Tuesday, October 12, 2010

Sesat tidak semestinya kafir!

Pengalaman penulis dalam menyampaikan siri-siri taklimat berkaitan ajaran sesat dan pemulihan terhadap golongan pelampau agama, penulis dapati antara kesilapan yang berlaku adalah memahami bahawa setiap yang terlibat dengan ajaran sesat itu telah kafir. Ini akhirnya menjadi punca mereka bertindak sendiri mengkafirkan 'yang sesat' malah lebih dari itu sehingga ke peringkat menghalalkan darah mereka. Hakikatnya perkara yang perlu kita fahami, tentang 'level sesat' itu sendiri dan bila 'pengamal ajaran sesat' itu boleh dikatakan terkeluar daripada Islam atau murtad.

Penentuan Hukum Ajaran Sesat 

Secara zahirnya pengamal ajaran sesat telah memenuhi ciri-ciri murtad. Persoalannya adakah ia boleh dihukumkan murtad? Hukum bagi menentukan status keislaman sesebuah ajaran sesat adalah bergantung kepada tahap atau jenis kesesatan yang dilakukan oleh pengamalnya. Menurut para ulama jenis kesesatan boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama; kesesatan yang mengkafirkan (bid’ah mukaffirah). Kedua; kesesatan yang tidak mengkafirkan (bid’ah ghair mukaffirah atau bid’ah mufassiqah) . Takrifannya adalah seperti berikut:

a) Kesesatan yang mengkafirkan (bid'ah mukaffirah) iaitu mengingkari sesuatu hukum syara’ yang telah disepakati (ijma’), telah mutawatir (khabarnya) serta sewajibnya dimaklumi dalam agama (ma ‘ulima min al-din bi al-dharurah) atau orang yang meyakini sebaliknya.

b) Kesesatan yang tidak mengkafirkan (bid’ah ghair mukaffirah atau bid’ah mufassiqah) iaitu kesesatan yang tidak menyebabkan kekafiran tetapi ia dihukumkan sebagai fasiq atau pelaku dosa. Kesesatan jenis ini tidak sampai merosakkan pokok-pokok keimanan (usul al-iman), tidak membatalkan sesuatu hukum yang mutawatir dan sesuatu hukum yang sewajibnya dimaklumi dalam agama (ma ‘ulima min al-din bi al-dharurah). Akan tetapi ajaran atau amalan ini tetap dikategorikan sebagai sesat dan menyimpang daripada kebenaran (al-haq).

Penentuan Hukum Pengamal Ajaran Sesat

Penentuan bagi menentukan status keislaman seseorang pengamal ajaran sesat adalah tertakluk kepada kategori sesat yang dilakukannya. Sekiranya kesesatan yang dilakukan adalah termasuk dalam jenis bid’ah ghair mukaffirah, maka tidak syak lagi bahawa dia adalah kekal sebagai seorang Islam. Namun sekiranya kesesatan itu menyentuh persoalan bid’ah mukaffirah, maka menjadi tanggungjawab umat Islam agar berhati-hati serta benar-benar melakukan penelitian kerana ia boleh mengakibatkan seseorang dijatuhkan hukuman terkeluar daripada Islam atau murtad.

Kaedah Takfir Menurut Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Para ulama menggariskan dua kaedah dalam mengtakfir:-

a) Takfir Mutlak. Bererti menyatakan bahawa sesiapa berbuat sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan maka ia boleh membawa kepada kekufuran, tanpa memaksudkan pelaku/orang tertentu. Kenyataan seumpama ini difokuskan kepada perbuatan atau ajaran atau pembawaannya, bukan pelaku/orang secara khusus.

b) Takfir Mu’ayyan. Bererti menyatakan bahawa si fulan bin si fulan, iaitu dengan menyebut nama orang tertentu telah kafir. Kenyataan seumpama ini ditujukan secara langsung kepada seseorang yang melakukan sesuatu perkara yang boleh mengkafirkan.

Menurut Dr. Yusof al-Qaradawi takfir perlu dibezakan dengan dua cara iaitu takfir nau’ (jenis) dan takfir syakhs mu’ayyan (peribadi). Beliau menyebut: “Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini bermaksud, contohnya kita katakan: Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini semua adalah hukuman pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya” .

Dr. Yusof al-Qaradawi menambah lagi: “Perkara ini pernah disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: Sesungguhnya perkataan boleh menyebabkan kufur. Secara umumnya dikafirkan pengucapnya. Dikatakan: Sesiapa yang mengucap begini maka dia kafir. Tetapi peribadi berkenaan yang mengucapkannya tidak dihukum dengan kafir sehingga ditegakkan hujjah yang membukti kufur sesiapa yang meninggalkannya (meninggalkan berpegang dengan hujjah yang jelas tersebut)” .

Ibnu Taimiyyah menjelaskan hal ini dengan berkata: “Dan yang tepat dan benar dalam masalah ini, bahawa kadang kala perkataan tersebut adalah kekufuran, sebagaimana halnya dengan perkataan orang-orang jahmiyyah, yang mengatakan: Sesungguhnya Allah tidak berbicara, dan tidak boleh dilihat kelak di akhirat, akan tetapi kadangkala hal itu tidak diketahui oleh sebahagian orang, sehingga diitlakkan ucapan pengkafiran kepada orang yang mengucapkannya, sebagaimana yang dikatakan oleh ulama salaf: Barang siapa yang mengatakan bahawa al-Qur’an adalah mahkluk, maka ia kafir, dan barang siapa yang mengatakan bahwa Allah tidak dapat dilihat di akhirat, maka ia kafir, dan tidaklah dikafirkan orang tertentu, sampai tegak ke atasnya hujjah” .

Oleh kerana itu kita dapati para salaf mengkafirkan firqah-firqah secara mutlak seperti firqah Jahmiyah dan Rafidhah, akan tetapi mereka tidak serta merta mengkafirkan setiap anggota firqah tersebut, kecuali hanya beberapa orang daripada mereka seperti Ja’d bin Dirham, Hallaaj dan Hafs al-Fard (yang pengkafirannya masih diperselisihkan) .

Ibnu Taimiyah berkata: “Sesungguhnya orang yang menyeru kepada perkataan (al-Qur’an makhluk) lebih parah dibandingkan dengan orang yang (hanya sekadar) berpendapat demikian. Dan orang yang menghukum orang yang menyelisihinya lebih parah lagi dibandingkan orang yang hanya sekadar menyeru kepada pendapatnya. Dan yang mengkafirkan orang yang menyelisihinya lebih parah lagi daripada yang (hanya sekadar) menghukum (orang yang menyelisihinya yang tidak mengatakan al-Qur’an mahluk).Begitu mereka di kalangan pemerintah yang berpendapat dengan pandangan Jahmiyah bahawa al-Qur’an adalah makhluk dan bahawa Allah tidak dapat dilihat di akhirat serta yang lainnya. Mereka menyeru rakyat untuk berpendapat sedemikian. Mereka menguji rakyat dan menghukum mereka jika mereka tidak setuju dengannya.

Mereka mengkafirkan orang yang tidak memenuhi (seruan mereka yang mengatakan al-Qur’an itu makhluk). Sehinggakan jika mereka menangkap seseorang tawanan, tidak akan mereka lepaskan sehingga ia mengakui pendapat Jahmiyah bahawa al-Qur’an adalah makhluk serta (pandangan Jahmiyah) yang lain.

Meskipun demikian Imam Ahmad tetap mendoakan kerahmatan bagi mereka dan memohon ampun bagi mereka. Ini kerana beliau beranggapan bahawa mereka belum sampai pada tingkatan mendustakan Rasulullah s.a.w. dan menentang syari’at yang dibawa Baginda. Akan tetapi mereka berta’wil dan mereka tersilap serta hanya sekadar bertaqlid dengan orang lain yang mengajarkan hal itu (aqidah Jahmiyah) kepada mereka” .

Antara kaedah penting yang menjadi keistimewaan Ahli sunnah wal-jamaah berbanding golongan selainnya adalah mereka membezakan antara sesuatu pendapat dengan pelakunya. Sesuatu pendapat adakalanya berupa kekufuran, tetapi pelakunya tidak dihukumkan kafir.


Syarat-syarat Takfir Peribadi (Mu'ayyan)

Para ulama Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu terhadap sesuatu pendapat atau amalan itu sebelum menghukum seseorang itu terkeluar daripada Islam atau murtad. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut :

a. Hendaklah pendapat atau amalan itu secara jelas menunjukkan kekufuran yang dilakukan berdasarkan pilihannya dan bukan kerana terpaksa.

b. Hendaklah dia terus berpegang dengan pendapat atau amalan kufur tersebut, dan ketika dijelaskan kepadanya (al-haq) dia tetap berpegang kepadanya.

c. Hendaklah telah ditegakkan hujjah kepadanya dan dia telah jelas terhadap perkara tersebut.

Di samping itu seseorang itu terhalang daripada hukuman murtad atau terkeluar Islam sekiranya ia berada dalam situasi berikut :

a. Baru memeluk agama Islam.
b. Hidup di tempat yang jauh. Termasuk dalam kelompok ini adalah orang yang tidak mempunyai ulama selain ulama bid'ah yang mereka minta berfatwa dan mereka ikuti.

c. Kehilangan akalnya kerana gila atau kerana yang lain.

d. Belum sampai kepadanya nas-nas daripada al-Kitab dan al-Sunnah, atau telah sampai (nas-nas tersebut) tetapi belum jelas kefahaman nas-nas tersebut.

e. Nas-nas tersebut telah sampai kepadanya, dia telah jelas dalam memahaminya, akan tetapi didedahkan kepadanya sesuatu yang bertentangan dengan nas-nas tersebut (sama ada yang berasal daripada akal fikiran mahupun perasaan) yang mendorongnya untuk menta'wil, walaupun dia akan berbuat kesalahan. Termasuk kelompok ini adalah mujtahid 'ahli ijtihad' yang salah dalam ijtihadnya. Ini disebabkan Allah akan mengampuni kesilapan golongan ini dan memberinya pahala atas ijtihadnya itu.

Kesimpulannya tidak boleh menghukum seseorang itu murtad kecuali setelah memenuhi syarat-syarat tersebut dan tidak terdapat sebarang halangan. Apa yang diriwayat daripada Salaf tentang pemutlakan kufur dan laknat, ia tetap berada pada kemutlakan dan keumumannya. Oleh itu tidak sekali-kali ditetapkan kekufuran pada seseorang Islam secara peribadi kecuali wajib disertai dengan dalil dan bukti.

Keperluan Konsep Siyasah Syar'iyyah Dalam Definisi Ajaran Sesat

Para ulama’ telah sepakat bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum ‘murtad’ kecuali dengan bukti-bukti jelas tanpa sebarang ta’wil atau syubhah. Menurut mazhab Hanafi, jika ada syubhah maka hendaklah ditutup. Ini bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bemaksud; “Hendaklah dihindar hukuman hudud daripada orang Islam apa yang termampu, jika ada jalan keluar maka berilah laluan (jalan) kepadanya” .

Oleh itu dalam menangani isu ajaran sesat, sesebuah kerajaan perlu mengambil pendekatan dengan mengisytiharkan sesuatu ajaran sesat itu sebagai menyimpang daripada ajaran Islam sebenar atau ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah iaitu dengan menggunakan kaedah takfir mutlak atau takfir nau’ yang tidak sekali-kali memberi maksud memuktamadkan hukum murtad kepada pengikut atau individu yang terlibat dengan ajaran sesat tersebut.

Dalam konteks ini perlu menggunakan pendekatan Siasah Syar’iyyah yang bertujuan membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan - demi menjaga kepentingan umum (maslahah ‘ammah) dalam menangani sesuatu isu agama dan Negara.

Berdasarkan prinsip Siasah Syar’iyyah, penghukuman murtad secara umum (ta’mim) dan tanpa usul periksa terhadap individu tertentu dapat dielakkan. Ia bertujuan membendung suasana tidak tenteram di dalam Negara khususnya apabila isu murtad diperkatakan dengan meluas oleh pihak tidak berautoriti.

Selain itu sesuatu pertuduhan jenayah adalah tertakluk kepada bidangkuasa dan tatacara undang-undang Islam dan tidak sekali-kali boleh dikeluarkan oleh pihak yang tidak berautoriti.

Menurut hukum syara’, sabitan murtad boleh berlaku hanya melalui dua kaedah berikut:


Pertama: Iqrar di Mahkamah Syariah;

a) Diterima apabila dibuat di hadapan Mahkamah Syariah.

b) Dibuat dengan kerelaan tanpa ada unsur paksaan.

c) Iqrar itu hendaklah menjelaskan secara nyata dan pasti akan perbuatan pihak yang membuat pengakuan tentang kesalahan riddah.

d) Mengetahui akan akibat daripada iqrar itu seperti hukuman bunuh, menghilangkan kehormatan diri, sekatan ke atas harta dan sebagainya.

Kedua: Keterangan saksi;

a) Dua orang yang adil.

b) ‘deed poll’ tidak boleh diterima di sisi syara’ sebagai bukti kes murtad.

c) Keterangan perempuan tidak boleh diterima dalam kes murtad mengikut pendapat jumhur.


Kesimpulannya, hanya setelah segalanya jelas dan tanpa sebarang keraguan, maka hakim akan memutuskan keputusan murtad ke atas individu yang berkenaan.

SUMBER

2 comments:

  1. kerja kafir mengkafir atau tarik tiket x dpt masuk syurga ni boleh la kasi kat 1 puak tu.. mmg number 1.. hehhhe

    ReplyDelete
  2. entri ni banyak memberi ilmu..
    well done sir

    ReplyDelete