Dianggotai oleh lima orang pemuda yang peramah lagi mesra (dengan kemasukan terkini, gitar kedua dengan nama timangan Auks), FARASU mengutarakan muzik Death Metal yang diimbangi dengan elemen thrash metal dan juga lenggok yang agak rockish. Mereka sebenarnya lebih senang jika diletakkan sebagai sebuah band tempatan yang memperjuangkan muzik Eastern Metal.
FARASU telah meriliskan sebuah EP bertajuk Black Moon Eclipse yang mengandungi 5 buah lagu baru-baru ini dan ini memerlukan sedikit ulasan kepada mereka yang tidak pernah mendengar akan muzik FARASU.
Sebagai permulaan saya mengkategorikan EP ini sebagai sebuah demo-CD disebabkan produksi yang lemah bukan sebagai sebuah rilisan umum yang sebenar. Ianya dirakamkan secara one-take dengan kemungkinan hanya sesi vokal dibuat secara berasingan. Ini menyebabkan produksi yang sebu dan tidak mantap.
Tetapi jika anda meletakkan produksi sebagai perkara kedua dan muziknya pada tempat teratas maka anda akan mendapati yang EP ini segar dengan melodi dan riffs yang rockish yang diimbangi dengan rentak drum yang keras supaya ianya masih kekal dengan genre Death Metal.
Saya berpeluang menemuramah pemain drum FARASU untuk bertanyakan 1-2 soalan mengenai apakah disebalik nama dan aktiviti band ini. Ditanya mengenai nama FARASU sendiri, beliau menjawab “ Farasu bermaksud kuda. Ia berasal daripada perkataan Arab-Farus..Nama ini aku dapat dari kisah pengembaraan Raja Suran ke dunia bawah laut yang telah mengembara dengan kuda ajaib/semberani yang bernama “Farasu al-Bahri”.Kisah ini boleh dibaca dalam Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang. Farasu secara simboliknya melambangkan keberanian, kemelayuan dan kekuatan…”
Negeri Sembilan bukanlah satu negeri yang terkenal dengan band Metalnya. Saya tidak ingat kali terkahir band metal mana yang pernah menempah nama dari negeri tersebut. Mungkin juga saya seorang yang pelupa. Apapun, kebelakangan ini sebuah nama yang agak menonjol dari negeri adat pepatih tersebut iaitu FARASU. “Memang tidak dinafikan amat jarang band yang muncul dari N9 samada mainstream dan underground. Sejak serbuan pihak berkuasa semasa gig “Wrath of the Eastern Steel” pd 3hb Disember 2005 lalu, scene metal N9 seperti telah mati. Buat ketika ini dan sepanjang pengetahuan aku, hanya Farasu dan beberapa band Metal dari Rembau yang masih aktif samada mengeluarkan demo dan persembahan gig. Lain-lain band metal di Seremban bagaikan membisu atau mungkin sudah tutup buku…mungkin takut diburu oleh pihak berkuasa…Untuk info semua, aku telah mewujudkan team penganjuran gig metal di N9 yang berpusat di Nilai bersama sahabat-sahabat sekolah pada akhir tahun 2002 yang kami namakan Nilai Loudblast Scene.Ia bertujuan mewujudkan sebuah scene metal N9 yg aktif seperti scene metal tempatan yg lain. Kami ingin menonjolkan band-band metal dari N9 disamping berkomunikasi dengan band-band metal lain. Hasilnya,kami telah berjaya menganjurkan gig dari tahun 2003-2005. Beberapa band N9 yang berjaya dicungkil seperti Hinazia dr Nilai, Destheria, Medieval dan Psychotic Sufferance dr Seremban, Diaghila dan Vantrical dr Rembau. Gig pertama anjuran kami, “Eastern Loudness” adalah yg paling dikenang kerana tanpa pengalaman yg kuat kami telah berani menjemput Sil Khannaz sbg killer band utk gig ni…."
Elemen Eastern Metal memang ketara dalam EP ini dan beliau tidak menafikannya tetapi adakah ini memang tujuan asal ataupun selera baru FARASU kerana EP ini bukanlah rilisan pertama mereka. “Idea penubuhan Farasu ini sebenarnya telah bermula sejak tahun 1997 dulu..tetapi hanya dapat direalisasikan pada tahun 2002. Ketika tahun 1996-98 lalu, pengaruh eastern metal rancak menguasai scene metal tempatan. Secara tidak langsung elemen eastern metal telah mempengaruhi pendengaran aku dan penciptaan lagu-lagu Farasu. Ini bukanlah suatu selera baru tetapi sebagai suatu kesinambungan jalan yang telah dirintis oleh As Sahar dan Langsuyr dahulu. Dari segi ilham riff, melodi dan susunan lagu Farasu adalah tersendiri dan tidak mencedok versi-versi eastern As sahar atau Langsuyr. Aku ingin menghasilkan lagu-lagu yang asli dari segi idea tanpa saduran dari lagu-lagu lain dan digabungkan dengan elemen-elemen Arabic, jawa, melayu dan mungkin keroncong! Elemen-elemen ini sebenarnya kalau bijak disusun dan diadaptasi bersama muzik metal, ia akan menjadikan sebuah konsep muzik yang kuat setanding muzik metal barat.”
Disoal mengenai produksi EP ini yang agak lemah beliau memberikan penjelasan, “Aku mengakui kelemahan Mcd ini dari sudut produksinya…kesilapan kami merancang masa sebenarnya. Masing-masing ingin menyiapkannya dalam batasan masa yg segera yang dipengaruhi oleh bajet kewangan. Tetapi secara peribadinya, aku berpuas hati dengan hasil rakaman dan telah bersedia untuk menerima pandangan,kritikan mahupun kutukan kerana setiap kelemahan akan segera dikenalpasti untuk persediaan rakaman material akan datang.”
Mungkin sesuatu dapat dipelajari dari pengalaman rakaman EP tersebut yang memungkinkan rilisan yang lebih mencengkam pada sudut produksi? “Ia sebagai sebuah landasan mengenal kelebihan dan kelemahan Farasu dari sudut ilham penciptaan, mutu rakaman, persefahaman permainan dan komunikasi peribadi, penerimaan pendengar dan tahap keberanian…hahahahhaa. Segala kekurangan daripada produksi ini akan diperkemaskan dan dimantapkan utk rakaman materialterbaru kami. Mungkin dengan rahmat Allah swt, Mcd ini menjadi modal kami dikenali secara antarabangsa….”
Mengenai lagu-lagu yang terdapat di dalam EP tersebut, beliau menjawab, “Melainkan Intro (sumbangan dr Azmaniakh Langsuyr), lagu-lagu dalam Mcd ini dicipta oleh aku sendiri dan lagu Invasion pula dicipta oleh Faizal. Aku mencipta lagu tidak mengira waktu asalkan ada masa dan idea mendatang, pasti susunan riff akan dibuat. Kebanyakan riff lagu aku mainkan dgn gitar kapok sahaja dan selebihnya dr segi susunan sound dan permainan akan dibincang bersama Faizal. Melodi nyanyian pula akan dibuat oleh Faizal. Ada juga riff lagu yg telah dibuat sejak tahun 1998 dulu…Cuma kali ni, ia dpt diguna pakai dlm susunan lagu.”Sudah tentu lirik tidak boleh dipisahkan dari lagu. Ianya suatu yang sangat berkait rapat dalam mendalami sesuatu band. “Lirik-lirik menyentuh tentang kemanusiaan, mistik, alam ghaib, ilusi dan misteri. Lagu “Gerhana Rembulan Hitam” berkisahkan pertempuran kuasa ghaib baik melawan syaitan, “Patrasari” pula berkisahkan ttg lorekan tradisional Nusantara yg berfungsi sbg pendinding/perisai melawan ilmu teluh/serangan syaitan, “Midnight Evil Spirit” menyentuh kisah roh wanita yg mati membunuh diri mencari bantuan manusia utk membebaskannya dr siksa ghaib utk ke syurga, “Gempita Mastika” ttg kedurjanan media cetak dan politik yg mempropagandakan isu Black Metal dan “Invasion” mengenai kisah penaklukan bumi oleh makhluk asing.”
”Komplot” menjatuhkan muzik Metal telah dicuba beberapa kali oleh media tempatan yang memerlukan beberapa tindakan usulan dari penggiat muzik Metal sendiri. Lain orang lain caranya dan sudah tentu lain pendapatnya. Untuk itu, beliau berpendapat “Untuk menyampaikan kebenaran secara ilmiah ttg muzik metal, kita memerlukan media yg kuat dari segi sokongan dan penulisan. Barulah penerimaannya dpt diketahui oleh masyarakat. Pada pandangan aku, wartawan-wartawan yg memburukkan muzik metal ini tidak mempunyai latar belakang ttg muzik tetapi hanya tahu menulis perkara-perkara hiburan. Itu sebab penulisan mereka ni berat sebelah dengan idea-idea kosong takde ilmu. Penyampaian info yg salah dengan sikap masyarakat yg percayakan media secara terus,menyebabkan terjadi salah faham ttg black metal. Ini termasuklah pemerintah dan politician kita yg sememangnya takde ilmu dan pengetahuan ttg muzik tersogok dengan maklumat palsu. Kita kena ada sebuah persatuan atau pertubuhan berdaftar utk komuniti muzik metal yg disokong oleh bdn kerajaan mcm Kementerian Kesenian atau Belia…barulah selamat.”
Dengan pendapat yang agak keras sudah tentu FARASU adalah sesuatu yang sangat penting bagi penggiatnya. “Farasu adalah cetusan minat aku kpd muzik metal dan ia akan berterusan sehingga tahap yg termampu. Dengan izin Allah swt, kalau boleh aku nak terus berkarya walau sampai umur 50 tahun tanpa mengabaikan tanggungjawab lain dlm kehidupan.” Lima puluh tahun? Satu yang agak panjang dan boleh dipertikaikan tetapi ini bergantung kepada perancangan selanjutnya. “Kami akan merakam lagu-lagu baru pd bulan Januari 2007 ni utk projek split album dgn sebuah band otai tempatan…kami juga akan mengadakan persembahan di Sarawak/Januari 2007 dan Indonesia pd bln Febuari 2007 ini. Selebihnya, kami akan terus berlatih untuk memantapkan persembahan dan permainan kami sebagai persediaan utk lain persembahan akan dtg…”
Band datang dan pergi tetapi dilihat apa yang ada, FARASU menyediakan sesuatu yang perlu diambilkira. Untuk melihat sejauh mana mereka pergi, hanya satu perkara yang perlu dilakukan iaitu tunggu dan lihat. Sementara itu, EP yang disediakan oleh FARASU boleh menjadi santapan tatkala menunggu berlakunya peristiwa itu.
http://www.myspace.com/farasu