Wednesday, September 01, 2010

Ulasan: IRON MAIDEN The Final Frontier CD



Samada peminat IRON MAIDEN tak faham atau buat-buat tak faham, mereka harus faham satu perkara: IRON MAIDEN tidak akan merilis album seperti Powerslave ataupun Seventh Son Of A Seventh Son. TIDAK AKAN!

Adalah penting IRON MAIDEN meneruskan agenda mereka sebagai salah satu band Metal paling berpengaruh di dunia, dengan menghasilkan album-album yang berkembang dengan status dan kewibawaan mereka. Salah satunya elemen ialah; tidak peduli apa kritikan pedas yang dilahirkan dari orang ramai, walaupun dari so-called peminat kental sekalipun!

Disebalik keangkuhan tersebut, ramai akan tetap setuju; setiap album yang dihasilkan ini ialah hasil IRON MAIDEN, walaupun terdapat anjakan paradigma yang terkadang agak ekstrim untuk ditelan. Atas sebab inilah, hubungan cinta-benci IRON MAIDEN dengan peminatnya tidak menggugat posisi IRON MAIDEN sebagai band Metal tersohor di dunia.

Apabila IRON MAIDEN mengumumkan tajuk album ke-15 ini sebagai The Final Frontier, timbul kegusaran yang sangat jelas pada peminatnya. Steve Harris pernah mengatakan bahawa beliau bercita-cita untuk merilis 15 buah album. Ia seperti kitab kematian. Di kalangan peminatnya; ada yang panik dan bersedia untuk berdukacita sementara ada pula yang lebih optimistik dan menjadi pemujuk kepada yang lainnya. Benarkah ini album terakhir? Tiada penjelasan yang jelas.

Sebagai peminat IRON MAIDEN, kami ambil apa yang ada sekarang ini dan berharap pada sesuatu yang lebih berkekalan. Namun, itu adalah mustahil kerana setiap yang hidup pasti akan mati. Apabila mati sudah sampai, apa yang boleh dibuat lagi?

Album keempat dalam kategori zaman reunion ini, adalah antara album yang ditunggu-tunggu. Tiga album sebelumnya, dipersetujui majoriti sebagai batu loncatan IRON MAIDEN untuk kembali ke persada Metal mainstream dengan show live di stadium dan arena yang besar, meneruskan tradisi hiburan Metal dan teater yang sentiasa disanjung oleh peminatnya. Terdapat satu elemen penting yang menjadi nadi kepada album-album reunion ini; elemen progresif yang menonjol.

Untuk itu The Final Frontier adalah album yang paling progresif dalam siri reunion ini. Bukan bermaksud odd-time signature; tetapi lebih kepada pemilihan riffs gitar, intermission yang mengingatkan zaman kegemilangan prog/psychedelic dan keseluruhan struktur lagu-lagunya.

Sukacita dimaklumkan bahawa album ini memang satu tangga lebih dari album sebelumnya, A Matter of Life and Death, menjadikan album ini satu kejayaan. Tak banyak band yang boleh mengatasi album yang sebelumnya zaman ini. Ini menambahkan keyakinan kita terhadap IRON MAIDEN dan benar-benar kita berharap agar ini bukanlah album yang terakhir.

UP THE IRONS!

1.     "Satellite 15... The Final Frontier"       Smith, Harris     8:40 (1st Part 6/10 - 2nd Part 10/10)
Lagu ini boleh dibahagi kepada dua. Empat minit pertama dengan drum yang diprogram oleh Adrian (ya, bukan Nicko) - dan empat minit kedua dengan lagu sebenar. Pada aku, sepatutnya 4 minit pertama tersebut itu dijadikan lagu intro seperti The Ides Of March tetapi bila difikirkan balik, ia mempunyai lirik mungkin sebab itu dicantum menjadi satu. Masalahnya, tak banyak yang berlaku pada 4 minit pertama tersebut kerana pada aku, lagu yang sebenar ialah 4 minit yang seterusnya. Oleh itu ayat-ayat seterusnya merujuk kepada 4 minit yang kedua.

Apabila merujuk tajuk The Final Frontier dengan artwork album - ia menggambarkan sesuatu tentang perjalanan ke planet yang lain. Namun apabila merujuk kepada lirik, nyata tiada kesinambungan. Yang sebenarnya, artwork itu kemungkinan tiada hubungkait. The Final Frontier merujuk kepada medan akhir kehidupan manusia - akhirat. Harris menulis;

For I have lived my life to the full
I have no regrets
But I wish I could talk to my family and tell them
that one last goodbye


Vibe lagu ini seperti lagu-lagu muka pada 3 album sebelumnya - The Wicker Man (Brave New World), Wildest Dreams (Dance Of Death) dan Different World (A Matter of Life And Death); lagu yang menaikkan darah dan mengepam adrenalin. Riffs yang simple tetapi efektif, signature Adrian Smith (juga untuk ketiga-tiga lagu yang disebutkan tadi). Solo gitar dibuka oleh Dave yang kemudiannya disambut oleh Adrian.

Struktur lagu adalah straigth-out Metal driven hard-rock; sekali imbas seperti lagu rancak yang diinspirasi dari Bad Company dan Uriah Heep.

2.     "El Dorado"       Smith, Harris, Dickinson     6:49 (9/10)


Lagu pertama yang dirilis sebagai preview sebelum album dirilis di pasaran. Pertama kali dengar, bermula dari intro dengan teknik fade-out (lagu nak habis), dirasakan sesuatu kelainan kerana teknik sebegini tidak pernah dibuat oleh IRON MAIDEN sebelum ini. Rentak keseluruhan lagu ini adalah penaik semangat dan rancak namun strukturnya tak sama dengan lagu pertama. Adrian, Dave dan Janick; tiga-tiga menyolo dalam lagu ni. So kalau nak latih telinga solo mana siapa yang punya, boleh cuba dengar 1st Adrian 2nd Dave 3rd Janick.

3.     "Mother of Mercy"       Smith, Harris     5:20 (8/10)

Adrian mencuba lagu yang lebih emosional berbanding dengan dua lagu sebelumnya. Bermula dengan perlahan tetapi kemudian dinaikkan semangat dengan jeritan Bruce:

I'm soldier of warrrr!

Namun keseluruhan lagu adalah midpace. Korus bagus tapi pre-korus kurang melekat. Teknik rhythm Adrian yang melodi dalam bentuk yang kita tak jangka masih tetap menyerlah disini cuma, kurang melekat.

4.     "Coming Home"       Smith, Harris, Dickinson     5:52 (10/10)

Riff mula lemak berkrim. Walaupun pattern riff tersebut bukan tak pernah dibuat orang, tetapi cara chord-progression yang disulam oleh Adrian, memang ada twist sikit. Selepas riff yang agak rancak tu, tiba-tiba muzik diperlahankan dengan plucking gitar dan vibe yang terasa adalah seperti lagu Children of the Damned (album The Number of The Beast), Revelations (album Piece Of Mind), Wasting Love (album Fear of The Dark) dan 2 A.M. (The X-Factor).

Mood lagu sangat atmospheric. Gitar melodinya syahdu, sesuai dengan lirik yang menceritakan tentang pengalaman IRON MAIDEN sampai ke sesuatu destinasi dengan Ed Force One (tafsiran zahir). Secara batiniah pula, aku suspek lagu ini mengenai perjalanan manusia dari dunia ini ke alam akhirat (ya, orang bukan Islam pun percaya akan ini jadi ianya tidak pelik). Untuk tidak menjadi bias, Dickinson menulis;

Over borders that divide the earthbound tribes,
No creed and no religion,
Just a hundred winged soul

Winged soul - kepercayaan subconcious orang Barat (dan banyak budaya manusia) bahawa kematian boleh menjadikan mereka seperti malaikat yang berkepak.

Solo gitar bermula dengan Dave Murray. Pada aku, ini adalah antara solo beliau yang terbaik sejak sekian lama. Beberapa album kebelakangan ini, susah nak pilih solo beliau yang memorable tapi dalam lagu ini, memang tidak syak lagi. Solo beliau kemudiannya disambut oleh Adrian Smith dengan trademarknya yang memang kita sudah kenal baik. Janick Gers nampaknya menjadikan dirinya latar belakang sahaja untuk album ini; tiada solo.

Vokal Bruce memang menyentuh perasaan sampai tahap meremangkan bulu roma. Aku dapat rasakan yang Bruce pun merasa ini adalah track yang paling penuh dengan emosi yang mengarahkan naluri beliau memberikan 110% dalam lagu ini. Drum Nicko juga sangat lembut terutama pada permainan ride cymbals (memang dia terkenal dengan kelembutan ini pun sejak dari dulu).

Ini akan menjadi lagu feveret dalam live show. Chorusnya membayangkan suasana satu stadium akan menyanyi bersama. Teringat semasa menonton secara live di New Zealand, kami (penonton) menyanyikan lagu-lagu IRON MAIDEN dengan penuh perasaan dan sekali-sekala pandang memandang sesama kami, seolah-olah kami berduet sesama kami. Priceless!

5.     "The Alchemist"       Gers, Harris, Dickinson     4:29 (10/10)
Klasik IRON MAIDEN! Tatkala Steve dan Adrian menuju ke arah progresif, Janick bertindak memegang sauh kapal supaya irama klasik IRON MAIDEN tidak ditinggalkan terus. Bermula dengan melodi twin (triple) gitar yang dilatari dengan drumming tipikal Nicko yang telah kita kenali sejak dari dulu. Tajuk yang sama juga ada pada album solo Bruce Dickinson. Kebetulan?

Kalau perasan, groove lagu ini ada iras-iras lagu Tailgunner (album No Prayer For The Dying). Yummy!

6.     "Isle of Avalon"       Smith, Harris     9:06 (9/10)



Rasanya bila masuk lagu ni, kita dah boleh agak, ini mesti lagu ciptaan Adrian Smith. Beliau sangat cenderung dengan elemen progresif. Pada intermission lagu ini, ketika rhythm bersiap sedia untuk gitar solo masuk, lenggoknya sangat mengingatkan aku kepada lagu-lagu dari kumpulan RUSH (album Farewell To Kings) yang kemudiannya diadaptasi oleh kumpulan Dream Theater secara meluas. Malah gitar solonya pun, hilang segala identiti IRON MAIDEN; lebih kepada lenggok Alex Lifeson. Ini adalah lagu yang paling out-of-this-world dalam katalog IRON MAIDEN.

7.     "Starblind"       Smith, Harris, Dickinson     7:48 (10/10)

Satu lagi track yang menarik. Bermula dengan tradisi gitar plucking, bass dan vokals dan drums on the hi-hat, ia meremangkan bulu roma bila gitar elektrik masuk. Riff yang pelik dan ianya adalah signature Adrian Smith. Elemen progresif yang sangat menyerlah. Perhatikan riffs yang sama dibawa untuk bait lirik pre-chorus dan chorus, cuma lenggok Bruce saja yang membezakan antara keduanya.

Solo juga dialunkan bersama dengan vokal pada kebanyakan tempat - satu lagi perkara yang jarang dilakukan oleh IRON MAIDEN.

Ditengahnya intermission riffs yang berlainan dengan elemen blues yang sangat jelas; menjadi backing kepada gitar solo oleh Adrian yang kemudiannya disambut oleh Dave.

Kekuatan lagu ini adalah melodi riffnya yang psychedelic, mengimbas kembali zaman kemilangan zaman tersebut sekitar akhir 60an/awal 70an. Memang IRON MAIDEN (melalui Steve Harris) mengaku akan sumbangan band prog/psychedelic zaman tersebut - namun ia mengambil puluhan tahun untuk mengetengahkan elemen tersebut secara terang-terangan; terutamanya di dalam lagu ini.

Lirik aku tak faham. Mungkin kritikan terhadap Kristian? Atau penganutnya?

8.     "The Talisman"       Gers, Harris     9:03 (10/10)

Memulakan lagu dengan gitar akustik berirama folk yang mengingatkan aku kepada band SKYCLAD. Bila masuk part rancak, memang meremang bulu roma terutama part korus. Ini adalah arena-hits. Namun aku ada sedikit kerisauan kerana Bruce menggunakan banyak tenaga beliau untuk menarik suara yang tinggi pada hampir keseluruhan bait lirik lagu ini. Bolehkan ianya dilakukan live? Aku rasa boleh tapi memang berdarah tekak.

9.     "The Man Who Would Be King"       Murray, Harris     8:28 (9/10)

Satu-satunya lagu Dave Murray yang menyebabkan ini sedikit istimewa. Ini kerana ianya keluar sikit dari pattern sedia ada (Harris, Gers dan Smith) yang menyebabkan lagunya agak unik. Tetapi seolah-olah terkesan dengan kecenderungan progresif Smith, beliau juga meletakkan intermission progresif di tengah-tengahnya. Lagunya agak mid-tempo sepertimana lagu The Prophecy (album Seventh Son Of A Seventh Son) juga hasil ciptaan Murray.

10.     "When the Wild Wind Blows"       Harris     10:59 (9/10)
Lagu paling panjang dalam album ini yang menyambung tradisi Rime Of The Ancient Mariner (album Powerslave), Alexander The Great (album Somewhere In Time), Mother Russia (album No Prayer For The Dying) dan Sign Of The Cross (The X Factor). Jadi, manakah letaknya lagu ini antara lagu-lagu panjang ini? Mungkin sama posisi dengan Sign Of The Cross (cara mula masuk lagu ini pun ada iras). Masih tidak dapat mengatasi kehebatan lagu RotaM dan AtG. Keseluruhan lagu ini kurang sikit dari segi complexitiy tetapi menang dari segi penceritaan liriknya (kena baca sendiri).

Total length:    76:34
(paling panjang dalam sejarah IRON MAIDEN)


Kesimpulannya, album ini adalah album terbaik sepanjang zaman reunion mereka mengatasi Brave New World yang menjadi pilihan kebanyakan peminat IRON MAIDEN. Album ini konsisten, tanpa ada lagu filler (jika ada pun lagu Satellite 15). Tradisi klasik IRON MAIDEN diteruskan tanpa takut untuk menyuntik elemen-elemen baru yang mengujakan pendengaran. Aku seia dengan deaf-angel, jika ini adalah album terakhir, kami akan berpuashati dan IRON MAIDEN berakhir dengan dongakan yang boleh dibanggakan.





10 comments:

  1. RM38.90?????


    Murah gileeeeeeeeeeeeeeeeee!!!!!!

    ReplyDelete
  2. Malaysian press (bukan Malaysian Edition).

    Aku pun ada satu.

    ReplyDelete
  3. argh! aku tanak baca ulasan ni selagi aku belum beli cd dan dgr 1 by 1

    mp3 pun aku tanak sedut, biar kasik thrill...

    ReplyDelete
  4. bro, gua nak lu wat review ENDGAME Megadeth ni ..
    dah lama tertunggu-tungu

    ReplyDelete
  5. satu fakta aku nak bgtau:

    even kalau ko dah dengar mp3 album ni sekalipun,
    ko takkan berganjak sikit pun rasa ghairah nak beli album ni....


    Coming home; antara Solo paling best dalam hidup gua.

    ReplyDelete
  6. gua layan versi dload jer arr...JB tak sampai2 lagi...

    ReplyDelete
  7. bila agaknya Abg.Ben nak interbiu Iron Maiden?? come on..hehe

    ReplyDelete
  8. a fair and balanced review mm

    aku paling suka ko nye intro

    kira macam " take no prisoners " gitu..

    shoot terus!!

    ReplyDelete
  9. nice review!

    p/s:- gi beli la teromber woi.. apo donlot2 ni? cheap bastards sungguh! huhu..

    ReplyDelete
  10. kali pertama aku 'belajar' dengar Iron Maiden masa study kat itm dedulu..zaman grind tengah naik, bila dengar Iron Maiden buat aku terfikir.."Celaka! ini lebih hebat!"

    Maka rumus kalkulus dan C++ aku mendapat suntikan jeritan band ini..

    hampir 8 tahun kemudian..aku buka krenmaut, wah peminat tegar Iron Maiden..

    Mendengar "The Final Frontier" bikin jiwa aku menjerit..'kembalikan 8 tahun aku yang telah berlalu dengan suram!!'

    Ya, dapatkan yang original!

    ReplyDelete