Monday, August 28, 2006
SEARCH Gothic Malam Edan
Track pertamanya, Memori Ana agak menggamamkan. Kerana kombinasi sound gitar dan bass yang berat. Lebih Metal dari rock kangkang. Tidak seperti yang ku harapkan apabila Hillary kembali kerana apa yang diwar-warkan oleh Search sendiri ialah mereka akan kembali kepada asas. Asas yang mana?
Namun ianya tidaklah mengecewakan. Mungkin kerana identity Amy masih kekal dan tegar dalam album ini. Ia segera mengingatkan kembali bahawa ini adalah Search. Walaupun aku terdengar bisikan, “ini bukan Search, ini album solo Amy”. Namun apabila ku teliti lagi, masih terdengar trademark Search (yang entah aku pun tau nak single out apa ianya).
Mungkin album ini agak depressive seperti zaman Karisma dan Rampage. Walaupun begitu, identity rockish dan guitar hook yang catchy masih menjadi elemen terpenting dalam album ini. Kehadiran ‘chairman’ M Nasir memang tak perlu dinafikan lagi. Lagunya memang sekali tangkap. Sekali dengar, aku tau, ini lagu M Nasir. Nampak formulationnya. Aku tak kira, apa orang nak kata tapi lagu M Nasir memang kelas dalam album ni.
Seperti album-album terdahulu, Search juga meneruskan tradisi eksperimental mereka. Pada lagu Ampun, permulaan sampler drum pada awal lagu begitu mengingatkan aku pada Dewa 19. Aku tidak mengatakan ini tidak baik tetapi ini menunjukkan yang Search tidak meletakkan diri mereka terhimpit pada dinding yang sama.
Tetapi dalam banyak perkara di dalam album ini satu saja yang aku rindui iaitu kombinasi gitar twin-attack Kid dan Din di mana pada verse yang sama Din menjurus ke satu arah sedangkan Kid memberikan bunga kepada rhythm Din (boleh paham?). Ini normal disebabkam hanya Hillary seorang sahaja yang memenuhi tempat Kid dan Din. Cuma lagu Yin & Yang sahaja yang aku dengar mempunyai elemen tersebut. Mungkin tidak cukup bagiku.
Produksi sound memang first class seperti album-album sebelumnya. Standard yang tinggi dengan adunan yang baik dan jelas. Ia tidak menyakitkan telinga apabila di pasang kuat menggunakan earphone.
Search telah kembali dan mereka tidak mengecewakan. Album ini walaupun tidaklah seperti yang diharapkan ketika Kid dan Din bersama tetapi masih meneruskan tradisi Kid dan Din dengan beberapa perubahan untuk menyelesakan kehadiran Hillary. Jadi, asas yang menjadi persoalan telah terjawab. Ini adalah asas Search sebagai band rock tersohor di Malaysia. Aku rasa Search mengambil langkah bijak dengan tidak menjadi retro kepada album Langit dan Bumi dan Mentari Merah di Ufuk Timur tetapi terus ke hadapan untuk relevan pada generasi Rock kini dan mendatang.
Thursday, August 24, 2006
BLACK METAL ITU MUZIK, AYAH PIN ITU AJARAN SESAT
Isu Black Metal sekarang sedang hangat diperkatakan sejak ia disensasikan oleh media. Antara isu yang dikaitkan dengan muzik Black Metal ialah ianya seperti satu golongan manusia yang menyembah syaitan dan menghina agama. Black Metal secara dasarnya disensasikan sebagai satu entiti seperti ajaran sesat. Ianya dikatakan mempunyai ajaran tertentu, mempunyai ketua dan mereka semua menyembah syaitan. Benarkah begitu?
1. Pertama sekali, perlu ditanya, apakah itu Black Metal? Adakah ianya muzik ataupun ajaran?
Kalau ianya satu ajaran, apakah ajaran-ajarannya? Kitab mana menjadi sumbernya? Siapakah tokoh ajarannya? Dan bagaimanakah cara ritualnya?
Jika ianya satu muzik, apakah bentuk muziknya? Siapakah pelopornya?
Yang boleh dijawab sudah tentu jika ianya muzik. Kita tahu secara amnya, muzik Black Metal itu dengan bunyian gitar dan paluan drum yang keras. Dan juga boleh disimpulkan yang muzik Black Metal dipelopor oleh VENOM melalui album yang bertajuk Black Metal. Kita dapat mensahihkan perkara ini kerana ianya muzik.
Tetapi jika kita mendefinasikan ianya sebagai ajaran, sila jawab soalan-soalan yang terpapar di atas. Jika ianya dianggap sebagai satu ajaran, sudah pasti tidak ada sumbernya yang sahih. Melainkan berkiblatkan kepercayaan-kepercayaan (dipercayai) dan perkataan-perkataan (dikatakan) media yang mensensasikan isu ini.
Jelasnya Black Metal adalah sekadar muzik yang keras dan bingit. Liriknya bertemakan kegelapan, mistik dan tahyul. Eh, Jangan terkejut ataupun, jangan buat-buat terkejut. Mengapa mesti terkejut? Bukankah mesej ini juga yang selama ini disensasikan oleh sebuah majalah tabloid sebelum ini? Cerita hantu kubur, hantu bungkus, manusia jadi batu, keramat dan dongeng. Dan tidakkah dengan mensesasikan isu kegelapan, mistik dan tahyul Black Metal ini adalah selari dengan konsep majalah tersebut?
Mesej tentang kegelapan, mistik dan tahyul bukannya satu yang asing bagi masyarakat kita. Cerita dongeng dan cerita orang tua-tua pun kadang-kadang penuh dengan mesej tersebut. Contoh mudah; jika memasuki satu kawasan hutan, bukankah kita pernah disuruh untuk meminta izin dari hantu jembalang yang dipercayai menghuni kawasan tersebut? Adakah ini Black Metal?
Begitu juga dengan filem-filem seram yang sekali tengok seolah-olah menyuruh kita mempercayai bahawa hantu syaitan itu berkuasa. Boleh membawa kebaikan atau mudarat. Bukankah ini satu yang berlawanan dengan akidah? Tidak payahlah saya menamakan filem-filem tersebut kerana bukankah kita juga yang menontonnya? Adakah ini juga Black Metal?
Beza antara medium yang disebutkan tadi; cerita-cerita, filem-filem dan muzik adalah kita sendiri! Ianya hanya sekadar cerita, filem dan MUZIK! Persamaannya adalah mesej yang disampaikan. Sedangkan mediumnya berbeza. Tetapi matlamatnya tetap sama. Entertainment!
Jika seseorang itu menyembah syaitan, minum darah kambing dan memijak Al-Quran, maka ini bukan muzik. Ini ajaran sesat!
Muzik dan ajaran sesat. Dua perkara yang berbeza. Ajaran sesat, benar begitu tetapi bukannya ajaran muzik (Black Metal).
2. Kebanyakan dari muzik moden yang dicelup dari Barat memang tidak sesuai dengan masyarakat kita. Tetapi apabila ianya dipersembahkan oleh segolongan dari kita sendiri ianya telah disesuaikan dengan jatidiri. Muzik rap dan hip-hop mengidolakan gangsterisme dan seks bebas di Barat. Tetapi adakah ianya benar disini? Sudah tentu tidak! Pemuzik-pemuzik rap dan hip-hop tempatan telah membawakan mesej-mesej yang bersesuaian dengan keadaan tempatan. Begitu juga dengan muzik Black Metal, ianya telah disesuaikan dengan keadaan tempatan. Jika di Barat Black Metal dipelopori oleh mereka yang tidak beragama, di sini ia tidak begitu! Band Black Metal tempatan yang dikenali ramai membawa mesej-mesej ketimuran, dongeng Melayu, anti-peperangan bahkan pro-Palestin! Jika muzik berat sebegini mempunyai mesej positif, adakah ianya boleh dikategorikan sebagai nasyid? Jika tidak, mengapa cabang muzik rap, hip-hop pula boleh diterima?
Betulkah begitu keadaannya di negara kita? BENAR! Jika anda sendiri yang menyelidikinya dan tidak bergantung kepada sensasi media, pasti anda akan menemuinya begitu.
Lagi satu, bukan semua muzik keras itu Black Metal. Baru-baru ini sebuah gig (konsert mini) di Kuala Lumpur telah diserbu atas sebab disyaki menganjurkan konsert Black Metal. Untuk pengetahuan anda, konsert itu tidak ada satu pun band Black Metal. Konsert tersebut ialah konsert Hardcore dan Metalcore. Beza tu!
Atau, adakah anda memang tidak menyukai muzik keras sebegini? Kalau anda tidak menyukai disebabkan ianya tidak sesuai dengan citarasa anda, tidak bermakna muzik ini perlu dihukum. Muzik juga seperti teknologi, ianya sentiasa berkembang. Dan muzik ini luas! Mungkin 10 tahun akan datang, penulis sendiri tidak akan dapat menghayati muzik yang wujud ketika itu, tetapi nasihat untuk penulis juga, sudah pasti penulis tidak mahu menghukum mereka semata-mata kerana penulis tidak memahami muzik tersebut.
Penulis bukanlah penyokong tegar muzik Black Metal tetapi penulis adalah peminat muzik Metal yang telah lama mendengar muzik sebegini. Dan salah satu cabang Metal ialah Black Metal sendiri. Tujuan artikel ini ditulis adalah semata-mata mahukan kebenaran. Pada sesetengah pihak, terutamanya golongan lebih 40an, mereka menyangkakan Metal itulah Black Metal dan Black Metal itulah Metal. Kita boleh tanya, apakah bezanya Black Metal dengan Thrash Metal? Apakah bezanya Heavy Metal dengan Speed Metal?
Akibatnya nanti, mereka yang tidak bersalah juga dicop sebagai pengikut ajaran Black Metal. Sedangkan berpakaian serba hitam, rambut agak panjang dan memakai t-shirt dengan gambaran band yang diminati itu adalah imej kebanyakan peminat Metal. Jika mereka ditahan kerana disyaki pengikut ajaran Black Metal, tidakkah huru-hara jadinya nanti?
Wednesday, August 23, 2006
KRENMAUT revived... as a blog?
Alhamdulillah
1. critiques
2. reviews
3. thoughts
4. ramblings
5. news analysis
Etc…
Friday, August 18, 2006
Satu introduksi
Assalamuallaikum