah nama yang disanjungi. Lagu-lagunya (selain dari apa yang telah dinyatakan tadi), menjadi mainan band Ipoh waktu itu. Antaranya Remember The Fallen (cover version dari band TANK), Agent Orange, Christ Passion, IRON FIST (cover version dari band MOTORHEAD) dan sebagainya. Lagu-lagu ini lebih teknikal dari yang sebelumnya sesuai dengan umur SODOM sendiri ketika itu yang berganjak dari remaja belasan tahun masuk kepada umur 20an.
SODOM adalah sebuah band dari German di sebuah pekan lombong arang batu, Gelsenkirchen dan dianggotai oleh remaja belasan tahun Tom Angelripper (bass/vokal), Chris Witchunter (drums) dan Aggressor (gitar) pada tahun 1981. Tom yang sangat obses dengan band MOTORHEAD dan VENOM telah mengarahkan dua demo pertamanya Witching Metal (1982) dan Victims Of Death (1984) dengan sound sentuhan kedua-dua band tersebut cuma dilajukan lagi dua kali ganda.
Kedua-dua demo ini mendapat perhatian dari syarikat rakaman Steamhammer, yang seterusnya menjadi tulang belakang kepada SODOM untuk merilis In The Sign Of Evil EP dan album pertamanya, Obssessed By Cruelty. Kedua-dua rilisan ini menampakkan elemen raw mereka sebagai remaja yang baru mengenali instrumen mereka dan juga sifat darah panas mereka pada ketika itu. Kualiti rakaman adalah rendah, begitu juga dengan cara permainan mereka. Itu tak masuk lagi lirik ganas, antaranya "It's time to die. Death stands behind the door. Satan sends his warriors.Demons break out of hell"
Kemunculan album Persecution Mania (1987) menunjukkan kematangan SODOM dalam permainan muzik Thrash Metal mereka. Kualiti rakaman lebih baik, permainan instrumen bukan saja semakin kemas malah semakin kompleks dan lirik kesetanan B-grade mereka menjadi lebih bermakna dengan tema anti-peperangan. Kemungkinan besar ini disebabkan oleh masuknya gitaris berpotensi Frank Blackfire (yang kemudiannya menyertai KREATOR) yang dilihat sebagai lebih teknikal dan berkeupayaan untuk membawa SODOM beberapa anak tangga lebih dari sebelumnya.
Pada zaman itu, gitar hero bukanlah Petrucci ataupun Satriani tetapi Blackfire. Rata-rata, gitaris mahukan dirinya dilihat sebagai menyerupai beliau. Ini adalah realistik kerana kemampuan diri pun tidak seberapa. Mungkin sebab itu Blackfire menjadi sanjungan dan ikutan. Andaikata diambil dua gitaris yang disebutkan tadi, sanjungan it mati setakat angan-angan saja.
Agent Orange (1989) bolehlah dikatakan sebuah album ultimatum SODOM. Tema anti-peperangan mula menjadi tema utama dan lirik kesetanan B-grade yang mendominasi album pertama telah ditinggalkan terus. Untuk album ini, SODOM mula dikenali sebagai sebuah band yang bertemakan anti-peperangan dengan subjek berkisar tentang peperangan Vietnam. Setiap lagu menggambarkan keadaan peperangan tersebut. Mesejnya bukanlah memuliakan peperangan, tetapi lebih kepada menunjukkan kesengsaraan yang menimpa apabila peperangan berlaku. Agent Orange sendiri adalah sebuah lagu dari album ini yang mengisahkan tentang kedahsyatan senjata biologi yang digunakan di Vietnam.
Ketika ini, demam SODOM melanda peminat muzik Thrash Metal dan underground Metal tanahair. Boleh dikatakan hampir semua band memainkan sekurang-kurangnya satu lagu SODOM dalam sesi jamming mereka. Atau sekurang-kurangnya, telah menghafal beberapa buah lagu jikapun tidak memainkannya. Logo SODOM boleh kelihatan dimana-mana. Di beg sekolah, di baju-baju malah di dinding studio jamming.
Bahkan nama sendiri sudah digabungkan dengan perkataan yang ganas dan brutal seperti Sam's Art Of Death, Afir Dragonslayer dan Rafi Promaster hasil dari pengaruh nama pemuzik SODOM.
Ketika Better Off Dead (1990) dirilis, muzik underground tanahair telah mula dilanda oleh Death Metal yang lebih brutal dan keras. Maka rilisan ini dipandang sebelah mata saja walaupun dari segi produksi, album ini lebih baik dari sebelumnya. Lagu-lagunya pun boleh tahan mencengkam seperti lagu Better Off Dead, The Saw Is The Law dan Resurrection.
Antara album Tapping The Vein (1992) dan Code Red (1999), bolehlah dikatakan elemen SODOM sudah hilang dari fundamental muzik underground tanahair. Lagu-lagu cover dari album-album ini sudah tidak dimainkan oleh band yang baru ataupun yang lama. Seolah-olah SODOM telah mati sesudah rilisnya album Agent Orange. Kehadiran genre yang pelbagai dan ribuan band baru telah mengubah persepsi peminat muzik ekstrim Metal tempatan.
Apabila album M-16 (2001) muncul, aku mula memberikan perhatian kembali kepada SODOM. Tema anti-peperangan (atau menyanjung peperangan pada mereka yang tidak teliti) masih diteruskan, malah lebih kemas. Komitmen ini sudah menjadi darah daging SODOM dan tidak mungkin mereka akan berpaling dari tema sebegini kerana ia akan memaparkan mereka seolah-olah belot dengan identiti mereka. Apapun, album ini sangat solid. Kehadiran dua orang baru, Bernemann (gitar) dan Bobby Schottkowski (drums) menambahkan kekuatan SODOM dari segi teknikaliti dan juga melodi. Yang sebenarnya kedua-dua pemuzik ini telah menyertai SODOM sejak album 'Til Death Do Us Unite (1997) lagi.
Walaupun SODOM sangat dikenali dan lebih popular dengan tema anti-peperangan mereka, lagu-lagu dengan lirik kesetanan B-grade mereka masih lagi dimainkan dalam persembahan pentas seperti lagu Outbreak Of Evil dan Blasphemer (dari In The Sign Of Evil EP). Mungkin disebabkan atas kesedaran ini, mereka merakamkan album The Final Sign Of Evil (2007) yang memaparkan keseluruhan lagu dalam In the Sign Of Evil dirakamkan semula bersama dengan tujuh buah lagu lagi dari sesi yang sama yang tidak sempat dirakamkan akibat ketidakmampuan syarikat rakaman mereka untuk membiayai kos studio rakaman ketika itu.
Disebabkan pengaruh SODOM yang sangat kuat dikalangan peminat muzik Metal underground dan ekstrim tempatan, maka tidak hairanlah jika gig SODOM di Bangkok pada tahun 2002 dihadiri oleh ramai peminatnya di Malaysia. Dan disebabkan sambutan hangat ini jugalah sesi gig ini telah dirakam dan dirilis oleh SODOM sebagai sebuah album live bertajuk One Night In Bangkok.
Ketika artikel ini ditulis, SODOM telahpun selesai merakamkan album terbaru mereka In War And Pieces.
Seleksi album:
In The Sign Of Evil (1984)
Persecution Mania (1987)
Agent Orange (1989)
M-16 (2001)
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete1 of teutonic thrash big 3....Persecution Mania paling best.
ReplyDeleteTeutonic big 4....why people always forgot about Tankard...Buat kisah Tankard plak bro...walaupun dema kuat mabuk tapi yg penting attitude muzik dema maintain thrash tanpa gagal dari Zombie attack sampai le ke Thirst...
ReplyDelete1st time dgr sodom album persecution mania.mmg wow!meletup2 bunyi dia.
ReplyDeleteteringat maza zaman sekolah dulu melukis logo sodo kat beg sekolah...
ReplyDeleteagent orange and persecution mania...
my fav
sodom album
teutonic big 4 : kreator,SODOM,destruction dan tankard..suka album agent orange dan persecution mania...
ReplyDelete